Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT sehingga ke hari ini Allah SWT masih memanjangkan umur kita di bulan Ramadan al-Mubarak, dapat meneruskan ibadah puasa dan dapat meneruskan ibadah rutin kita setiap hari. Tanpa kita sedari bermula sahaja hari baru ini bermakna umur kita semakin singkat untuk menuju kepada kematian. Kematian tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat atau di cepatkan sesaat semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz. Walaupun manusia cuba menjaga kesihatan dengan serapi mungkin dan makan makanan kesihatan yang terbaik dipasaran.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. (Surah al-A'raf ayat 34)
Kematian apabila datang tidak kira umur seseorang , samaada kanak-kanak, remaja yang sihat, dewasa yang berkerjaya dan orang tua yang uzur. Setelah kematian tidak ada lagi kehidupan untuk beramal tetapi yang ada adalah kehidupan untuk mendapatkan balasan dan hisab, tidak ada lagi kehidupan kedua di dunia yang ada adalah kehidupan di alam barzakh dan hari akhirat, hari akhirat adalah hari yang kekal selama-lamanya.
Manusia yang tidak beramal semasa peluang hidup di dunia akan menyesal dan kecewa tetapi semuanya sudah terlambat dan umurnya tidak akan dikembalikan balik oleh Allah SWT . Maka apa yang telah dikerjakan semasa di dunia itu sahaja yang akan dibawa bersama untuk berhadapan dengan Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat.
Nabi SAW berpesan bahawa hidup di dunia ini umpama musafir yang sedang dalam perjalanan menuju destinasi yang dituju. Perjalanan ke alam barzakh dan akhirat adalah terlalu jauh perlu kepada bekalan yang cukup kerana dikhuatiri terkandas di tengah diperjalanan. Bekalan yang dimaksudkan disini adalah bekalan amal-amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan . Nabi SAW juga berpesan semasa perjalanan supaya meninggalkan beban-beban yang berat dan tidak diperlukan kerana ianya akan menyusahkan dalam perjalanan. Maksudnya beban dosa dan maksiat perlulah ditinggalkan sebanyak mungkin (jika boleh kosongkan terus) kerana perjalanan menuju akhirat memakan masa beribu tahun sebelum dihisab dan dimasukkan samaada ke syurga atau ke neraka.
Alam barzakh adalah alam pertengahan di antara alam dunia dan hari akhirat. Di alam barzakh seorang manusia akan tahu kedudukannya nanti selepas berlakunya kiamat dan di himpunkan di Padang Mahsyar samaada akan ke syurga atau ke neraka. Jika dia termasuk golongan orang-orang yang beriman dan bertakwa maka dia akan duduk di alam barzakh seperti taman-taman syurga, tetapi sebaliknya jika dia orang kafir, fasik atau munafik maka dia akan duduk di alam barzakh seperti salah satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Masing-masing akan diperlihatkan setiap pagi dan petang.
Bagi orang-orang kafir dan ahli maksiat (melakukan dosa-dosa besar) mereka bukan sahaja menderita kerana melihat azab yang akan mereka terima nanti tetapi di alam barzakh sendiri mereka akan di seksa dengan azab kubur yang bukan kepalang sakitnya dan dibalun setiap hari kerana dosa-dosa yang pernah mereka lakukan ketika di dunia. Malaikat Munkar dan Nakir datang dalam keadaan bengis dan tidak ada belas kasihan, bumi menghimpit simati dengan hempitan yang dahsyat dan ular-ular yang berbisa akan membelit dan mematuk simati. Penyiksaan ini dilakukan berulang-ulang hingga sampai hari kiamat.
Sahabat yang dimuliakan,
Hari kiamat pasti datang mematikan semua makhluk lalu membangkitkannya kembali untuk mendapatkan hisab dari seluruh amalnya. Setelah itu tidak ada lagi hari untuk beramal kerana hari itu adalah hari pembalasan. Beramalah sebelum hari kiamat tiba.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."
Dari Ady bin Hatim r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda, "Tidak seorang pun di antara kamu sekelian, kecuali Tuhannya akan berbicara kepadanya besok di hari kiamat. Antara ia dan Tuhannya tidak ada penterjemah. Ia memandang suatu kebaikan, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dipersembahkannya, dan ia memandang sesuatu yang buruk darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dilakukannya serta memandang apa yang ada di depannya, maka ia tidak melihat kecuali neraka yang persis ada di depan wajahnya. Maka takutlah kalian kepada neraka meski dengan hanya (bersedekah) separuh kurma, dan kalimat yang baik." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita di bulan yang mulia ini. Apakah maksud amal soleh? Amal soleh adalah setiap amal yang boleh mendatangkan pahala. Sebesar-besar amal soleh adalah solat hingga sekecil-kecilnya membuangkan halangan dijalan raya. Amal yang mula-mula di hisab di hari akhirat adalah solat seseorang, jika diterima solatnya maka barulah amal soleh yang lain akan di hisab. Buangkanlah segala beban-beban dosa yang akan menyusahkan kita dengan kita banyak bertaubat dan beristighfar dan bersedekah.
Jika ada dosa-dosa menumpat, memfitnah, mengambil barang orang maka cepat-cepatlah minta maaf dan pulangkan kepada yang punya hak. Jika di blog dan facebook banyak share berita-berita fitnah, sangkaan, tuduhan zina, kutuk orang lain , maki hamun maka cubalah minta maaf dan padamkan gambar-gambar dan nota-nota tersebut dan gantikan dengan nota-nota yang bermanfaat untuk mengajak kepada kebenaran dan Islam.
Jangan dilambat-lambatkan amal soleh ini dan jangan tunggu kerana dikhuatiri kita mati dulu tidak sempat bertaubat dan minta maaf kepada orang yang kita mengumpat dan fitnah dahulu, atau pun orang yang menjadi mangsa mengumpat dan fitnah mati dulu dan kita pula tidak sempat meminta maaf. Kedua-dua keadaan kita amat mencemaskan jika kita fikir dengan hati yang yakin kepada kehidupan di hari akhirat.
No comments:
Post a Comment