skip to main |
skip to sidebar
Soal Jawab Agama Siri 16 (Maqasid Syariah, Hukum Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 16 adalah menjelaskan persoalan maqasid syariah, hukum hudud, qisas , diyat dan takzir.
301. Soalan. Apakan tujuan utama syarak mensyariatkan hukum-hukum Islam kepada umat manusia atau pun dipanggil sebagai maqasid syariah?
Tujuan utama syarak mensyariatkan hukum-hukum Islam kepada umat manusia mengandungi 5 tujuan iaitu untuk menjaga :
1. Untuk menjaga agama :
Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia. " (Hadis Riwayat Bukhari : 4/329, 2/251, Abu Daud : 4451 dan lain-lain).
2. Untuk menjaga nyawa :
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan di dalam Hukum Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)
3. Untuk menjaga akal.
Saidina Ali bin Abi Talib k.wj berkata : Rasulullah SAW menyebat orang minum arak 40 kali sebat, Abu Bakar r.a. 40 kali sebat juga dan Umar 80 kali sebat. Semuanya adalah sunah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai." (Hadis Riwayat Abu Daud : 4481)
4. Untuk menjaga keturunan :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka. Teruna dan dara yang berzina hukumannya disebat 100 kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya di sebat 100 kali dan direjam (sampai mati)."
(Hadis Riwayat Muslim : 3199, Abu Daud : 3834 dan At-Tirmizi :1354 lihat As-Syaukani jilid 7 hlm 249)
5. Untuk menjaga harta :
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa , lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Maidah ayat 38)
302. Soalan. Umat Islam hari ini ramai tidak memahami kebaikan undang-undang Islam, bolehkah ustaz jelaskan apakah keistimewaan undang-undang Islam berbanding undang-undang ciptaan manusia.?
Jika kita mengkaji secara mendalam dengan hati yang terbuka, kita akan mendapati undang-undang Islam cukup sempurna dan tidak ada cacat celanya. Terdapat 5 keistimewaan undang-undang Islam iaitu :
1. Undang-undang Islam adalah ciptaan Allah SWT yang Maha Pencipta.
2. Undang-undang Islam mendidik jiwa manusia.
3. Undang-undang Islam amat mendalam.
4. Undang-undang Islam memperuntukkan ganjaran (pahala) dan menghapus dosa.
5. Undang-undang Islam tidak berubah dan sesuai untuk setiap zaman dan ketika.
303. Soalan. Di dalam perundangan Islam apakah bentuk hukuman atau peruntukan dalam kesalahan jenayah yang boleh dikenakan kepada orang Islam yang melakukan kesalahan jenyah tersebut?
Terdapat 3 bentuk hukuman atau peruntukan dalam kesalahan jenayah dalam Perundangan Islam iaitu :
Pertama : Hukum Hudud ( zina, menuduh zina, minum arak, mencuri, merompak, murtad dan penderhakaan)
Firman Allah SWT maksudnya : "Itulah batas-batas larangan (hudud) Allah maka janganlah kamu menghampirinya." (Surah al-Baqarah ayat 187)
Kedua : Hukum Qisas dan Diyat.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Baqarah ayat 178)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah ayat 179)
Ketiga : Hukum Takzir
Kesalahan-kesalahan takzir ini adalah kesalahan yang hukumannya akan ditentukan atau ditetapkan oleh pihak pemerintah/ Ulil Amri atau pihak mahkamah syariah dari semasa ke semasa mengikut bentuk atau jenis kepentingan yang perlu dijaga.
304. Soalan. Dalam masyarakat kita ada pemimpin Islam mengatakan bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Adakah ucapan seperti ini boleh menyebabkan rosak akidah kerana mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT.?
Seorang muslim yang beriman kepada rukun iman dan rukun Islam tidak boleh sama sekali mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT samaada hukum hudud , qisas dan diyat kerana hukum tersebut jelas termaktub di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Mempertikaikan hukum hudud samalah seperti mempertikaikan kitab suci al-Quran nul karim. dan mempersenda kemampuan Allah SWT mencipta undang-undang untuk manusia. Masyarakat majmuk bukannya alasan untuk menolak hukum hudud untuk dipraktikkan dalam negara umat Islam.
Ulama menjelaskan bahawa sesiapa yang mempermain-miankan atau mepersenda-sendakan hukum Alah SWT maka boleh jatuh kepada murtad.
Mengikut serah Rasulullah SAW , semasa baginda Nabi SAW menegakkan Daulah Islamiah Madinah dan merealisasikan hukum-hukum Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran, ketika itu masyarakat di Madinah adalah terdiri daripada masyarakat majmuk iaitu berbilang bangsa dan agama. Di Madinah ketika itu adalah terdiri daripada bangsa Yahudi, kabilah Arab daripada Muhajirin dan Ansar, bangsa Habsyah, bangsa Yaman, bangsa Romawi dan Parsi. Agama Yahudi dan Nasrani sudah lama bertapak diMadinah.
Bangsa Yahudi yang menguasai ekonomi di Madinah terpaksa akur dan bersetuju memateri perjanjian dengan Kerajaan Islam Madinah dibawah pimpinan Rasulullah SAW. Walaupun selepas itu puak Yahudi ini melanggar perjanjian dengan Rasulullah SAW hinggakan mereka dihalau keluar daripada kota Madinah.
Islam masih meghormati agama Yahudi dan Nasrani dan membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama mereka . Sehingga Rasulullah SAW pernah menjatuhkan hukuman zina kepada orang Yahudi berdasarkan ajaran kitab Taurat yang mereka amalkan.
Hukum hudud adalah hukum Allah SWT ianya bukan hukum ciptaan manusia dan bukan hukum daripada kumpulan tertentu.
Allah SWT berfirman :
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik”
(Surah Al-Maaidah ayat 49).
Jelaslah berdasarkan ayat di atas ada dikalangan manusia yang cuba menimbulkan keraguan terhadap hukum-hukum Allah, dan mereka ini adalah mereka yang mengikut hawa nafsu dan akan ditimpa bala oleh Allah SWT kerana kerana dosa mereka (mempersendakan hukum hudud) dan jenis manusia seperti ini adalah orang-orang yang fasik. Allah SWT akan melaknat mereka ini dan juga para malaikat-Nya.
Jika pemimpin tersebut berkata dengan keyakinan bahawa hukum hudud sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai lagi dilaksanakan pada masa ini dan menganggap undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan sempurna, maka telah rosak akidahnya beliau perlu bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah. Wallahualam.
305. Soalan. Sebagai seorang muslim kita yakin bahawa hukum hudud itu adalah hukum Allah SWT yang wajib dilaksanakan oleh pemerentah Islam. Tetapi sebelum dilaksanakan hukum hudud ini apakah persediaan-persediaan yang perlu dijalankan terlebih dahulu?
Kita akui dan memahami bahawa keadaan semasa bahawa perlaksanaan hukum-hukum Islam (hudud, qisas, diat dan takzir) perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan kesedaran perlu diberikan kepada umat Islam dan rakyat seluruhnya sebelum ianya dilaksanakan.
Kebaikan dan kesempurnaan hukum-hukum Allah SWT perlulah diberi penjelasan kepada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam supaya kekeliruan dan kekaburan dapat diberi pencerahan. Perlu dibanyakkan majlis ceramah, dialog, forum dan penyebaran risalah dan brocher untuk menjelaskan kebaikan-kebaikan hukum hudud berbanding dengan hukuman ciptaan manusia yang ringan dan tidak berkesan seperti undang-undang sedia ada.
Pihak kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan berganding bahu untuk memberi penjelasan kepada rakyat bahawa kebaikan undang-undang Islam dan perlu dipinda perlembagaan Persekutuan supaya memberi ruang yang lebih luas kepada perlaksanaan undang-undang Islam. Undang-undang Islam bukan hanya terdiri darisegi ibadah , munakahat dan faraid sahaja tetapi ianya adalah meragkumi hukum jenayah dan perbuatan sumbang dan melakukan dosa besar yang di kenakan dengan hukum hudud.
Akhbar arus perdana dan media letronik sebelum ini banyak memberi gambaran negatif terhadap hukum hudud perlulah dihentikan segera dan penjelasan yang positif dan proaktif perlulah di berikan kepada masyarakat.
