Friday, June 8, 2012

Jauhi Hasutan dan Godaan Iblis Dengan Membaca Al-Quran dan Amalan Yang Ikhlas Kerana Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi 'Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum', sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi". (Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur (hanya untuk tidur sahaja). Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui bahawa ia tidak dapat melaksanakan janji tersebut kepada satu golongan orang, iaitu mereka yang ikhlas. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian,

berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”

Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari - masa yang termaklum.”  Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”(Surah al-Hijr ayat 36-40)

Iblis mengulangi pengecualian ini dalam ketika yang lain: “Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”

Dalam dua ayat di atas, syaitan telah membongkarkan rahsianya yang amat penting. Dalam melaksanakan perjanjian dan permusuhannya kepada umat Islam sehingga Hari Kiamat, syaitan hanya tertahan kepada satu golongan orang. Mereka itu ialah orang-orang yang ikhlas dalam beragama.

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas? Ia adalah melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Saya yakin para pembaca sekalian sebelum ini telah mengetahui tentang ikhlas dalam solat, ikhlas dalam berpuasa dan ikhlas dalam berzikir. Ia bererti mendirikan solat kerana Allah dan bukannya kerana emak mertua yang datang melawat. Ia bererti berpuasa kerana Allah dan bukannya kerana mengelak dari disindir oleh pelajar-pelajar di kolej. Ia bererti berzikir kerana Allah dan bukannya kerana ingin menunjukkan sifat wara’ kepada rakan-rakan di pejabat.

Ada pun ikhlas yang dikecualikan oleh syaitan, maka ia adalah keikhlasan yang berlaku dalam konteks yang lebih besar. Ia adalah keikhlasan yang melibatkan keseluruhan agama dan bukan sekadar amalan-amalan tertentu di dalam agama. Ertinya, kita beragama, memperjuangkan agama, membela agama dan melakukan kerja agama semuanya kerana Allah.

Pada masa kini keikhlasan kerana agama amat sukar untuk ditemui. Di sana-sini, kita tidak akan menemui orang yang memiliki penghayatan agama melainkan dia melakukannya kerana untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada amalan yang disukai oleh iblis dan syaitan, dan jadikanlah diri kita beribadah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir untuk menjauhkan daripada bisikan dan hasutan iblis dan syaitan.

No comments: