Sunday, July 29, 2012

Hidayah Dan Taufik Adalah Hak Allah SWT Tetapi Tugas Dawah Adalah Tanggungjawab Setiap Mukmin


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah perbezaan di antara hidayah dan taufiq?

Hidayah adalah keimanan yang menetap di dalam hati seseorang. Keimanan yang mencakup tiga aspek iaitu 1. Keyakinan di dalam hati (i'tiqadi) , 2. Pengikraran dengan lisan (Iqrari) dan 3. Perlaksanaan dengan anggota badan (amali).

Hidayah juga bermaksud orang yang mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Daripada seorang kufur menjadi seorang yang beriman dan taat pada perintah Allah SWT.

Seseorang yang telah mendapai iman daripada Allah SWT adalah seorang yang mendapat hidayah. Ini bermakna, semua manusia yang menganut agama Islam adalah mendapat hidayah daripada Allah SWT tetapi tidak semua dari kalangan mereka mendapat taufiq untuk mengerjakan amal soleh.

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

Taufiq tidak akan diberikan oleh Azza Wajalla melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNya Ianya berdalilkan ayat dibawah.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan beri petunjuk (hidayah) kepada mereka akan jalan-jalan kami." (Surah al-Ankabut ayat 69)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman" (Surah al-An'am ayat 125)

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT tidak menyeksa sesuatu kaum itu melainkan hidayah itu terlebih dahulu disampaikan kepada mereka. Berpindah dari keadaan jahil kepada takwa itu adalah sesuatu yang sesuai dengan kehendak hidayah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesiapa yang mendapat petunjuk, maka sesungguhnya itu adalah petunjuk untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri (pula). Dan tidaklah memikul beban seorang pemikul akan beban orang lain, dan Kami (Allah) tidak akan mengazab sebelum Kami (Allah) mengutus seorang rasul." (Surah al-Israk ayat 15)

Hidayah dan taufik adalah hak Allah SWT , Dia akan beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Seorang rasul tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang dikasihinya walaupun ahli keluarganya sendiri.

Kisah Nabi Nuh a.s. telah berdakwah hampir 1000 tahun tetapi isteri dan anak lelakinya tidak mahu beriman kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada baginda sendiri.

Nabi Luth a.s. juga menghadapi masaalah yang sama bahawa isteri baginda tidak menerima seruan dakwah yang dibawa oleh baginda sebaliknya bersekongkol dengan golongan homeoseks dengan memberitahu bahawa suaminya (Nabi Luth a.s) mempunyai tetamu lelaki yang segak dengan tujuan mendapat upah yang lumayan.

Nabi Muhammad SAW juga tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya Abu Talib yang banyak berjasa kepada baginda di saat akhir kematiannya.

Abu Talib merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Abu Talib begitu sayang dan kasih kepada Muhammad SAW tetapi beliau sendiri tidak memeluk Islam. Sehinggakan saat kematian beliau, Nabi SAW mengajar beliau mengucap, beliau tetap dengan pendirian dan teguh bersama dengan tuhan nenek moyangnya. Selepas kematian Abu Talib, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Demi Allah , aku meminta ampun daripada Allah selagi tidak di larang".

Lalu turunnya wahyu kepada Nabi SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.(Surah at- Taubah ayat 113)

Dari keterangan di atas telah jelas bahwa Rasulullah SAW hanya mampu berusaha dan berdakwah kepada bapa saudaranya. Adapun hidayah dan taufiq hanya Allah SWT yang mampu memberikan.

Nabi SAW juga pernah berdoa kepada Allah SWT supaya memberi hidayah dan taufik kepada salah seorang daripada dua lelaki (pembesar Quraisy) iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal . Akhirnya Allah SWT kabulkan doa baginda dan Umar bin al-Khattab telah beriman dan masuk Islam dan menjadi seorang sahabat Nabi SAW yang besar.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahal atau ‘Umar bin Al-Khattab.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Sahabat yang dikasihi,
Tugas kita sebagai pendakwah (daie) atau pendidik (murabbi) adalah tugas yang murni di sisi Allah SWT. Kita menjalankan tugas mendidik (tarbiah) kepada umat Islam sendiri dan menyampaikan dakwah Islam kepada orang yang bukan Islam. Perlu di ingat bahawa berjaya atau gagalnya tarbiah atau dakwah yang kita jalankan bukanlah urusan kita kerana hidayah dan taufik adalah urusan Allah SWT.

Di akhirat nanti kita tidak akan ditanya berapa ramai orang yang kita dakwahkan telah masuk Islam, tetapi kita akan ditanya adakah kita telah berdakwah kepada orang bukan Islam yang ada disekeliling kita. Adakah kita telah sediakan program dakwah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka?

Marilah sama-sama kita bergerak dalam satu saf yang tersusun rapi untuk mengembeling tenaga untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah kerana kerja-kerja ini adalah kerja-kerja para rasul yang mulia dan sesiapa yang menjalankan kerja-kerja ini akan mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT .  Tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi yang akan di sediakan oleh Allah SWT.

No comments: