Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk mendapatkan anak-anak (zuriat) yang soleh dan solehah, tindakan paling awal yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin adalah memilih pasangan hidup (isteri) yang beriman dan bertakwa dan baik agamanya.
Nabi SAW bersabda maksudnya :"Hendaklah kamu memilih tempat hendak salurkan air mani kamu(isteri)."(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi- hadis sahih)
Maksudnya wanita yang dipilih menjadi isterinya adalah wanita yang baik akhlak dan keperibadiannya, menutup aurat dan bersifat lemah lembut.
Ciri utama yg perlu ada pada pasangan adalah yang elok akhlak dan agamanya sebagamana Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Maka beruntunglah orang yang memilih wanita yang beragama."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabdanya lagi yang bermaksud : "Apabila datang seorang lelaki yang elok agama dan akhlaknya melamar anakmu maka hendaklah kamu kahwini anak perempuan mu dengan dia. Jika kamu tidak kahwininya maka akan menyebabkan kerosakan dan fitnah yang besar akan berlaku."(Hadis Riwayat Tirmidzi-hasan sahih)
Ciri-ciri isteri yang solehah adalah sepertimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Aku hendak memberitahu kepadamu sesuatu yang perlu dimiliki oleh seorang lelaki ialah wanita yang solehah. Apabila suaminya pandang dia akan rasa gembira, bila suaminya suruh dia akan patuh dan bila suaminya keluar dia akan jaga harta dan maruah suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Untuk lelaki yang masih bujang seeloknya hendaklah dia memilih anak dara sebagai calun isterinya. Jabir berkata: "Aku berkahwin dengan seorang wanita; lalu aku berjumpa dengan Nabi SAW. Nabi SAW bertanya "Adakah engkau sudah berkahwin?" Aku menjawab "Ya" Nabi bertanya "Dara atau janda?" Aku menjawab "Janda" Nabi SAW bersabda "Kenapa kamu tidak memilih anak dara yang mana kamu berseronok dengan dia dan dia berseronok denganmu."(Hadis Riwayat Muslim)
Ini bukan bermakna berkahwin dengan janda tidak boleh mendatangkan kebahagiaan dan suami-isteri dan tidak boleh bergurau senda. Tetapi saranan Nabi SAW adalah ditujukan kepada sahabat tersebut (untuk kali pertama berkahwin ) supaya beliau dapat bermesra dan bermanja dengan anak dara yang belum mempunyai tanggungan anak berbanding dengan janda biasanya janda mempunyai anak daripada suaminya yang lama samaada cerai hidup atau pun cerai mati.
Berbeza pula jika lelaki tersebut adalah duda dan mempunyai anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya yang lama maka berkahwin dengan anak dara atau janda tidak menjadi halangan.
Sahabat yang dimuliakan,
Lelaki juga hendaklah memilih wanita yang penyayang dan mampu melahirkan anak yang ramai. Nabi SAW bersabda maksudnya :"Hendaklah kamu berkahwin dengan wanita yang boleh melahirkan ramai anak dan wanita yang penyayang. Maka sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya ummatku"(Hadis Riwayat Abu Daud)
Disunatkan lelaki yg hendak mengahwini seseorang wanita itu melihat muka dan dua tapak tangan. Seorang lelaki memberitahu Nabi SAW bahawa dia hendak kahwin. Rasulullah SAW bertanya "Adakah engkau sudah melihatnya?" Lelaki itu menjawab "Belum" Lalu Nabi SAW bersabda "Pergilah engkau melihatnya."(Hadis Riwayat Muslim)
Imam Nawawi berkata : "Sesungguhnya diharuskan melihat ke muka dan tapak tangan sahaja kerana keduanya bukan aurat dan juga kerana muka menunjukkan kecantikan atau sebaliknya; manakala tapak tangan menunjukkan kepada kesuburan tubuh atau sebaliknya.
Ulama mazhab Syafie berkata: "Sekiranya tidak mampu melihatnya maka disunatkan supaya menghantar seorang wanita yang dipercayai untuk melihat wanita yg hendak dikahwini dan memberitahunya. Perkara ini seeloknya sebelum pertunangan. Sebaik-baiknya menghantar seseorang untuk merisik pasangan seperti mana Nabi SAW menghantar Ummu Sulaim untuk merisik seorang wanita. (Hadis Riwayat Ahmad dan Hakim- sahih)
Seeloknya minta pertolongan dan berbincang dengan orang alim atau orang soleh mengenai pemilihan jodoh seperti mana Nabi SAW telah meminang wanita Ansar bagi pihak Julaibib.
(Hadis Riwayat Ahmad-sahih)
Nabi SAW telah memberitahu kepada Fatimah binti Qis apabila dia dipinang oleh Muawiyah, Abul Jaham dan Usamah bin Zaid, baginda bersabda maksudnya : "Adapun Muawiyah adalah lelaki yang faqir tidak ada duit, Abu Jaham pula seorang yang banyak memukul wanita dan Usamah la yang perlu engkau pilih."
Fatimah berkata "Aku berkahwin dengan Usamah dan aku amat bergembira bersamanya."(Hadis Riwayat Ahmad)
Sahabat yang dikasihi,
Jika kalian sedang berusaha untuk mencari jodoh pilih dan carilah wanita solehah yang menutup aurat, memiliki akhlak yang mulia, lemah lembut dan mempunyai sifat pengasih dan penyayang. Jauhi wanita yang keras hati, bengis , garang dan tidak menjaga akhlak dan keperibadian dirinya. Janganlah kalian utamakan hanya kecantikan dirinya kerana kecantikan itu tidak akan kekal lama, bila bertambah usia maka kecantikan akan hilang dan wajah akan berkedut . Wanita yang beriman dan bertakwa semakin meningkat usia maka iman dan takwanya akan meningkat dan bertambah. Di sinilah perlunya meletakkan nilai agama dan akhlak mengatasi nilai-nilai yang lain.
Wanita yang solehah akan menasihatkan suami supaya taat dan patuh kepada perintah Allah SWT , sedangkan wanita yang kurang kesolehannya akan mendorong suaminya supaya mencintai dunia dan perhiasan yang sementara.
Cubalah pilih yang terbaik mengikut ape yang Islam telah gariskan. Bincanglah dengan baik dengan orang-orang yang dipercayai, guru, orang alim dan Ibu Bapa. Banyakkan solat Istikharah dan solat hajat. Mudah-mudahan mendapat pasangan yang terbaik.
Jika kalian memilih jodoh mengikut sunah yang dibawa oleh Rasulullah SAW maka kalian akan selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT :
ّقُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran ayat 31).
No comments:
Post a Comment