Friday, June 7, 2013

Soal Jawab Agama Siri 23 ( Jenis-jenis Riba, Hukum Sorok Barang, Hutang Dan Barang Jumpa)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 23 adalah menjawab persoalan mengenai jenis-jenis riba, hukum sorok barang, permasalahan hutang dan hukum barang jumpa ( luqatah).

411. Soalan : Saya telah memberikan pinjaman wang kepada kawan saya sebanyak RM 500 dengan perjanjian di bayar semula dalam tempuh 1 bulan. Kemudian setelah saya memberikan wang tersebut kepadanya, dia mengajak saya minum di kedai. Adakah di kira sebagai riba apabila saya menerima pelawaannya untuk minum?

Saudara jangan menerima ajakannya untuk minum kerana setelah saudara memberikan pinjaman itu kepadanya saudara dilarang menerima apa-apa pelawaan atau ganjaran daripada peminjam tersebut kerana terdapat riwayat daripada Nabi SAW melarang sesiapa yang telah memberi pinjaman mengambil habuan daripada orang yang mengambil pinjaman tersebut. kerana sesuatu menfaat  tersebut di kira sebagai riba. Tetapi jika beliau hendak belanja minum hendaklah dilakukan sebelum pinjaman itu di lakukan atau selepas hutang itu dilunaskan sepenuhnya.

Anas bin Malik juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : "Jika seorang lelaki memberikan pinjaman pada seseorang, dia tidak sepatutnya menerima hadiah (dia tidak boleh terima hadiah dari penghutang dalam keadaan hutangnya masih tidak dilangsaikan, tetapi dia boleh bila pinjaman tersebut sudah dibayar kepadanya). (Hadis Riwayat Bukhari)


Dalam riwayat yang lain, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Jika kamu memberikan kepada seorang lelaki pinjaman dan dia menjemput kamu makan, janganlah makannya. Tetapi bila dia menjemput kamu sebelum pinjaman dibuat, maka kamu boleh makan. Dan sekali lagi baginda bersabda : jika kamu memberikan seseorang lelaki pinjaman dan dia menjemput kamu menunggang di atas binatangnya, jangan kamu mengambilnya . Tetapi jika dia menawarkan kamu menunggang di atas binatangnya, sebelum (pinjaman ) dibuat, maka kamu boleh menerimanya. (Hadis Riwayat Sunan Baihaqi – Jilid 5 – Hadis 10955 – Sunan Alkubra – Bab 97 – Setiap hutang yang ada lebihan/manfaat maka ia adalah Riba)

412, Soalan : Apakah hukum dalam Islam peniaga yang menyorok barang keperluan harian semata-mata untuk dinaikakan harganya? 

Hukumnya adalah haram dan berdosa sesiapa dikalangan peniaga yang cuba untuk menyorokkan barangan keperluan harian supaya barang tersebut di naikkan harganya,

Makmar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda (maksudnya) : "Jika seseorang menyimpan barangan sehingga harganya meningkat, dia adalah seorang pendosa (berbuat dosa)."  (Hadis Riwayat Muslim)


Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda (maksudnya) : "Orang yang membawa barangan untuk dijual akan dirahmati (disayangi) dengan nasib yang baik tetapi orang yang menyimpannya sehingga harga meningkat adalah dilaknat".  (Hadis Riwayat Ibn Majah, Darimi)


413. Soalan. Saya dan kawan saya menjula durian di pasar malam. Kawan saya menjual durian gred A (isi tebal dan warna tembaga) dengan harga yang lebih mahal sedikit. Saya menjual durian biasa dengan harga biasa. Saya ingin bertanya bolehkah jika saya berhajat membeli durian tersebut (untuk keluaga) kami buat pertukaran, dua biji durian yang saya jual bersamaan sebiji dengan durian gred A yang dijual oleh kawan saya.? 