Hukum hudud bukanlah satu hukuman yang mudah dilaksanakan sekiranya tanpa mempunyai bukti yang kukuh untuk disabitkan satu-satu kesalahan. Jika tidak cukup bukti yang disyaratkan maka tuduhan terhadap zina, mencuri , minum arak dan lain-lain lagi akan ditolak oleh makhamah Syariah maka orang yang dituduh akan bebas daripada tuduhan. Dengan ini memberi hak kepada orang yang dituduh bebas daripada tuduhan tersebut. Malahan orang yang membuat tuduhan pula jika tidak mempunyai bukti yang kukuh akan didakwa. Ini akan memberi pengajaran kepada orang yang membuat tuduhan dan pembuat fitnah supaya berhati-hati sebelum ingin membuat sesuatu tuduhan.
Keadilan ini tidak wujud di dalam undang-undang sekarang, pembuat tuduhan dan fitnah bebas melakukan jenayah fitnah dengan membuat vedio lucah, mengadakan sidang akhbar, dipuji dan mendapat ramai sokongan inilah kesan daripada menafikan keadilan dan undang-undang Allah SWT. Jika undang-undang jenayah Islam dapat diluluskan di Parlimen barulah pembuat fitnah dan bloger-bloger politik takut untuk menyebarkan fitnah dan kepalsuan. Dengan ini akan memberi runag kepada orang bukan Islam untuk menerimanya walau pun mereka bukan orang Islam.
306. Soalan. Apakah hukuman yang dikenakan kepada seseorang yang membuat tuduhan zina kepada wanita solehah atau lelaki yang soleh sedangkan mereka tidak membawa 4 orang saksi lelaki yang adil?
Sesiapa sahaja yang membuat tuduhan kepada wanita solehah atau pun kepada lelaki soleh tanpa membawa 4 orang saksi lelaki yang adil maka dia akan dikenakan hukum qazaf. Qazaf adalah satu daripada kesalahan jenayah Hudud yang dinyatakan secara qat’iy (pasti) dengan jelas oleh al-Quran dan Sunah. Ia merupakan satu jenayah khusus yang melibatkan penghinaan yang amat serius ke atas seseorang wanita yang baik akhlaknya dengan tuduhan zina.
Firman Allah SWT maksudnya : “Mereka yang menuduh perempuan-perempuan suci dengan tuduhan zina dan mereka itu tidak dapat buktikan dengan empat saksi lelaki maka hendaklah mereka disebat sebanyak 80 kali. Saksi mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka itu adalah orang-orang fasik."
(Surah an-Nur (24) ayat 4)
Tuduhan zina yang palsu terhadap perempuan-perempuan yang suci dan baik akhlaknya dan juga tuduhan kepada lelaki soleh berzina hendaklah mereka dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali, kesaksian mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka menjadi orang fasik.
Hadis Abu Hurairah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
“Jauhilah tujuh perkara yang besar dosanya.” Sahabat bertanya, “Apa dia ya Rasulullah?” Katanya, “syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik dengan zina.”
307. Soalan. Apakah jenis-jenis jenayah yang dikenakan hukum hudud?
Terdapat 6 jenis-jenis jenayah hudud dan hukumannya :
1. Zina iaitu persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan.
Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.
2. Qazaf (menuduh zina) iaitu melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik dan tidak membawa 4 orang saksi yang adil.
Hukuman : sebat 80 kali
3. Minum arak iaitu meminum minuman yang memabukkan boleh menghilangkan kewarasan akal.
Hukuman : sebat 40 kali
4. Mencuri iaitu mengambil harta orang lain secara senyap atau sembunyi.
Hukuman : potong tangan
5. Merompak iaitu mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman.
Hukuman : Sekiranya membunuh hendaklah dibunuh sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara (di hukum takzir)
6. Riddah (murtad) iaitu keluar seseorang Islam itu dan agama Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan.
Hukuman : Bunuh ( setelah diberi tempoh bertaubat selama 3 hari @ 3kali) Semua jenayah hudud yang telah sabit kesalahannya wajib dikenakan hukuman hudud tanpa sebarang pengurangan @ pindahan kepada hukuman yang lain seperti penjara @ wang.
7. Penderhakaan iaitu seseorang yang menentang pemerintahan.
Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam.
308. Soalan. Apakah yang dimaksudnya hukum qisas?
Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:
1. Membunuh orang lain dengan sengaja.
2. Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
3. Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh.
Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah (2) ayat 178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah ayat 45)
309. Soalan. Jika seseorang membunuh seseorang dengan sengaja adakah ada jalan lain yang boleh selamatkan si pembunuh daripada hukum qisas (bunuh di balas bunuh)?
