skip to main |
skip to sidebar
Tafsir Surah Ath- Talaaq Ayat 3.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Maksudnya : "Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah Ath-Talaaq (65) ayat 3)
Dan bahawa orang-orang yang bertakwa kepada Allah, tidak saja diberi dan dimudahkan jalan keluar dari kesusahan yang dihadapinya, tetapi ia diberikan pula rezeki oleh Allah SWT dari arah yang tiada disangka-sangkanya, yang belum pernah terlintas dalam pemikirannya. Selanjutnya Allah SWT menyerukan supaya mereka itu bertawakal kepada-Nya, kerana mencukupkan keperluannya dan kejayaan urusannya. Bertawakal kepada Allah, ertinya berserah diri kepada-Nya, menyerahkan sepenuhnya kepada Allah kejayaan usahanya. Setelah ia berusaha dan memantapkannya.
Satu ikhtiar barulah ia bertawakal. Bukanlah tawakal namanya apabila seorang menyerahkan keadaannya kepada Allah tanpa ada usaha dan ikhtiar. Berusaha dan berikhtiar dahulu baru bertawakal menyerahkan diri kepada Allah SWT. Pernah terjadi seorang Arab Badwi bertemu Nabi SAW di Madinah dengan menaiki unta. Setelah Arab itu sampai ke tempat yang dituju, ia turun dari untanya lalu masuk menemui Nabi SAW, Nabi bertanya (maksudnya): "Apakah unta sudah ditambatkan?" Badwi itu menjawab: Tidak! Saya melepaskan begitu saja, dan saya bertawakal kepada Allah".
Nabi SAW. bersabda:
أعقلها وتوكل
Maksudnya : Tambatkan dulu untamu itu, baru bertawakal.
Allah SWT akan melaksanakan dan menyempurnakan urusan orang yang bertawakal kepada-Nya sesuai dengan kudrat iradat-Nya, pada waktu yang telah ditetapkan sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat ini.
وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ (8)
Maksudnya : "Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya". (Surah Ar Ra'd ayat 8)
Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah SWT. maksudnya : "Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib."(Surah al-Anaam: ayat 59).
Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah SWT. melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
Dalam soal rezeki manusia hanya diminta untuk berusaha , berdoa dan bertawakal. Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah SWT. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan aqidah seorang Muslim, Allah SWT. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah SWT. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah SWT. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.
Sebagai seorang manusia biasa kadangkala keyakinan dan pergantungan kita kurang kepada Allah SWT. Kita menganggap usaha-usaha kitalah penentuaan segala-galanya untuk mendapatkan rezeki. Tetapi seorang mukmin berbeza pandangan dan keyakinannya. Ikhtiar dan usahanya adalah dalam rangka ibadah tetapi pergantungannya mutlak kepada Allah SWT. Jika dia memperolehi sedikit rezeki dia reda dan menerima banyak dia bersyukur kepada-Nya.
Tawakal pula menurut Islam membawa maksud : "Meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT." Orang yang bertawakkal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.
Awasilah dengan pengertian yang salah mengenai tawakal. Tawakal bukan bererti berpeluk tubuh dan menanti datangnya sebarang peluang tanpa usaha. Sedangkan tawakal bererti berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah SWT. serta percaya akan pertolongan Allah SWT.
Hayatilah maksud hadis dari Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakal kepada Allah.” (Hadis Riwayat Khalid Bin Al-Walid)
Firman Allah SWT yang bermaksud : “… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bertawakal kepada Allah SWT dan yakin di atas kurniaan Allah SWT dan janji-janji-Nya kepada orang bertakwa . Sesungguhnya rahmat, kasih sayang dan rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka akan dikurniakan oleh Allah SWT.
1 comment:
Post a Comment