Dalam Islam jenis barang yang sama tidak boleh dibuat pertukaran dengan jumlah berat yang berbeza kerana lebihan itu dikira sebagai riba. Terdapat hadis daripada Nabi SAW mengenai larangan tersebut.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Bilal telah membawa kepada Nabi SAW beberapa kurma Barni (jenis kurma) dan apabila beliau (Bilal) ditanya oleh baginda (Nabi) dari manakah beliau mendapatkannya, beliau menjawab ” Aku mempunyai kurma yang mempunyai kualiti yang rendah , kemudian aku menukarkan dua Sa’ (gantang) daripadanya untuk satu Sa’ (gantang) yang ini.

Nabi SAW menjawab : "Ah, inilah intipati riba. Intipati dari riba. Jangan kamu lakukan demikian, tapi jika kamu mahukan, jualkan kurma dalam transaksi yang berasingan kemudian kamu beli dengan apa yang kamu dapatkan (dari jual beli kurma tadi)."


Berdasarkan hadis di atas maka caranya adalah saudara jual dahulu harga 2 biji durian yang saudara jual selepas urusan jual beli selesai maka saudara beli pula sebji durian kawan saudara (durian gred A) maka cara akad tersebut jelas tidak menggandungi riba.

414. Soalan : Saya telah berhutang dengan kawan saya semasa kami belajar di universiti. Setelah sama-sama tamat belajar kami berpisah dan membawa haluan masing-masing. Apabila teringat saya ada berhutang dengannya, saya cuba mencari  kawan saya tersebut untuk membayar hutangnya tetapi tidak berhasil . Bagaimanakah caranya boleh saya selesaikan hutang tersebut kerana saya dengar bahawa roh seorang mukmin itu akan tergantung diantara langit dan bumi jika dia mati dalam keadaan hutangnya belum dilunaskan?

Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham."

(Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Jika saudara sudah berikhtiar dengan berbagai cara untuk membayar hutang tetapi tidak berjumpa dengan kawan tersebut maka saudara boleh sedekahkan jumlah hutang tersebut  untuk sedekah jariah dan di niatkan untuknya. Supaya nanti di hari akhirat ada alasan dihadapan Allah SWT bahawa saudara telah cuba untuk selesaikan secara berhadapan dengan pemberi hutang tetapi tidak berhasil . Semoga pahala hasil daripada sedekah tersebut akan dimiliki oleh pemberi hutang dan beliau tidak akan tuntut pahala daripada kita seperti hadis di atas. Tetapi sekiranya dengan izin Allah saudara berjumpa dengan beliau maka tanggungjawab membayar balik tetap perlu dilaksanakan, kecuali jika beliau halalkan.

415. Soalan : Jika saya berjumpa barang ditengah jalan samaada wang atau barang makanan bagaimana caranya untuk selesaikan. Bolehkan saya menggunakannya atau serahkan kepada Baitulmal?

Soalan ini berkaitan dengan luqatah iaitu barang yang hilang dari empunyanya .Salah satu dari matlamat syariah (maqasid syariah) adalah menjaga harta lebih-lebih lagi kalau harta itu kepunyaan orang Islam .Dan harta tidak boleh dimusnahkan begitu sahaja.

Apakah tindakan kita apabila kita terjumpa barang-barang di tengah jalan atau di tempat kita tinggal dan sebagainya?

Ulama telah memberi panduan kepada kita berdasarkan hadis-hadis Rasulillah SAW tindakan yang perlu kita lakukan. Antara perkara yang penting yang kita perlu ambil perhatian ialah kita menilai “barang “yang kita jumpa itu .

1. Jika barang yang kita jumpa itu ,barang yang remeh dan tidak menjadi tumpuan penduduk setempat  seperti    roti , buah-buahan , kayu  maka orang yang menjumpainya boleh mengambil menafaat daripadanya tanpa perlu untuk mengiklankan penemuannya.Ini berdasar hadis Rasulillah SAW :

لما روى جابر قال : ( رخص رسول الله صلى الله عليه وسلم في العصا والسوط والحبل يلتقطه الرجل ) رواه أبو داود .
 
Jabir meriwayatkan bahawa Rasulillah SAW memberi rukhsah untuk mengambil kayu rotan, tali yang dijumpai oleh seorang lelaki.

2. Jika barang-barang yang dijumpai itu barang-barang yang besar seperti kereta, tong sampah yang besar dan lain-lain  ataupun haiwan-haiwan yang mampu mempertahankan dirinya sendiri dan mampu mencari kehidupannya sendiri seperti lembu , kuda dan sebagainya ,maka haram bagi orang yang menjumpainya untuk mengambilnya berdasarkan hadis Nabi SAW

( مالك ولها ؟! معها سقاؤها وحذاؤها ترد الماء ، وتأكل الشجر ، حتى يجدها ربها ) متفق عليه ،

Maksudnya : "Biarkanlah ia ! Apa pula urusan kamu .Ia mampu mencari air sendiri dan mencari makan sendiri sehingga ia bertemu dengan tuannya."

وقال عمر : ( من أخذ الضالة فهو ضال )

"Barangsiapa yang mengambil haiwan yang sesat sesunggunya ia telah bersalah."

3. Jika barang yan ditemui itu berupa barang-barang yang tidak remeh di mata masyarakat setempat dan tidak pula barang-barang yang besar seperti kategori di atas maka ada tiga keadaan :-

a) Jika ia termasuk haiwan yang boleh dimakan seperti ayam dan lain-lain ,orang yang menemuinya hendaklah menimbang langkah yang paling menguntungkan empunya haiwan itu samada :

* Memakan dengan berhutang  kos nya apabila empunya nya ditemui.

* Menjual dan simpan wang jualannya untuk diserahkan kepada empunyanya selepas disimpan rekod spesifikasi barang tersebut.

* Menjaga barang berkenaan termasuk menanggung kos jagaan (jika ada) tanpa memiliki haiwan  berkenaan ,apabila empunya menuntut semula , kos penjagaan itu dituntut semula daripadanya.

( خذها ، فإنما هي لك أو لأخيك أو للذئب ) متفق عليه
 
Bermaksud : "Ambillah kerana haiwan itu samada untuk kamu , atau saudara kamu ataupun untuk serigala."

b) Barang-barang yang mudah rosak dan tidak tahan lama seperti buah-buahan ,langkah yang perlu diambil seperti langkah-langkah di atas.

c) Barang-barang yang ditemui itu tidak termasuk kategori barang a dan b di atas , hendaklah diambil atas dasar sebagai menyimpan amanah orang lain dan hendaklah dihebahkan di tempat ramai manusia .

Nabi SAW  bersabda :

من وجد لقطة فليشهد ذا عدل أو ذوي عدل ولا يكتم ولا يغيب فإن وجد صاحبها فليردها عليه وإلا فهو مال الله عز وجل يؤتيه من يشاء

Maksudnya : "Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya ( bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedekahkan kepada sesiapa yang diingini.” 

( Riwayat Abu Daud )

Imam Al-Khattabi menghuraikan , ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemilik tersebut dalam tempoh satu tahun. ( Aunul Ma’bud, hlm 101).

Tindakkan yang perlu dilakukan adalah :

1.Catatkan sifat dan jenis barang tersebut.

2.Hebahkan selama setahun. Ulama memberi panduan pada minggu-minggu awal dihebahkan setiap hari dan pada minggu-minggu berikutnya dihebahkan mengikut kesesuaian.Tujuan utamanya adalah untuk mencari empunyanya Maka pada zaman ini bolehlah gunakan teknologi yang ada untuk mencapai maksud berkenaan.

3.Jika cukup setahun empunyanya tidak menuntut , maka bolehlah dimiliki atau dijual tetapi hasilnya itu berstatus wadi’ah pada jagaan orang yang menemuinya .

4.Jika empunyanya menuntut pula selepas itu maka hendaklah diberikan selepas kita berpuas hati terhadap padanan antara spesifikasi barang berkenaan dengan maklumat yang diberi oleh empunyanya.

Wallahualam.




No comments: