Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita membicarakan mengenai politik masa kita, kita akan bertemu dengan istilah arab, Tahaluf Siasi. Istilah ini akan di perbincangkan dan di perkatakan supaya umat Islam dapat memahaminya dan tdak lagi timbul kekeliruan yang sering di salah tafsirkan oleh media arus perdana.
Apakah maksud Tahaluf Siasi ?
Tahaluf Siasi bermaksud 'kerjasama politik' di mana organisasi Islam
memilih untuk bekerjasama dengan organisasi lain untuk membina sebuah
kerajaan. Idea Tahaluf Siasi dikemukakan oleh Sayyid Muhammad Rashid
Ridha yang mengeluarkan kaedah Tahaluf Siasi: " Kita bekerjasama dalam
hal-hal yang disepakati dan berselisih dalam hal-hal yang tidak
disepakati." Idea ini kemudian dijadikan suatu strategi oleh Al-Imam
Hasan al-Banna dalam mengembangkan dakwah Ikhwan Muslimin di Mesir.
Tahaluf Siasi yang dibenarkan syarak ialah kerjasama yang tidak
menggadaikan prinsip-prinsip utama syarak, contohnya akidah dan perundangan Islam. Dalilnya: Nabi Muhammad SAW banyak membuat pakatan kerjasama dengan
Bani-bani arab untuk menguatkan kerajaaan Madinah dalam menghadapi
ancaman berterusan dari musyrikin Quraisy.
Setiap
para pendokong dakwah samaada yang bergerak dalam harakah Islamiah atau organisasi Islam perlulah memahami Tahaluf Siasi supaya dengan kefahaman
ini mereka akan dapat bergerak dalam organisasi Islam dengan cara yang
betul dan sesuai dengan realiti terkini. Kekeliruan dalam memahami
realiti semasa menyebabkan organisasi Islam akan berada di dalam
keadaan kerugiaan kerana bertindak dengan uslub dan strategi yang tidak
tepat dan akan merugikan Islam sendiri.
Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, gerakan
Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah
pimpinan Al- Imam Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di
Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiah Allah SWT.
Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan
gerakan-gerakan Islam dan parti-parti politik Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan
konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah
menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan
semula sistem khilafah yang telah berkubur.
Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam / organisasi Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan
aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina
pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam
dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama
dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau
sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Persoalannya, adakah
ia merupakan satu keharusan?
Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam / organisasi Islam untuk
menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat
yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?
Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam / organisasi Islam dengan mana-mana
pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya.
Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui
bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siasi juga
kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi
untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, Tahaluf Siasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan
Islam untuk menghadapi musuh yang sama.
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa pandangan ulama haraqi mengenai Tahaluf Siasi, ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Hujah-hujah daripada ulama yang bersetuju dengan Tahaluf Siasi lebih kuat dan lebih tepat berbanding golongan ulama yang menentang di gunakan kaedah Tahaluf Siasi.
Di antara ulama yang mengharuskan Tahaluf Siasi ialah Dr
Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad
al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .
1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman
jahiliah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong
golongan yang di zalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi
Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang
menyatakan :
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : "Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika
jahiliah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin
patut dilaksanakan." - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman
jahiliah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah
ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana
Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika
jahiliah, tetapi kerana Nabi SAW telah memujinya semasa Islam, ia
dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun
yang berada dalam ikatan perjanjian itu adalah orang-orang bukan Islam , ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya
adalah baik.
2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk
menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di
antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :
Peringkat pertama : Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk
melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib
lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang
kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa
selama-lamanya”
Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah
beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk
membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan
Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul
termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.
Peringkat kedua : Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan
pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak
balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat
penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau
dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya
urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding
kaabah.
Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan
bahawa menjadi satu keharusan harakah Islam / organisasi Islam untuk mendapat perlindungan
daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya.
Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga
menggadaikan perjuangannya.
3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas
kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan
dakwah ke Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Makkah dengan
perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah
SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda
apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup
lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”
Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan
kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu
yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW.
Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan
pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal .
Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak
berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan
kepada Islam dan umatnya.
4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika
ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah
Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang
menjadi hujah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan
orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua
pihak.
Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai
haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah
tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka
hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa
memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang
di zalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan
perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad
Rasulullah SAW…”
Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan bukan Islam di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar
Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.
5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila
baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk
mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW
mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik
dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum
Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani
Hasyim semenjak zaman jahiliah dan mereka meneruskan hubungan baik
mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW
mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan
tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.
6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke
Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari
Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut
merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari
orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.
Sahabat yang dikasihi,
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam
/ organisasi Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada.
Tahaluf Siasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam / organisasi Islam mendapat
keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT.
Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan
hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat
awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.
Kerjasama politik (Tahaluf Siyasi) di antara gerakan Islam / organisasi Islam dengan organisasi bukan Islam mutakhir ini akan berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Tujuan kerjasama adalah supaya mempunyai kekuatan untuk mendapatkan majoriti mudah dalam pengundian pilihanraya demokrasi.
Dengan kejayaan tersebut segala perancangan untuk memberi keadilan sepenuhnya kepada rakyat dan mengembalikan balik hak-hak rakyat yang sekian lama terabai dapat dipulihkan. Kejayaan ini juga diharapkan dapat memaksimakan hasil negara untuk dihikmati semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan, menghapuskan ketirisan wang negara, memberi pendidikan dan perubatan percuma kepada rakyat jelata.
Perlu dijelaskan disini mana-mana pemimpin pertubuhan Islam / pertubuhan bangsa yang mengabaikan Tahaluf Siasi dan memandang negatif terhadap kaedah ini sebenarnya mereka tidak berpijak dibumi nyata dan akan mengalami kegagalan kerana mereka tidak melihat sirah dan sunah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW.
Umat Islam perlu jelas di antara prinsip dan strategi . Tahaluf Siasi adalah strategi bukan prinsip, strategi boleh berubah-rubah tetapi prinsip Islam tidak boleh berubah. Oleh itu kalian perlulah berhati-hati dengan berita yang dibawa media arus perdana yang cuba membuat banyak kekeliruan yang mencampur adukkan di antara prinsip dengan strategi demi agenda politik pihak-pihak tertentu.
Umat Islam perlu jelas di antara prinsip dan strategi . Tahaluf Siasi adalah strategi bukan prinsip, strategi boleh berubah-rubah tetapi prinsip Islam tidak boleh berubah. Oleh itu kalian perlulah berhati-hati dengan berita yang dibawa media arus perdana yang cuba membuat banyak kekeliruan yang mencampur adukkan di antara prinsip dengan strategi demi agenda politik pihak-pihak tertentu.
2 comments:
hujah tuan tak kuat langsung berbanding dengan kajian ISMA... kalau x ada ilmu lebih baik diam
Kpd tuan Anonymous...
Berlapang dada dan beradablah dengan orang lain
Cemuhan begitu tidak di ajarkan oleh Islam.
Post a Comment