Wednesday, April 3, 2013

Tafsir Surah An-Nahl Ayat 96-97

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
   
Firman Allah SWT : 


مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (96)
 

Maksudnya : "Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan".(Surah An-Nahl (16) ayat 96)

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa segala apa yang dimiliki dan datang dari manusia itu berupa pemberian-pemberian harta benda duniawi adalah terbatas dan berakhir, sedang apa yang ada pada sisi Allah berupa pahala dan ganjaran dalam syurga tidak ada batasnya, tidak putus-putus bahkan selama-lamanya. Maka kepada mereka yang beriman dan sabar menghadapi tugas-tugas agama, melaksanakan amanah dengan jujur  dan tabah terhadap derita, ujian dan musibah, AllahSWT pasti memberi ganjaran yang lebih dari apa yang mereka kerjakan. Allah SWT menonjolkan sifat sabar atau tabah kerana sifat itu merupakan asas dari segala amal perbuatan.

Dalam tafsir Jalalain (Surah An-Nahl ayat 96)

"(Apa yang di sisi kalian) berupa duniawi (akan lenyap) akan musnah (dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal) abadi. (Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan) dapat dibaca walayajziyanna dan walanajziyanna (orang-orang yang sabar) demi menunaikan janjinya (dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan) lafal ahsana di sini maknanya sama dengan hasuna."

Firman Allah SWT :


مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (97)
 

Maksudnya : "Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan".(Surah An-Nahl  (16) ayat 97)

Huraiannya :

Kemudian Allah SWT dalam ayat ini berjanji bahawa Allah SWT benar-benar akan memberikan kehidupan yang bahagia ketika di dunia kepada hamba-Nya baik laki-laki mahupun perempuan yang mengerjakan amal soleh iaitu segala amal yang mengikuti petunjuk Al-Quran dan Sunah Rasulullah  SAW, sedang hati mereka penuh dengan keimanan.

Kehidupan bahagia dalam dunia ini suatu kehidupan di mana jiwa manusia memperoleh ketenangan dan kedamaian berkat dia merasakan kelazatan iman dan kenikmatan keyakinan. Jiwanya penuh dengan kerinduan akan janji Allah SWT dan rela dan ikhlas menerima takdir. Jiwanya bebas daripada di perhambakan oleh harta benda duniawi, dan hanya tertumpu kepada Tuhan Yang Maha Esa, serta mendapatkan limpahan cahaya dari pada Nya.


Jiwanya selalu merasa puas terhadap segala apa yang telah dikurniakan kepadanya berupa nikmat rezeki dan kesihatan, kerana ia mengetahui bahawa rezeki dan kesihatan yang diterimanya itu adalah hasil dan rahmat dan kurniaan daripada Allah SWT kepadanya.


Adapun di akhirat dia akan memperoleh dari Allah SWT balasan pahala yang besar dan paling baik iaitu syurga kerana kebijaksanaan dan amal soleh yang telah diperbuatnya dan berkat iman yang bersih yang mengisi jiwanya.


Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menginsafi diri kita bahawa setiap amalan dan pekerjaan yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab oleh Allah SWT. Baik atau buruk semuanya di atas usaha-usaha kita ketika di dunia ini. Jika kita memilih kebaikan , amal soleh dan beribadah dengan ikhlas maka balasan kebaikan dan syurga menanti kita di hari akhirat nanti, dan sebaliknya jika kita lupa ketika hidup di dunia banyak melakukan maksiat, dosa, kezaliman dan tidak mengerjakan amalan fardu yang diwajibkan maka kesengsaraanlah yang akan kita perolehi. Oleh itu ingatlah semua di dunia ini akan lenyap tetapi segala kebaikan yang kita kerjakan akan kekal di sana dengan mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT.

No comments: