بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Surah al-Qadr adalah surah Makkiyah mengandungi 5 ayat.
Asy- Syahid Qutb berkata : "Pembicaraan dalam surah ini adalah mengenai malam bersejarah yang dijanjikan Allah dan disambut seluruh alam dengan penuh gembira iaitu malam perhubungan mutlak di antara bumi dan alam al-Mala'ul-A'la, malam permulaan turunnya al-Quran kepada hati Nabi Muhammad SAW, malam peristiwa agung yang belum pernah di saksikan bumi seumpamanya baik darisegi kebesaran dan maknanya maupun dari segi kesan-kesannya dalam kehidupan manusia, iaitu kebesaran yang tidak dapat diliputi oleh fikiran manusia."
Firman Allah SWT maksudnya :
1. Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al Quran) pada malam al Qadr.
2. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr (kemuliaan) itu?
3. Malam al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan.
4. Turun malaikat-malaikat dan roh (malaikat Jibril) padanya (malam al-Qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.
5.Sejahteralah ia (malam itu) sehinggalah terbit fajar (subuh).
Tafsirannya :
Ayat 1 :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr ”.
Dan malam tersebut sudah pastinya di bulan Ramadan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran.”
Ibn Abbas berkata: Allah telah menurunkan al-Quran dalam jumlah yang satu (sekaligus) daripada Loh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di Langit Dunia. Kemudian ia diturunkan secara beransur-ansur berdasarkan kejadian yang berlaku sepanjang kehidupan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah SAW selama tempoh 23 tahun.
Ayat ke 2.
"Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr (kemuliaan) itu?
Ayat ke 3.
"Malam al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan."
Asbabun Nuzul ayat ke 3
Mujahid r.a. menegaskan bahawa pada zaman Bani Israel, ada seorang lelaki (bernama Syam'un) yang tekun melakukan ibadah di malam hari dan berjuang meluhurkan (menegakkan) agama Allah di siang hari selama seribu bulan. Oleh kerana itu, Allah menurunkan ketiga ayat ini sebagai keutamaan bagi umat Rasulullah SAW, agar mereka dapat beramal soleh seperti lelaki Bani Israel."(Hadis Riwayat Ibnu Jarir )
Sufyan as Thauri berkata, “Telah disampaikan kepada aku daripada Mujahid bahawa malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan (maknanya) : amalannya, puasanya, dan mendirikan malamnya adalah lebih baik dari seribu bulan. Dan daripada Mujahid, malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang tidak ada pada malam-malam yang lain.
Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat tuan jika saya mengetahui waktu lailatul Qadr, apa yang saya ucapkan di malam itu?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang sahih)
Ayat ke 4
"Turun malaikat-malaikat dan roh (malaikat Jibril) padanya (malam al-Qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan."
Malaikat-malaikat yang dimaksudkan pada ayat 4 ialah malaikat rahmat yang membawa segala rahmat dan keberkatan pada malam itu. Banyaknya malaikat turun menandakan banyaknya keberkatan dan rahmat turun pada malam al-Qadr. Keadaan ini samalah ketika turunnya malaikat kepada orang yang sedang membaca al-Quran atau orang yang duduk dalam majlis /halaqah zikr.
Mereka melingkungi orang yang berzikir serta melabuhkan sayap mereka ke atas orang-orang yang menuntut ilmu kerana memuliakan penuntut ilmu.
Manakala ar-roh pula ialah Malaikat Jibril alaihissalam. Adapun “membawa segala urusan” membawa maksud segala takdir berkaitan ajal dan rezeki, dan ketentuan segala perkara sebagaimana disebut oleh Qatadah.
Ayat ke 5
"Sejahteralah ia (malam itu) sehinggalah terbit fajar (subuh)."
Sejahtera di sini bermaksud syaitan tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara jahat pada malam itu. Kata Qatadah dan Ibn Zaid , Rasulullah bersabda, “ Salaamun hia” bermaksud baik seluruhnya , tidak ada padanya(malam al-Qadr) kejahatan hinggalah terbitnya fajr(Subuh).
Adapun antara tanda malam al Qadr ialah berdasarkan kepada hadis-hadis di bawah:
Dari ‘Ubay radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Pagi hari malam al-Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi” (Hadis Riwayat Muslim 762)
Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda : "Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan” (Tahayalisi 349, Ibnu Khuzaimah 3/231, Bazzar 1/486, sanadnya Hasan)
Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.”
(Hadis Riwayat Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).
Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
Masa berlalunya separuh malam. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.(waktunya di antara 4.00 pagi -5.30 pagi).
Asy-Syahid Sayyid Qutb memberi tafsirannya di dalam Fi Zilal Quran (Di Bawah Bayangan Al-Quran, katanya :
"Kita umat mukminin adalah diperintah supaya jangan lupa malam yang agung itu. Nabi SAW telah menunjukkan satu cara mudah untuk memperingati malam itu supaya jiwa kita mempunyai hubungan yang abadi dengannya, di samping mempunyai hubungan yang abadi dengan peristiwa universal yang berlaku pada malam itu, iaitu baginda SAW telah menggalakan kita supaya menghidupkan malam itu dengan amal ibadat setiap tahun dan menunggu-nunggu Lailatul Qadr pada malam-malam yang terakhir.
Tersebut di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, sabda Rasulaullah SAW maksudnya : "Carilah Lailatul Qadr itu pada malam-malam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadan."
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa yang berbuat ibadat pada Lailatul-Qadr kerana di dorong keimanan dan harapan mendapatkan pahala dari Allah nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu."
Islam bukanlah upucara gerak-geri yang lahir, kerana itu Rasulullah SAW menegaskan supaya amal ibadah yang dilakukan pada malam hari itu hendaklah dikerjakan dengan hati yang penuh keimanan dan harapan mendapatkan pahala dari Allah, agar ibadat itu benar-benar menghidupkan konsep-konsep agung yang di duduki malam itu dan agar benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Dengan ibadat yang seperti ini melahirkan dalam hati hakikat tertentu dari ibadat malam itu yang ada kaitan dengan tujuan yang diturunkannya oleh al-Quran.
Menghubungkan peringatan Lailatul Qadr dengan melakukan ibadat pada malamnya dengan penuh iman dan ikhlas kerana Allah , merupakan sebahagiaan dari methodologi pendidikan Islam yang berjaya, kuat dan teguh."
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama mencari Lailatul Qadr pada malam-malam yang ganjil sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : “…Maka carilah ia sungguh-sungguh pada 10 malam yang terakhir dari Ramadan.”
Mohonlah kepada Allah SWT semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat-Nya, di masukkan-Nya kedalam syurga dan dibebaskan daripada seksaan api neraka.
No comments:
Post a Comment