Monday, July 30, 2012

Fasa Kedua Ramadan : Pengampunan Daripada Allah SWT (Maghfirah)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai melalui Fasa Pertama keistimewaan bulan Ramadan iaitu permulaannya rahmat dan kita akan masuk Fasa Kedua pertengahannya maghfirah (keampunan Allah SWT)

Bulan suci Ramadan dikenal juga sebagai syahrul maghfirah (bulan ampunan), kerana di bulan inilah Allah SWT berkenan memberikan maghfirah-Nya dengan sangat murah kepada para hamba-Nya yang ingin bertaubat. Dan bagi mereka yang sudah memperoleh maghfirah-Nya, tidak ada balasan lain selain syurga. Sehingga seolah-olah Allah memberi tawaran istimewa untuk mendapat syurga-Nya di bulan ini. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan ibadah (qiyam) pada bulan Ramadan kerana iman dan mencari reda Allah semata, maka diampunilah dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Berlimpahnya maghfiroh dari Allah ini memang tidak mengherankan, mengingat Allah SWT memiliki sifat Al-Ghaffar ( Maha pengampun). Nah agar kita lebih meyakini dan menghayati ke Maha Pengampunan Allah SWT

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai” (Surah at-Tahrim ayat 8)

Ibnul Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah menggariskan cara taubat nasuha:

1) Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.

2) Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyeksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.

3) Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.

4) Memastikan agar taubat itu benar-benar dari rasa takut, kesedaran dan gentar terhadap seksa Allah SAW, mengharapkan apa yang ada di sisiNya dan khawatir terhadap ancamanNya.

Allah SWT berfirman lagi: “Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa”. (Surah az-Zumar ayat 53)

Dari Abu Musa al-Asy’ari radiallahu ‘anhu beliau menceritakan: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah Azza wa-Jalla membentangkan tanganNya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari dan membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari. Demikianlah seterusnya sehingga sampai matahari terbit dari barat (kiamat)”.
(Hadis riwayat Muslim)

Berkata Luqmanul al-Hakim kepada anaknya : “ Biasakan lisanmu dengan perkataan : "Ya Allah, ampunkanlah daku", sesungguhnya Allah menjadikan beberapa waktu yang tidak ditolak doa seseorang.”

Berkata Hassan al-Basri : “ Perbanyakkan istighfar di rumah-rumahmu, hidangan-hidanganmu, jalananmu, pasar-pasarmu, serta dalam majlis-majlismu, dan dimana sahaja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan.”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu darisegi zahir dan batin.
 
Puasa pada hati iaitu menghidupkan hati dengan zikrullah, mengingati Allah, meningkatkan iman, takwa, tawakkal, tawaduk, sabar dan membuangkan sifat-sifat mazmumah (sifat –sifat yang dikeji seperti hasad dengki, iri hati, sombong , takbur dan buruk sangka).

Puasa pada nafsu tidak makan dan minum disiang hari dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan tidak makan dan minum berlebihan ketika berbuka. Kontrol nafsu makan dan tidak melakukan pembaziran.

Puasa pada pancaindera iaitu menjaga mulut, mata, telinga dan anggota lain supaya tidak melakukan sesuatu yang ditegah oleh syarak.

Darisegi ibadah yang lain pula berjalan dan berterusan secara istiqamah iaitu solat tarawih, solat duha, solat tahajjud, solat taubat,solat hajat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan, sedekah , bermunajat, berdoa dan berzikir . Tidak ada ruang langsung untuk membuang masa yang sia-sia.

Sekiranya apa yang dinyatakan diatas terdapat didalam puasa kita dan perlaksanaan ibadah-ibadah yang lain, memenuhi ciri-ciri tersebut insya Allah kita mempunyai puasa yang berkualiti seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT . Pengampunan daripada Allah SWT seiring dengan puasa yang berkualiti.

Sahabat yang dikasihi,
Dalam fasa kedua ini Allah SWT. akan menerima dan memberi pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang merayu , berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya.
 
Amalkanlah membaca doa ini sebelum membuat sebarang permohonan kepada Allah SWT. agar doa kita diterima oleh-Nya.

“Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.”
 
“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
 
“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada dosa dan hutang.”
 
“Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

"Ya Allah berikanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan bebaskanlah kami daripada seksaan api neraka."


No comments: