Friday, June 22, 2012

Manusia Di Beri Pilihan Samaada Untuk Menerima Yang Benar Atau Yang Batil

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia diberi pilihan oleh Allah SWT di dunia ini samaada dia memilih jalan yang lurus (jalan yang benar) atau dia memilih jalan yang bengkuk.(jalan yang batil)

Allah SWT telah mengutus para rasul dimuka bumi ini kepada setiap umat dengan membawa ajaran suci dan mengajak manusia beriman dan mentauhidkan Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Setelah ajaran para rasul ini sampai kepada manusia maka manusia sendiri akan bertanggungjawab di atas keingkarannya menerima kebenaran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah Al-Israa' (17) ayat 15)

Kalaulah Allah perlakukan sebagaimana yang Dia kehendaki iaitu menyesatkan, mengapa pula Allah SWT utuskan para rasul dan kitab? Apakah Allah SWT tidak pernah utuskan para rasul? Sehingga manusia tidak tahu apa yang harus dilakukan atau harus ditinggalkan?. Allah SWT ada menyatakan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa selagi belum diutuskan para rasul.

Dalam al-Quran ada diberitahu bahawa tidak ada satu kaum pun yang tidak diutuskan rasul.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
(Surah Faatir (35) ayat 24)

Sahabat yang dimuliakan,
Pada zaman Saidina Umar Ibnul Khattab menjadi khalifah seorang pencuri telah tertangkap ketika mencuri, lalu dihadapkan ke hadapan Umar untuk diadili.

Saidina Umar al-Khattab r.a. bertanya : "Kenapa kamu mencuri?"

Lalul dijawab oleh pencuri; "Ya Amirul Mukminin! Aku mencuri kerana Allah telah takdirkan aku mencuri, lalu aku mencuri".

Umar pun memerintahkan sahabat supaya memotong tangan orang ini dan menyebatnya. Pencuri tidak puas hati dan bertanya : "Mana ada hukuman seperti ini di dalam al-Quran? Dalam al-Quran hanya ada perintah potong tangan"

Saidina Umar r.a menjawab: "Potong tangan kerana kamu mencuri dan sebat kerana kamu berdusta terhadap Allah, kamu jadikan qadar dan qada sebagai alasan (menyalahkan takdir Allah)".

Perkara yang sering kita dengar: Bila orang berjaya dalam satu-satu perkara seperti dalam perniagaan bila ditanya sebab-sebab berjaya dia kata dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan membuat pengurusan yang baik, tetapi bila mendapat muflis dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir.

Begitu juga orang yang sihat, bila ditanya apa formula dia sihat maka dia akan jawab, dia jaga kesihatan dengan menjaga makanan, bersenam dan macam-macam lagi. Bila sakit dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir. Ucapan tersebut seolah-olah bila berlaku sesuatu yang tidak baik akan di nisbahkan kepada Allah SWT (Maha Suci Allah daripada berbuat begitu), jika terdapat kebaikan dinisabhkan pula kepada diri sendiri.

Baik dan tidak baik semuanya ketentuan Allah SAW. Manusia kena buat pilihan. Penjelasan Umar dalam kisah di atas adalah tentang membuat pilihan. Dua-dua qada Allah SWT, jika dinisbahkan perkara tidak baik kepada Allah SWT; itu adalah satu pendustaan terhadap Allah SWT. Lihat dalam ayat di bawah:

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Surah al-A'raaf (7) ayat 28)

Allah SWT beri kita kemampuan untuk melakukan perkara-perkara yang diperintahkan.

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ

Maksudnya : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah ayat 286)

Dengan sebab itu, apabila Allah SWT memberi kita tanggungjawab atau tugas maka Dia Maha Mengetahui bahawa kita berkemampuan untuk melakukannya kemudian diberi pula kebebasan untuk memilih maka apabila berlaku perkara-perkara yang tidak elok kita perlu menyalahkan diri kita sendiri (kerana kelemahan dan kejahilan kita).

Sahabat yang dikasihi,
Pepatah melayu ada menyatakan :"Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih" Jika kita berhajat kepada kebaikan, mendapat rahmat dan reda daripada Allah SWT di dunia dan akhirat maka kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkannya. Janji Allah SWT sekiranya para hamba-Nya ketika di dunia beramal ibadah, amal soleh, berakhlak mulia dan tidak mensyirikkan-Nya maka balasannya adalah syurga seluas langit dan bumi.

Oleh itu kalian perlulah "tepuk dada tanya iman dan mata hati kalian" jika kalian tunaikan semua hak yang wajib kalian tunaikan di dunia ini maka hasilnya kalian sendiri yang akan memperolehinya bukan orang lain, sebaliknya jika kalain leka, lalai dan abaikan amanah ini maka azab dan penderitaan yang berpanjangan akan diterima di akhirat nanti. Pilihan yang tepat ada ditangan kalian insya Allah.






No comments: