Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. " (Surah at-Taubah ayat 33)
Apabila tiba hari kelahiran Rasulullah S.A.W, 12 Rabiul Awal, umat Islam di Malaysia khususnya akan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul seperti mengadakan perarakan, selawat, ceramah dan program-program mengingati junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Akan tetapi malangnya, ianya berterusan selama seminggu sahaja, paling lama pun sebulan. Selepas tu selawat, masjid dan surau yang penuh kembali sepi. Tunggu maulidurrasul tahun depan pula baru orang kembali ke masjid dan berarak sambil berselawat. Ianya berterusan begitu dan rancangan tv juga pada awal maulidur rasul menayangkan cerita berunsur Islam, selepas seminggu kemudian rancangan maksiat dan budaya hedonisme kembali merancakkan arena hiburan tanah air.
Sememangnya Maulidur Rasul ini tiada di zaman Rasulullah SAW dan para-sahabat, ini kerana pada ketika itu mereka menyayangi Rasulullah S.A.W malahan sentiasa mengamalkan sunah baginda S.A.W. Akan tetapi zaman kita kini bagaimana? Tujuan kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul adalah ingin mewujudkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Zaman kini melihatkan kepada kita ada insan yang mengaku ummat Rasulullah S.A.W akan tetapi tidak pun mengetahui sirah dan tidak juga mengamalkan sunah Rasulullah S.A.W. Zaman kini juga melihatkan manusia semakin ramai manusia melakukan maksiat malahan berbangga dengan kemaksiatan. Ianya semakin menepati sabda Baginda SAW bermaksud:
“Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sayang seribu kali sayang apabila sambutan Maulidur Rasul yang disambut secara besar-besaran tetapi tidak mengetuk pintu hati kecil kita untuk lebih mencintai Rasulullah S.A.W. Sunah Rasulullah S.A.W semakin dilupai. Pada malam atau hari Jumaat umat Islam tidak mengamalkan amalan Nabi SAW membaca surah al-Kahfi, pagi-pagi yang kita lalui tidak disemai dengan solat sunat Duha, zikir dan istighfar yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W telah diganti dengan muzik yang melalaikan..Sunnah yang paling besar malah ianya adalah tuntutan Allah S.W.T ialah meninggikan Kalimah Tauhid serta dan tugas amar makruf nahi mungkar tidak kita laksanakan. Banyak lagi amalan sunah Rasullah S.A.W yang kita tidak terapkan dalam kehidupan seharian.
Sahabat yang dimuliakan,
Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini perlulah kita berazam dan bermuhasabah diri sejauh mana kasihnya kita kepada Rasulullah S.A.W. Sebanyak mana sunah Rasulullah yang telah kita amalkan serta sedalam mana sirah Rasulullah S.A.W yang telah kita kuasai.
Rasulullah S.A.W berpesan agar umatnya sentiasa martabatkan Kalimah Tauhid sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W maksudnya :
“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunahku.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Sesungguhnya, baginda Rasulullah SAW telah berjaya membawa transformasi murni kepada umat Islam sejagat. Terbukti apabila kegelapan jahiliah terhapus apabila berhadapan dengan sinar risalah nubuwah. Transformasi insani ini lahir daripada kasih sayang dan keperihatinan baginda terhadap kesejahteraan umat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-128 yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya.
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Raja Al-Mudhaffar Abu Sa `id Kaukabri ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (549 H. w.630 H.), penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang.
Sahabat yang dihormati,
Pendapat yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul adalah bidaah dhalalah adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana ulama-ulama muktabar dahulu tidak mengharamkannya.
Contohnya :
1. Ibnu Hajar al-Haithami berpendapat: “Bidaah yang baik itu sunnah dilakukan, begitu juga memperingati hari maulid Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
2. Imam Suyuti berkata: “Menurut saya asal perayaan maulid Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam sejak kelahirannya sampai perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dinikmati bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong bidaah hasanah. Orang yang melakukannya diberi pahala kerana mengagungkan darjat Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam, menampakkan suka cita dan kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhamad Salallahu ‘Alaihi Wasalam yang mulia.”
3. Syeh Azhar Husnain Muhammad Makhluf berkata: “Menghidupkan malam Maulid Nabi dan malam-malam bulan Rabiul Awal ini adalah dengan memperbanyak zikir kepada Allah, memperbanyak syukur dengan nikmat-nikmat yang diturunkan termasuk nikmat dilahirkannya Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam di alam dunia ini. Memperingatinya sebaiknya dengan cara yang santun dan khusyuk dan menjauhi hal-hal yang dilarang agama seperti amalan-amalan bidaah dan kemungkaran. Dan termasuk cara bersyukur adalah menyantuni orang-orang susah, menjalin silaturrahim. Cara itu walaupun tidak dilakukan pada zaman Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam dan tidak juga pada masa salaf terdahulu tetapi baik untuk dilakukan termasuk sunnah hasanah.”
Dalil-dalil yang membenarkan melakukan perayaan Maulid Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam:
1. Anjuran bergembira atas rahmat dan kurnia Allah kepada kita. Allah SWT berfirman:
قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya : “Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus ayat 58).
2. Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam sendiri mensyukuri atas kelahirannya. Dalam sebuah Hadis dinyatakan:
عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ الأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الْإِثْنَيْنِ فَقَالَ فِيْهِ وُلِدْتُ وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ . رواه مسلم
Dari Abi Qatadah al-Anshori r.a. sesungguhnya Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam pernah ditanya mengenai puasa hari Isnin. Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam menjawab: “Pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Syaibah dan Baghawi).
3. Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Tsuwaybah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam. Jika Abu Lahab yang bukan muslim dan al-Quran jelas mencelanya, diringankan seksanya lantaran ungkapan kegembiraan atas kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam, maka bagaimana dengan orang yang beragama Islam yang gembira dengan kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam.
Sahabat yang dikasihi, .
Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan daripada membiarkan hari-hari berlalu dengan kelekaan duniawi.
Kita juga dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira masa dan di bulan manapun di sepanjang tahun. Dalam mengerjakan sesuatu amalan, kualiti ibadah juga perlulah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat. .
Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam sendiri dalam sebuah hadisnya pernah bersabda.
عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كان هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ.
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan (amal) bergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredaan) Allah dan Rasul-Nya.”
Niat itu akan menggambarkan keikhlasan. Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kepuasan yang seterusnya akan menghasilkan ketenangan dunia dan akhirat. Semoga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat agar mempunyai bekalan untuk dibawa ke perkampungan akhirat kelak, In syaa Allah.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
No comments:
Post a Comment