Saturday, January 26, 2013

Mewakafkan Harta :Syarat-syarat dan Kebaikannya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Wakaf adalah berasal daripada bahasa Arab: وقف, (ˈwɑqf); adalah perbuatan yang dilakukan wakif (pihak yang melakukan wakaf) untuk menyerahkan sebagian atau keseluruhan harta benda yang dimilikinya untuk kepentingan ibadah dan kesejahteraan masyarakat untuk selama-lamanya.


Wakaf dari segi bahasa bermaksud tahan atau berhenti.

Wakaf dari segi istilah pula bererti menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya.

Wakaf ialah menahan harta tertentu yang boleh diambil manfaat daripada zatnya untuk digunakan pada tujuan kebajikan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. dan tidak boleh dijadikan jual-beli atau "hibah"(di hadiahkan) pada zat benda yang diwakafkan itu.

Hukum Syarak

Hukum wakaf adalah harus dalam syariat Islam dan ia adalah amalan yang digalakkan dengan berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Terdapat banyak hikmah yang diperolehi dengan mewakafkan harta. Antaranya adalah seperti berikut:

 1. Membuka jalan ke arah ibadah kepada Allah SWT.

 2. Merealisasikan minat orang  beriman yang suka memberi wakaf dan berlumba-lumba dalam amal kebajikan dan mengharapkan pahala.

3. Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf selepas kematian selagimana harta wakaf tersebut berkekalan.

4. Wakaf adalah untuk kebaikan Islam, seperti membina masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz, tanah perkuburan dan sebagainya.

5. Membantu mengurangkan bebanan orang fakir dan miskin serta anak yatim.

Objek (benda) wakaf yang boleh diwakafkan adalah benda bergerak atau pun benda tidak bergerak yang dimiliki secara tidak bergerak seperti bentuk tanah, hak milik atas rumah, atau tumbuh-tumbuhan (buah-buahan dan sebagainya). Sementara untuk objek wakaf benda bergerak dapat dengan bentuk wang.

Terminologi wakaf berasal daripada perkataan Arab “waqafa” yang bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf telah diberikan beberapa takrif seperti:

1. Syed Sabiq (Fiqh al-Sunnah) – Wakaf ialah menahan harta dan memberikan manfaatnya pada jalan Allah.

2. Sahiban Abu Hanifah; Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan – Wakaf ialah menahan ‘ain mawquf (benda) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan mensedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya.

3. Dr. Muhammad Al-Ahmad Abu Al-Nur, bekas Menteri Wakaf Mesir – Wakaf ialah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual atau dibeli ataupun diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewakaf.

Takrif-takrif di atas telah menunjukkan kedudukan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh syariah sebagaimana firman Allah SWT maksudnya :
“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang Dia kehendaki dan Allah Mahaluas (Kurniaannya) lagi Maha Mengetahui.” ( Surah al-Baqarah ayat 261)

Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya” (Hadis Riwayat Muslim)

Istilah wakaf adalah berkait dengan infaq, zakat dan sedekah. Ia adalah termasuk dalam maksud infaq yang disebut oleh Allah sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Ketiga-tiga perkara ini bermaksud memindahkan sebahagian daripada segolongan umat Islam kepada mereka yang memerlukan. Namun, berbanding zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan sedekah yang menjadi sunat yang umum ke atas umat Islam; wakaf lebih bersifat pelengkap (complement) kepada kedua-dua perkara tersebut. Disamping itu, apa yang disumbangkan melalui zakat adalah tidak kekal dimana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus, sedangkan harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah masa hadapan.

