Thursday, January 3, 2013

Berwaspadalah Semoga Kurniaan Allah SWT Tidak Menjadi Istidraj

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Takutlah kita kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan-Nya kepada kita, sedangkan kita melakukan maksiat kepada-Nya kerana dikhuatiri ianya merupakan istidraj.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Kami akan binasakan mereka perlahan-lahan dengan jalan yang mereka tidak sedar." (Surah al-A'raf ayat 182) 

Orang kafir, musyrik, ahli maksiat, orang zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam kehidupan dunia ini selalu mendapat berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang memiliki sebahagian besar kekayaan dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang menjadikan mereka kuasa besar di dunia. Mereka juga menguasai bidang-bidang sukan, muzik, kesenian dan lain-lain. 


Kumpulan manusia yang beriman pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam. Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya.  

Kurniaan yang tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan istidraj. Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah SWT. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah SWT mendatangkan bala yang besar kepada mereka. Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah. Kejatuhan yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat dan azab.

Allah SWT  berfirman yang bermaksud : "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).  (Surah al-An’aam ayat 44)
 

Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah SWT, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat. Waspadalah!
 

Allah SWT sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah SWT  dengan merendahkan diri. Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah SWT. Kemudian Allah SWT gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. 

Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemungkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah SWT. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf). Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”.  Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya. (Surah al-A’raaf ayat 94-95 )

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Apabila seksaan dan kebinasaan dari Allah SWT  datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak tahu berbuat apa-apa. (Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat. (Surah al-Anbiyaa’ ayat 40)
 
Sahabat yang dimuliakan,
Sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan Allah SWT melalui saluran istidraj. Firaun dan Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan tengelam di Laut Merah dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa di telan bumi ketika asyik dengan kesombongan dan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi terdahulu seperti umat Nabi Nuh a.s. di tengelamkan oleh banjir besar dan umat Nabi Luth a.s. dihancurkan dengan gempa bumi yang sangat dahsyat


Orang-orang yang beriman sentiasa mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj. 


Para pemimpin di dunia yang telah lama berkuasa dan menzalimi rakyat , mereka mengambil rasuah dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan menuntut hak mereka, maka seorang demi seorang telah jatuh tersungkur dibawah arus kebangkitan rakyat dengan izin Allah SWT. Mereka telah digantikan dengan pemimpin baru yang lebih adil dan telus memperjuangkan hak rakyat yang telah lama dinafikan hak-hak  mereka.  

Sudah sampai masanya penguasa yang terlalu lama memerentah akan jatuh dan digantikan dengan pimpinan baru yang lebih telus dan adil. Pertukaran ini adalah sunatulah kerana Allah SWT akan mewariskan bumi ini untuk orang-orang mukmin yang beriman dan bertakwa. Manusia dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah dimuka bumi supaya dapat mentadbir alam ini dengan adil dan saksama.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah Amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik’’. (Surah al-’Araf ayat 56)


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita insaf bahawa hidup kita di dunia bukan untuk bermewah-mewah dan membazirkan masa dan harta benda kerana semuanya akan dihisab di hari akhirat nanti. Jika sumber yang kita perolehi daripada sumber yang halal dan kita belanjakan pula dijalan yang hak dan terus diinfakkan dijalan Allah SWT, maka kebahagianlah yang akan kita perolehi apabila bertemu Allah di hari pembalasan nanti. Sebaliknya jika kita lupa Allah SWT dan lupa untuk beramal soleh ketika di dunia maka kerugian dan penyesalan tidak akan berkesudahan. Oleh itu istiqamahlah dijalan yang diredai oleh Allah SWT.  




2 comments:

saifudin abu izzudin said...

Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...

saifudin abu izzudin said...

Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...