Dalam Islam seorang yang disabitkan kesalahan membunuh boleh dilepaskan daripada hukuman qisas (dibunuh) apabila waris kepada si mati memaafkannya dengan dikenakan ke atas pembunuh gantirugi dipanggi diyat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah (2) ayat 178)
310. Apakah yang dimaksudkan hukum takzir?
Hukuman takzir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.
Hukuman takzir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman takzir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman takzir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyeksa mereka.
311. Soalan. Seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram ditangkap dibilik hotel berdua-duaan (berkhalwat) oleh Badan Pencegah Maksiat. Apabila di tanya adakah mereka melakukan zina mereka menyatakan bahawa mereka tidak berzina. Oleh itu apakah jenis hukuman yang sesuai di kenakan kepada mereka berdua?
Jika mereka ditangkap berdua-duaan (sedang berkhalwat) mereka tidak boleh dituduh melakukan zina kerana tidak ada 4 orang saksi lelaki yang adil menyaksikan perbuatan tersebut. Tetapi mereka berdua boleh dijatuhkan hukum takzir iaitu diberi nasihat dan di denda sejumlah wang sebagai hukuman kerana melakukan maksiat.
312. Soalan. Di zaman Rasulullah SAW dan khulafa ar-Rasyidin apakah jenis hukuman hudud yang dikenakan kepada peminum arak?
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesiapa yang meminum khamar (arak) maka hendaklah kamu sebatnya. Kemudian jika dia meminumnya lagi maka hendaklah kamu sebatnya. Kemudian jika ia minum lagi maka hendaklah kamu sebatnya lagi, kemudian jika dia minumnya lagi pada kali yang ke empat, maka hendaklah kamu bunuhnya." (Hadis Riwayat Tirmizi : 1364, An-Nasaie : 5567, Ahmad : 7435)
Terdapat dalil daripada riwayat para sahabat mengenai hukum hudud terhadap jenayah minum arak.
Anas bin Malik r. a berkata : "Rasulullah SAW telah mengenakan hukum pukul (sebat) dalam kes arak dengan menggunakan pelepah tamar dan kasut. Abu Bakar pula merotan sebanyak 40 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6275)
"Rasulullah SAW telah menghukum dengan 40 kali pukulan, Abu Bakar juga 40 kali dan Umar dengan 80 kali. Kesemuanya adalah sunah dan hukuman ini (40 kali) adalah hukuman yang saya sukai."
(Kata-kata Saidina Ali k.wj. ketika menghukum Al-Walid bin Uqbah kerana kesalahan minum arak. Ia direkodkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Sahihnya (Fiqh Sunnah, Sayid Sabiq, jilid 2, m/s : 265)
Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman Pemerentahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerentahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6281).
Ulama memberi ulasan mengenai hukum sebat sebanyak 80 kali yang dijalankan oleh Saidina Umar al-Khattab adalah tidak bertentangan dengan hukum hudud yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW kerana beliau tetap menjalankan hukum hudud kerana minum arak adalah 40 kali sebat pertama dan 40 kali sebat kedua adalah hukum takzir sebagai hukuman tambahan.
313. Soalan. Apakah syarat-syarat yang perlu ada seseorang itu boleh dikenakan hukum hudud kerana meminum arak?
Untuk mensabitkan kesalahan minum arak perlu kepada 3 perkara ;
1. Pensabitan melalui keterangan saksi/ persaksian.
Saksi mestilah 2 orang lelaki yang memenuhi ciri-ciri dan syarat sebagai saksi seperti saksi kesalahan zina. Kesaksian wanita tidak diterima dalam kes-kes hudud.
2. Ikrar/ Pengakuan daripada tertuduh.
Ikrar/ pengakuan tersebut memadai dengan hanya sekali pengakuan sahaja. Di buat dengan sekarela bukan dipaksa.
3. Qarinah / Bukti lain.
a. Bau mulut atau nafas seseorang yang minum arak atau muntah yang mengeluarkan arak/ sebarang minuman yang memabukkan.
b. Pemerhatian mahkamah terhadap keadaan situasi tertuduh melalui percakapan, perbuatan, tubuh badan dan sebagainya.