Rasulullah SAW merupakan perintis kepada amalan wakaf berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Syaibah daripada ‘Amr bin Sa’ad bin Mu’az yang bermaksud:
“Kami bertanya tentang wakaf yang terawal dalam Islam? Orang-orang Ansar mengatakan adalah wakaf Rasulullah SAW.”(Hadis Riwayat Al-Syaukani)

Orang Jahilah tidak mengenali akad wakaf yang merupakan sebahagian daripada akad-akad tabarru’, lalu Rasulullah SAW memperkenalkannya kerana beberapa ciri istimewa yang tidak wujud pada akad-akad sedekah yang lain. Institusi terawal yang diwakafkan oleh Rasulullah SAW ialah Masjid Quba’ yang diasaskan sendiri oleh baginda SAW apabila tiba di Madinah pada 622M atas dasar ketakwaan kepada Allah SWT. Ini diikuti pula dengan wakaf Masjid Nabawi enam bulan selepas pembinaan Masjid Quba’. 

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW membeli tanah bagi pembinaan masjid tersebut daripada dua saudara yatim piatu iaitu Sahl dan Suhail dengan harga 100 dirham. Pandangan masyhur menyatakan individu pertama yang mengeluarkan harta untuk diwakafkan adalah Saidina ‘Umar r.a dengan mewakafkan 100 bahagian daripada tanah Khaibar kepada umat Islam. Anaknya Abdullah bin ‘Umar r.a. menyatakan bahawa ayahnya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta pandangan tentang tanah itu, maka katanya:

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, dimana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah) apakah yang engkau perintahkan kepadaku dengannya?. ”

Maka sabda Rasulullah SAW:

“Jika engkau hendak, tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.” 

“Maka ’Umar telah mewakafkan hasil tanahnya itu, sesungguhnya tanah itu tidak boleh dijual, tidak boleh dihibah (diberi) dan diwarisi kepada sesiapa.” 

Katanya lagi: “’Umar telah menyedekahkannya kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, hamba yang baru merdeka, pejuang-pejuang di jalan Allah, ibn Sabil dan para tetamu. Tidaklah berdosa sesiapa yang menyelia tanah wakaf itu memakan sebahagian hasilnya sekadar yang patut, boleh juga ia memberi makan kawan-kawannya, tetapi tidaklah boleh ia memilikinya.

Sejak itu amalan wakaf berkembang sehingga menjadi tulang belakang kepada menjadi teras kepada pembangunan umat Islam terdahulu dan berkekalan sehingga ke hari ini. Banyak institusi pendidikan seperti Universiti Cordova di Andalus, Al-Azhar al-Syarif di Mesir, Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, al-Qurawiyyin di Fez, Maghribi, Al-Jamiah al-Islamiyyah di Madinah, Pondok Pesantren Darunnajah di Indonesia, Madrasah Al-Juneid di Singapura dan banyak institusi pondok dan sekolah agama di Malaysia adalah berkembang berasaskan harta wakaf. 

Universiti Al-Azhar contohnya telah membangun dan terus maju hasil sumbangan harta wakaf. Sehingga kini pembiayaan Univesiti Al-Azhar yang dibina sejak 1000 tahun lalu telah memberikan khidmat percuma pengajian kepada ribuan pelajar Islam dari seluruh dunia. Merekalah yang menjadi duta Al-Azhar untuk membimbing umat Islam kearah penghayatan Islam di seluruh pelusuk dunia.

Sahabat yang dimuliakan,
Harta wakaf boleh dibangunkan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam kerana ia memiliki beberapa ciri berikut:

1. Keunikan wakaf pada konsep pemisahan di antara hak pemilikan dan faedah penggunaannya. 

2. Pewakafan harta menyebabkan kuasa pemilikan hartanya akan terhapus daripada harta tersebut. Wakaf secara prinsipnya adalah satu kontrak berkekalan dan pewakaf tidak boleh lagi memiliki harta itu dengan apa jua sekalipun, kecuali sebagai pengurus harta wakaf. 

3. Secara majazinya harta wakaf adalah menjadi milik Allah Subhanahu Wa Taala.

4. Wakaf adalah sedekah berterusan iaitu bukan saja membolehkan wakif (orang yang memberikan wakaf) mendapat pahala berterusan, tetapi penerima mendapat faedah berterusan. Dengan itu pihak yang bergantung wakaf boleh mengatur perancangan kewangan institusinya dengan berkesan untuk jangka panjang. Disamping itu pihak pewakaf tidak perlu bimbang mungkin berlaku sabotaj seperti pengubahan status wakaf tanahnya oleh pemerintah kerana kaedah fiqh menyatakan: “Syarat pewakaf adalah seperti nas Syara’.”

5. Penggunaan harta wakaf adalah untuk kebajikan dan perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak. Oleh tidak diwajibkan menentukan golongan yang mendapat manfaat daripada wakaf dan memadai menyebutkan: “Saya wakafkan harta ini kerana Allah.” 

Ciri ini membolehkan pengembangan harta wakaf kepada pelbagai bentuk moden selagimana ia menepati objektif wakaf.

Rukun Wakaf

a) Wakif (pewakaf).

Syarat-syarat pewakaf adalah:

1. Mestilah memiliki secara penuh harta yang ingin diwakafkan, bermakna ia merdeka untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki.

2. Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya.

3. Baligh.

4. Pilihan sendiri untuk berwakaf dan tidak dipaksa (ikhtiar bi nafsih).

Syarat-syarat harta yang diwakafkan :

1. Harta itu mestilah benda yang dapat di ambil manfaatnya. 

2. Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud waktu itu. 

3. Harta yang diwakafkan itu dapat memberi faedah dan manfaat yang berpanjangan. 

4. Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak. 

5. Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlah. 

6. Harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna orang yang hendak mewakafkan hartanya.

b) Mawquf (harta yang diwakafkan).

1. Harta itu mestilah benda yang dapat diambil manfaatnya.

2. Harta yang diwakafkan mempunyai nilai harga (mutaqawwim).

3. Harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna oleh orang yang berwakaf (waqif).

4. Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak.

c) Mawquf ‘Alaih (penerima wakaf).

Orang yang boleh untuk memiliki harta (ahlan li al-tamlik) 

1. Orang Islam

2. Merdeka 

3. Kafir zimmi boleh memiliki dan menerima manfaat harta wakaf. Manakala orang yang tidak sempurna akalnya, hamba sahaya, dan orang gila tidak sah menerima wakaf.

4. Penerima wakaf mampu menjadikan manfaat wakaf sebagai hal taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT) dan perkara ini hanya ditujukan untuk kepentingan Islam sahaja.

d) Mawquf ‘Alaih (penerima wakaf).

1. Pernyataan wakaf yang dibuat sama ada secara lisan, tulisan bersama lafaz ataupun isyarat.

2. Melalui lafaz sama ada secara soreh (jelas) atau kinayah (sindiran)

Lafaz soreh (jelas) : lafaz yang jelas membawa maksud yang tertentu sahaja seperti “Saya mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir”.

Lafaz kinayah: lafaz yang membawa banyak maksud seperti “Hartaku adalah sedekah kepada fakir miskin”.

Mestilah memiliki secara penuh harta yang ingin diwakafkan, bermakna ia merdeka untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki.

1. Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya.

2. Baligh.

3. Pilihan sendiri untuk berwakaf dan tidak dipaksa (ikhtiar bi nafsih).

4. Mestilah memiliki secara penuh harta yang ingin diwakafkan, bermakna ia merdeka untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki.

5. Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya.

6. Pilihan sendiri untuk berwakaf dan tidak dipaksa (ikhtiar bi nafsih).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita memperbanyakan amal jariah kita berupa harta wakaf seperti sumbang untuk pembeliaan tanah dan pembinaan bangunan untuk pembangunan masjid, madrasah, sekolah agama , maahad tahfiz , rumah anak-anak yatim, pusat pemulihan dadah dan sebagainya. Selagi tanah yang kita wakafkan digunakan untuk kebaikan maka pahalanya mengalir terus ke alam barzakh hingga ke hari kiamat.

No comments: