skip to main |
skip to sidebar
Tafsir Surah Al-Ahzab Ayat 66-68
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :
يَوْمَتُقَلَّبُوُجُوهُهُمْفِي النَّارِيَقُولُونَيَالَيْتَنَاأَطَعْنَااللَّهَوَأَطَعْنَاالرَّسُولَا
وَقَالُوارَبَّنَاإِنَّاأَطَعْنَاسَادَتَنَاوَكُبَرَاءنَافَأَضَلُّونَاالسَّبِيلَا
رَبَّنَاآتِهِمْضِعْفَيْنِمِنَ الْعَذَابِوَالْعَنْهُمْلَعْنًاكَبِيرًا
Maksudnya : "Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata: `Alangkah baiknya, andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul. Dan mereka berkata: `Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, berilah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar" (Surah Al-Ahzab (33)ayat 66-68)
Dalam Fi Zilalil Quran Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah berkata :
"Itulah angan-angan mereka yang sia-sia,angan-angan yang bukan pada tempatnya dan angan-angan yang tidak akan dilayan. Masanya telah luput. Itu hanya penyesalan terhadap apa yang telah berlaku!
Kemudian keluarlah dari hati mereka rasa dendam terhadap ketua-ketua dan pembesar-pembesar yang telah menyesatkan mereka dan mereka benar-benar ingin kembali kepada Allah Yang Maha Esa, tetapi pengembalian itu tak berguna lagi.
Inilah yang dikatakan hari kiamat. Apa guna bertanya tentang hari ini?Hanya amalan yang soleh sahaja yang dapat menyelamatkan seseorang dari nasib kesudahan yang amat malang itu."
Sahabat yang dimuliakan,
Kisah yang dijelas di atas adalah berkaitan penyesalan yang tidak terhingga pengikut atau penyokong kepada ketua dan pembesar mereka . Mereka semuanya (ketua dan pengikut) sama-sama berada di dalam neraka. Dahulu ketika di dunia mereka telah memberikan sokongan padu, memberi undian kepada ketua mereka sehingga mereka terpilih dan berjaya mentadbir negara. Apabila ketua mereka membuat penyelewengan , membuat kezaliman, rasuah, menipu dan meninggalkan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya kemudian para pengikut dan penyokong mengikut sahaja secara membuta tuli tanpa berfikir panjang arahan ketua mereka untuk melakukan kesesatan maka mengakibatkan semua mereka di humbankan ke dalam neraka.
Setelah mereka (pengikut dan penyokong) meraskan mereka telah ditipu oleh ketua-ketua mereka , mereka mengadu dan meminta kepada Allah SWT menimpakan azab (seksa) dua kali ganda kepada bekas ketua mereka , sebagaimana yang dinukilkan dalam al-Quran, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, berilah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar"
Penyesalan dan kecewa di atas perbuatan yang sudah lepas iaitu semasa hidup di dunia tidak membawa erti dan maknanya kerana pintu taubat sudah ditutup. Seseorang akan menerima segala hasil apa yang dilaburkan ketika di dunia. Jika amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan bayak dilakukan ketika di dunia dan tidak menzalimi manusia, tidak mengambil hak-hak orang lain, tidak rasuah , tidak menipu, tidak suka membuat fitnah dan tidak mengaibkan orang lain maka semua amal-amal tersebut akan membantu daripada terjerumus ke dalam api neraka.
Seseorang hamba itu dapat memasuki syurga hanyalah kerana kerana rahmat Allah SWT bukan kerana amal-amalnya, tetapi untuk meraih rahmat Allah SWT perlulah kepada amal-amal soleh yang ikhlas kerana-Nya dan tidak menzalimi manusia semasa hidup di dunia. Allah SWT amat benci kepada manusia yang suka membuat fitnah dan menzalimi manusia lain . Ramai penghuni neraka adalah di diami oleh mereka yang mempunyai hati tetapi mata hatinya buta, mempunyai mata tetapi buta kepada kebenaran dan mempunyai mulut tetapi setiap hari menabur fitnah, mengadu domba, mendedahkan aib orang lain dan menentang hukum-hukum Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama insaf dan mengambil pengajaran di atas kisah benar yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Pengajaran yang boleh kita perolehi daripada ayat-ayat diatas adalah kita perlu berhati-hati semasa membuat pilihan memilih ketua negara di dalam pilihanraya supaya jangan sampai kita menyesal di hari akhirat nanti. Pilihlah pemimpin berdasarkan iman dan takwa, akhlak dan matlamat perjuangannya jelas mendaulatkan hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya. Pemimpin yang di pilih jelas mengutamakan keadilan dan mengutamakan hak-hak rakyat bukan untuk kepentingan peribadi. Pilihan yang tepat akan mendapat berkat sedangkan pilihan silap akan membawa azab di dunia dan akhirat.
1 comment:
Allahuakhbar...semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung..aamiin
Post a Comment