Dalam bab Qarinah, kedua-dua perkara di atas boleh dijadikan bukti seseorang itu telah melakukan kesalahan minum arak melainkan jika tertuduh dapat membuktikan sebaliknya.
314. Soalan. Berapakah nilai barang yang dicuri dikenakan hukum hudud potong tangan pencuri?
Terdapat beberapa hadis sahih riwayat Imam Muslim menjelaskan nilai barang yang dicuri dikenakan hukum hudud potong tangan pencuri adalah sebanyak 1/4 dinar atau 3 dirham.
Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: "Rasulullah SAW memotong tangan pencuri dalam (pencurian) sebanyak seperempat dinar ke atas." (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3189)
Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: "Pada zaman Rasulullah SAW. tangan seorang pencuri tidak dipotong pada (pencurian) yang kurang dari harga sebuah perisai kulit atau besi (seperempat dinar) yang keduanya berharga". (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3193)
Hadis riwayat Ibnu Umar ra.: "Bahawa Rasulullah SAW. pernah memotong tangan seorang yang mencuri sebuah perisai yang berharga tiga dirham. " (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3194)
315. Soalan. Apakah dalil di dalam al-Quran mewajibkan orang beriman mengambil hukum-hukum Allah SWT.
Terdapat peringatan bagi siapa saja yang menyelisihi (tidak mengikut) perintah Allah dan Rasullah Sallallaahu ‘Alaihi Wa sallam.
Allah SWT berfirman :
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya : “Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih” (Surah An-Nuur ayat 63)
Hukum Allah SWT adalah yang paling baik dan bijaksana/adil.
Allah SWT berfirman :
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya : “Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
(Surah Al-Maaidah ayat 50)
Firman Allah SWT :
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” (Surah Al-Maaidah ayat 47)
316. Soalan. Seorang telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukum hudud seperti berzina, sekiranya dia tidak dihukum di dunia adakah dia akan dihukum di akhirat nanti walau pun dia telah bertaubat?
Hukuman hudud yang dikenakan kepada seseorang di dunia ini adalah kafarat bagi pelakunya. Dia akan terlepas hukuman dan seksaan di hari akhirat nanti. Tetapi sekiranya dia tidak di hukum di dunia dia akan dihukum di hari akhirat kecuali Allah SWT memberi keampunan kepadanya.
Hadis riwayat Ubadah bin Shamit ra., ia berkata: Kami sedang bersama Rasulullah SAW. dalam suatu majlis, lalu baginda bersabda: "Apakah kamu sekalian mau membaiatku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak berzina, tidak mencuri serta tidak membunuh jiwa yang telah Allah haramkan kecuali dengan hak. Barang siapa di antara kalian yang memenuhinya maka pahalanya ditanggung Allah. Dan barang siapa yang melakukan salah satunya, maka ia akan dihukum dan hukuman itu menjadi kafarat baginya. Dan barang siapa yang melakukan salah satunya kemudian Allah menutupi, maka perkaranya diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkenan memberi ampunan, Allah akan mengampuninya dan jika Allah hendak menyeksa, maka Allah akan menyeksanya. (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3223)
317. Soalan. Jika suami seorang yang kedekut adakah boleh si isteri mengambil harta suaminya tanpa pengetahunnya untuk memenuhi keperluan dirinya dan anak-anaknya?
Darisegi hukum si isteri boleh mengambil harta suami sebagai nafkah dirinya dan anak-anaknya tanpa berlebih-lebihan, mengambil sekadar keperluan.
Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata: Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan, datang menemui Rasulullah SAW. lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang kikir, dia tidak pernah memberikan nafkah kepadaku yang dapat mencukupi keperluanku dan anak-anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya tanpa sepengetahuannya. Apakah aku berdosa kerana itu?" Rasulullah SAW. bersabda: "Ambillah dari hartanya dengan cara yang baik yang dapat mencukupimu dan mencukupi anak-anakmu". (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3233)
318. Soalan. Apakah pembalasan pertama yang di berlaku di hari akhirat nanti?
Perkara yang pertama kali diselesaikan oleh Allah SWT antara manusia sesama manusia pada hari kiamat adalah pembalasan darah.
Hadis riwayat Abdullah bin Mas`ud ra., ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Perkara yang pertama kali akan diselesaikan di antara manusia pada hari kiamat nanti, ialah perkara darah (pembunuhan)." (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3178).
319. Soalan. Adakah Islam bersifat keadilan semasa menjalankan hukum hudud tidak kira samaada seseorang itu orang pemimpin/ bangsawan atau pun rakyat biasa?
Dalam melaksanakan hukum-hukum Allah SWT , Islam tidak pernah membeza-bezakan samaada seorang pemimpin/ bangsawan atau rakyat biasa jika disabitkan kesalahan hudud maka mereka tetap akan menerima balasannya.
Bahawa orang-orang Quraisy sedang digelisahkan oleh perkara seorang wanita Makhzum yang mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang berani membicarakan masalah ini kepada Rasulullah SAW.? Mereka menjawab: Siapa lagi yang berani selain Usamah, pemuda kesayangan Rasulullah SAW. Maka berbicaralah Usamah kepada Rasulullah SAW Kemudian Rasulullah SAW. bersabda (maksudnya) : "Apakah kamu meminta syafaat dalam hudud Allah? "
Kemudian baginda berdiri dan berpidato: "Wahai manusia! Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu ialah, manakala seorang yang terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka membiarkannya. Namun bila seorang yang lemah di antara mereka mencuri, maka mereka akan melaksanakan hukum hudud atas dirinya. Demi Allah, sekiranya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim No.3196)
320. Soalan. Jika seorang suami menuduh isterinya berzina sedangkan dia tidak membawa 4 orang saksi lelaki yang adil adakah tuduhan itu boleh diterima di mahkamah syariah?
Tuduhan suami keatas isterinya boleh diterima oleh mahkamah dengan syarat suami dan isteri bersumpah dihadapan hakim mahkamah syariah dengan 5 kali ucapan sumpah.(Li'aan) :
Li’aan berasal dari perkataan laknat. Dan laknat menurut bahasa ertinya jauh daripada rahmat Allah. Li’aan menurut istilah agama ialah seorang suami menuduh isterinya berzina tanpa mengajukan empat orang saksi. Dalam hal ini suami berkenaan mestilah bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa dia adalah benar dalam tuduhannya. Kemudian dia bersumpah sekali lagi iaitu kali yang kelima bahwa dia akan dikenakan la’nat Allah jika dia berdusta.
Firman Allah SWT maksudnya :"Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima; bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima; bahawa murka Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.
Dan andaikata tidak ada kurnia Allah dan rahmatNya atas dirimu dan (andaikata) Allah bukan Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, (nescaya kamu akan mengalami kesulitan-kesulitan). (Surah An-Nur (24) ayat 6-10)
Sekiranya Allah tidak mensyari’atkan hukum li’an kepada suami isteri, sudah tentu sukar bagi suami atau menjadi beban kepadanya untuk mencari empat oirang saksi untuk sama-sama menyaksikan perzinaan yang dilakukan isterinya. Jadi syari’at li’an merupakan suatu kurnia dan rahmat dari Allah SWT kerana ia dapat menyelesaikan masalah suami isteri dengan cara yang bijaksana. Bukan penyelesaian yang berlaku di zaman Jahiliyah sebelum kedatangan Islam iaitu suami yang menuduh isterinya berzina akan dibawa menemui ahli nujum untuk ditilik melalui ramalan-ramalan yang salah.
Beberapa Perkara Yang Berkaitan Dengan Li’aan:
1. Tempat li’aan.
Disunatkan li’an diadakan di tempat-tempat yang mulia seperti dalam masjid atau dalam mahkamah agar lebih memberi kesan dan i’tibar bagi orang-orang Islam seluruhnya.
2. Di hadapan hakim.
Li’aan mestilah diadakan dihadapan hakim atau wakil hakim sebab li’aan membawa akibat beberapa hukum yang tidak boleh dilaksanakan kecuali oleh hakim. Dan sebelum suami atau isteri bersumpah kali yang yang kelima hendaknya hakim menasihati mereka agar bertakwa kepada Allah dan sesungguhnya azab Allah di dunia adalah lebih ringan dibandingkan dengan azab di akhirat.
3. Hikmah li’aan:
a. Untuk mengelakkan tuduhan isteri berzina tanpa asas.
b. Menakutkan suami isteri daripada melakukan perbuatan tidak bermarwah.
c. Mengelakkan daripada mempunyai keturunan yang tidak sah.
Wasallam.
No comments:
Post a Comment