Saturday, July 28, 2012

Banyakkan Membaca Al-Quran Di Bulan Ramadan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di bulan Ramadan al-Mubarak adalah bulan dimana al-Quran diturunkan oleh Allah SWT. Maka salah satu amalan yang dituntut dibulan ini adalah memperbanyakkan membaca al-Quran, mentadabur maknanya dan menghayati isi kandungan al-Quran yang dibaca.

Di antara keadaan Salafus Soleh dibulan Ramadan adalah selalu menyibukkan diri dengan hal-hal yang berkaitan dengan Al-Quran (mulai dari membaca, mempelajari dan mentadabburinya). Malaikat Jibril memperdengarkan Al-Quran kepada Rasulullah SAW pada bulan Ramadan. Usman bin Affan mengkhatamkan Al-Quran setiap hari pada bulan
Ramadan.

Cara sahabat-sahabar Rasulullah SAW memahami dan mengamalkan al-Quran adalah dengan membaca 10 ayat diulang-ulangkan dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya. Mereka tidak berpindah kepada ayat lain sebelum mengamalkan 10 ayat tersebut.

Menangis tatkala membaca atau mendengar  bacaan al-Quran adalah satu kaedah untuk menghayati ayat-ayat Allah SWT  dan untuk melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Ancaman Allah SWT dengan seksaan neraka kepada mereka yang engkar dan zalim akan menimbulkan rasa gerun, insaf dan takut terhadap azab Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Mendendangkan Al-Qur’an akan mendidik hati dan jiwa, bahkan jiwa mereka
bergetar dan hati mereka tersentuh begitu mendengar untaian Kalamullah dibacakan.

Dalam Shahih Al-Bukhari diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawa ia berkata: Rasulullah SAW  bersabda:  “Bacalah Al-Quran untukku!” 

Aku berkata: “Apakah aku membacakannya untukmu sedangkan ia diturunkan kepadamu?”

Rasulullah SAW  bersabda: “Aku senang mendengarkannya dari orang lain.” 

Aku pun membacakan untuknya surat An-Nisa’, hingga sampai pada ayat yang berbunyi:
“Maka bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti), apabila kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).”
(Surah An-Nisa’ ayat 41)

Baginda mengatakan: "Hasbuka (cukup)."

Aku menoleh kepadanya, ternyata kedua mata beliau menitiskan air mata.”

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a.ia berkata: “Tatkala turun ayat:
“Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis.” (Surah An-Najm ayat 59-60)

Ahlu Suffah (orang yang bermukim di serambi masjid Nabi) menangis hingga titisan air mata membasahi pipi mereka. Ketika hal itu didengar oleh Rasulullah SAW, baginda tersentuh dan ikut menangis bersama mereka. Melihat hal itu kami pun turut menangis. Kemudian Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk api neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah.”

Suatu ketika Abdullah bin Mas’ud membaca surat Al-Muthaffifin, tatkala sampai ayat yang berbunyi: “Iaitu hari ketika manusia berdiri menghadap Rabb semesta alam.”
(Surah Al-Mutahffifin: 5)

Beliau (Abdullah bin Mas'ud)  menangis hingga bersimpuh dan tidak mampu melanjutkan ayat berikutnya.

Diriwayatkan dari Muzahim bin Zufar ia berkata: “Pada suatu kesempatan, Sufyan Ats-Tsauri mengimami kami solat. Ketika sampai ayat: “Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon
pertolongan. (Surah Al-Fatihah ayat 5) "

Beliau menangis hingga terputus bacaannya sehingga beliau mengulanginya
kembali dari awal.”

Diriwayatkan dari Ibrahim bin Asy’ats ia berkata: “Pada suatu malam saya mendengar Fudhail tengah membaca surat Muhammad hingga beliau menangis dan mengulang-ulang ayat berbunyi:
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.”  (Surah Muhammad ayat 31)

Sahabat yang dikasihi,
Pergunakanlah masa lapang dibulan Ramadan ini untuk mengisi perkara-perkara yang bermanfaat. Tingkatkan bacaan al-Quran, banyakkan berzikir, beristighfar dan berselawat kepada Nabi SAW. Di malam hari jangan tinggalkan solat terawih berjemaah dimasjid atau surau, solat witir dan tahajud. Ringgan-ringgankan tangan untuk bersedekah samaada untuk orang berbuka puasa, anak yatim, fakir-miskin atau ibu-ibu tunggal yang memerlukan bantuan.

Sesungguhnya beramal dibulan Ramadan akan diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dan dikurniakan ketenangan ke dalam jiwa orang-orang mukmin.



No comments: