Thursday, August 23, 2012

Kunci Untuk Memasuki Syurga Adalah Dengan Mengucap Dua Kalimah Syahadah dan Bertakwa Kepada Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Syurga yang indah ciptaan Allah SWT adalah satu tempat yang disediakan oleh Allah SWT sebagai balasan kepada golongan jin dan manusia yang mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT ketika di dunia ini. Sebagaiaman firman Allah SWT yang bermaksud : “Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku” (Surah Az-Zariyat ayat 56).

Berdasarkan maksud firman Allah SWT. yang dinyatakan di atas ketahuilah kita bahawa tiada tujuan lain Allah SWT. menjadikan kita di muka bumi ini melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Nya.

Maksud beribadah atau mengabdikan diri kepada-Nya di dunia ini adalah meragkumi beriman dengan penuh yakin dengan rukun Iman dan rukun Islam , dengan melaksanakan segala perintah-perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Firman Allah SWT yang. bermaksud: “... iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”(Surah Ar-Rum ayat 30)

Terdapat dua kunci yang boleh membuka pintu syurga iaitu :

Pertama : Mengucap dua kalimah syahadah.

Kedua : Bertakwa kepada Allah SWT.

Huraiannya :

Pertama : Mengucap dua kaliamh syahadah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah. Tidaklah seorang hamba yang bertemu Allah dengan dua kalimah ini tanpa sebarang syak melainkan akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi dalam hadis yang lain yang bermaksud:

 “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan ba­hawa Muhammad adalah utusan Allah, nescaya Allah haramkan ke atasnya neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW telah meletakkan syarat bagi mencapal kelebihan kalimah mulia ini mestilah dengan ilmu. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Muslim, yang bermaksud :

“Barangsiapa mati dalam keadaan dia mengetahui bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, nescaya dia masuk syurga.”

Syahadah atau penyaksian

لا إله إلا الله محمد رسول الله

Membawa maksud: "Suatu iktikad yang kukuh bahawa tiada tuhan yang berhak dan layak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahawa nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruh Allah."

Melaksanakan segala tuntutan dua kalimah syahadah ini adalah dengan membebaskan jiwa raga daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah SWT serta mengelakkan diri daripada mengikut petunjuk selain petunjuk Rasulullah SAW.

Kedua : Bertakwa kepada Allah SWT.

Allah Subhana Wa Ta'ala berfirman maksudnya : “Katakanlah, ‘Mahukah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?’ Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, serta pasangan-pasangan yang suci, dan keredaan dari Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya; (iaitu) orang-orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, kami benar-benar beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami, dan lindungilah kami dari azab neraka.’ (Juga) orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfakkan hartanya, dan orang yang memohon ampunan pada waktu sebelum fajar.” (Surah Ali- Imran [3] ayat 15–17)

Takwa adalah memelihara diri dari seksaan Allah SWT dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya; tidak cukup di maksudkan dengan takut saja. Adapun maksud lain dari takwa adalah:

1. Melaksanakan segala perintah Allah SWT.

2. Menjauhkan diri dari segala yang dilarang Allah SWT (perkara-perkara yang di haramkan)

3. Reda (menerima dan ikhlas) dengan hukum-hukum dan ketentuan Allah SWT. Dan reda dengan qada dan qadar-Nya.

Apakah yang dimaksudkan denga takwa?

Menurut Saidina Ali bin Ali Talib k.wj., takwa adalah takut dari ancaman Allah SWT., beramal sesuai dengan al-Quran, bersyukur dengan nikmat yang banyak, reda dengan yang sedikit dan bersiap-siap untuk masa yang panjang. Ini selaras dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr ayat 18)

Dalam firman Allah SWT yang lain pula: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” (Surah Ali- Imran ayat 102)

Individu yang bertakwa adalah insan yang mampu mewujudkan nilai Islam secara menyeluruh dalam dirinya. Pada dirinya terpadu nilai Islam yang akan melaksanakan segala tuntutan Islam, nilai iman yang sempurna keislamannya iaitu membenarkan segala nilai Islam secara total dari sudut hati, fikiran dan fizikal dan nilai Ihsan yang mempunyai nilai iman yang sempurna iaitu menghambakan diri hanya kepada Allah SWT, merasa kehadiran dan pengawasan Allah SWT. serta kebersamaan dengan-Nya.

Kemudian nilai-nilai Islam ini akan mampu diserapkan dalam keluarga, masyarakat dan umat keseluruhan.

Individu yang bertakwa adalah individu yang mempunyai tahap kematangan yang sempurna. Sifat takwa ini wujud dari amal ibadah yang disertai oleh hati, fikiran dan anggota badan dan menyerah diri secara menyeluruh kepada Allah SWT.

Untuk menjadi hamba yang beriman dan bertakwa adalah beramal untuk kepentingan akhirat dan bukannya nafsu yang meruntun jiwa untuk tunduk kepada kepentingan dunia dan harta benda. Seluruh fizikal, fikiran dan hatinya apabila melakukan sesuatu amal hanyalah menjurus semata-mata untuk mencapai reda Allah SWT iaitu melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan larangan-Nya. Inilah yang dinamakan sebagai individu yang beriman dan bertakwa dan mempunyai jiwa bebas dan merdeka serta berjiwa besar dan berkepimpinan kerana mampu memimpin dirinya dan menahan diri dari desakan yang bersifat sementara dan mengarahkan tujuan kepada matlamat yang lebih kekal.

Sekiranya hakikat ini benar-benar difahami, sudah tentu tiada yang terlepas pandang berkaitan hakikat iman dan takwa ini.

Menurut Ibnu Taimiyah:
“Orang yang terpenjara adalah orang yang hatinya dihalangi dari Tuhannya, sedangkan orang yang ditawan adalah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita beramal diatas tuntutan dua kalimah syahadah yang sering kita ucapkan berulang-ulang ketika membaca tahyat akhir di dalam solat dan juga menjadikan takwa sebagai pakaian hidup kita. Jika kita istiqamah dan menghayati sepenuhnya dua perkara di atas maka kita telah menyediakan kunci-kunci pintu syurga yang akan kita bawa bersama ketika kita bertemu dengan Allah SWT di hari akhirat nanti.




No comments: