Friday, August 24, 2012

Tafsir Surah Al-Hasyr Ayat 9

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Juga untuk orang-orang (Ansar) yang menetap dalam negeri Hijrah (Madinah) dan dalam keimanan sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin). Mereka sayangkan orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. Dan mereka tidak menaruh apa-apa keinginan di dalam hati mereka terhadap apa sahaja yang diberikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan kepentingan orang-orang Muhajirin dari kepentingan diri mereka sendiri walaupun mereka dalam kesusahan (kepicikan). Dan barang siapa yang dipeliharakan dari kebakhilan dirinya, maka merekalah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hasyr ayat 9)

Asbabun Nuzul ayat 9 :

Abu Hurairah berkata paada suatu hari, seaorang mendatangi Rasulullah SAW dan berkata " Rasulullah aku kelaparan.

Rasul pun menanyakan persediaan makanan kepada para isteri baginda. Namun mereka memberitahu bahawa  tidak ada makanan sama sekali. Lalu Rasulullah berkata pada para sahabatnya : "Semoga Allah merahmati siapa pun diantara kalian yang mahu menjamunya malam ini. "

"Aku akan menjamunya ya Rasulullah" kata  seorang sahabat Ansar.

Ia pun pulang dan berkata pada isterinya : "Berikan makanan pada tamu Rasulullah ini"

"Demi Alllah , makanan ini hanya cukup untuk anak-anak kita."jawb isterinya.

"Jika anak kita lapar tidurkanlah mereka dan padamkan lampu. Biarlah kita menahan lapar pada malam ini" pesan sahabat tadi.

Si-isteri pun melakukan pesan suaminya itu. Atas peristiwa ini lah Allah menurunkan ayat 9 (surah al-Hasyr) ini."
(Hadis Riwayat Bukhairi)

Asy-Sayyid Qutb rahimahullah telah menfsirkan ayat di atas di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, katanya :

"Sejarah umat manusia seluruhnya tidak pernah mememui satu peristiwa kelompok manusia seperti peristiwa sambutan orang-orang Ansar terhadap orang-orang Muhajirin. Mereka telah memberi sambutan yang begitu mesra dan murah hati kepada kaum Muhajirin. Mereka berkongsi hidup dengan mereka dengan penuh kerelaan. Mereka berlumba-lumba memberi tempat kediaman kepada mereka dan memikul beban penempatan mereka, sehingga ada riwayat yang menceritakan bahawa tidak ada seorang dari Muhajirin yang tinggal di rumah orang Ansar melainkan dengan jalan undi, kerana bilangan tuan-tuan rumah yang ingin memberi tempat kediaman itu lebih banyak dari bilangan orang-orang Muhajirin.

"Mereka tidak menaruh apa-apa keinginan di dalam hati mereka terhadap apa sahaja yang diberikan kepada mereka (Muhajirin)"

Iaitu terhadap apa sahaja kedudukan istimewa yang dinikmati orang-orang Muhajirin dan terhadap apa sahaja pemberian kewangan yang diberika kepada mereka seperti dalam pembahagian fai'il. Mereka tidak menaruh apa-apa perasaan pun terhadap itu semua, mereka tidak pernah bersunggut kerana hasad dan geram. Ungkapan "Apa-apa keinginan" membayangkan kebersihan hati yang sempurna dan mutlak.

Kesanggupan mengutamakan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri yang berada di dalam kesusahan itu merupakan satu kemuncak akhlak yang amat tinggi yang telah dicapai oleh orang-orang Ansar.

"Dan barangsiapa yang dipeliharakan dari kebakhilan dirinya, maka merekalah orang-orang yang beruntung."

Sifat bakhil atau kikir itulah yang menjadi penghalang setiap kebajikan, kerana kebajikan itu mengandungi unsur berkorban dalam berbagai-bagai bentuk iaitu berkorban harta, berkorban perasaan, berkorban tenaga dan berkorban nyawa jika perlu. Seorang bakhil yang selama-lamanya mahumengambil dan tidak sekalipun mahu memberi, tidak mugkin berbuat kebajikan. Oleh itu, barangsiapa yang dipelihara dari tabiat bakhil bererti dia terpelihara dari penghalang kebajikan dan dia akan dapat berbuat kebakikan dengan bebas dan murah hati. Inilah keberuntungan dalam erti kata yang sebenarnya."

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan sirah di atas jelaslah kepada kita bagaimana tarbiah dan dakwah Rasulullah SAW telah melahirkan satu generasi yang mengutamakan kepentingan sahabat-sahabtnya lebih daripada kepentingan diri mereka sendiri.

Bagimana seorang isteri yang solehah (isteri kepada sahabat Ansar) bersedia untuk memberikan makanan kepada tetamu yang lapar dan menidurkan anak-anaknya juga dalam keadaan lapar kerana makanan pada malam itu tidak mencukupi. Kesolehah kedua pasangan suami isteri ini telah mendapat pujian daripada Allah SWT. Allah SWT reda dan memberikan rahmat dan keberkatan kepada kedua pasangan tersebut dan anak-anak mereka hingga turun ayat ke 9 ini.

Walau pun nilai amal pada malam itu nampak kecil tetapi ianya sungguh besar disisi Allah SWT . Bayangkanlah betapa mulianya peristiwa malam tersebut sehingga Allah SWT turunkan satu ayat khusus untuk memberi pujian dan kasih sayang-Nya kepada keluarga tersebut dan sahabat-sahabat Ansar yang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat bakhil atau kedekut untuk menginfakkan harta kita dan membantu saudara-saudara kita yang miskin dan memerlukan bantuan. Ingatlah sedekah yang kita berikan kepada saudara kita yang susah belum pun sempat harta itu sampai ketangan mereka ianya telah sampai ketangan Allah terlebih dahulu dan Dia akan memberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Sifat bakhil adalah sifat ahli neraka sedangkan sifat pemurah adalah sifat ahli syurga. Perlu kalian fahami bahawa semua harta yang kalian miliki bukanlah hak kalian sepenuhnya tetapi ianya adalah hak Allah SWT, harta tersebut adalah pinjaman sementara waktu dari Allah SWT, sampai masanya Dia akan ambil balik tanpa kalian sedari. Dari itu tunaikan hak-haknya iaitu berzakat jika cukup nisab dan tempuhnya dan banyakkan bersedekah kerana harta yang disedekahkan akan dilipat gandakan balasannya oleh Allah SWT dan hidup akan diberkati dan dirahmati-Nya.





No comments: