Wednesday, June 19, 2013

Soal Jawab Agama Siri 35 (Bermusafir di Bulan Ramadan, Larangan Berpuasa Sebelum Ramadan Dan Lain-lain lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 35 adalah menyelesaikan persoalan bermusafir di bulan Ramadan, larangan berpuasa sebelum Ramadan, cara-cara menghayati Ramadan, Solat Terawih dan darjat-darjat puasa.


471. Soalan : Saya terlibat dengan tugasan kerja yang boleh dikatakan kebanyakan hari saya ‘out station’ yang membabitkan perjalanan yang jauh. Kadang-kadang keluar negara. Oleh kerana saya musafir, saya solat jamak dan qasar. Saya baca al-Quran (terjemahan) menyatakan orang musafir pun boleh buka puasa. Saya rasa kadang-kadang amat letih dalam tugas, memang rasa nak buka puasa. Cuma ada orang beritahu saya bahawa orang yang kebanyakan hari musafir seperti pilot kapalterbang atau driver bas tidak boleh buka puasa. Ada pula kata tak boleh buka melainkan jika betul ‘dah teruk’. Lepas itu jika buka pun sekali makan sahaja, lepas itu tidak boleh makan lagi kerana menghormati bulan puasa. Betulkah ustaz apa yang saya nyatakan ini sila huraikan masalah ini?

Saudara, Islam adalah agama Allah yang memberikan kemudahan kepada penganutnya. Ia bukan syariat yang membebankan, bahkan ia satu syariat yang penuh rahmah untuk membolehkan penganutnya taatkan Allah dalam kadar yang mereka mampu. Solat jamak dan qasar, begitu juga iftar (berbuka puasa) semasa musafir adalah antara ‘rukhsah’ (kelonggaran) yang Allah berikan untuk hamba-hambaNya. Berhubung dengan hukum berbuka puasa semasa bermusafir maka saya jawab seperti berikut; 


1. Keizinan iftar (berbuka puasa) apabila seseorang itu bermusafir adalah dari nas al-Quran dan as-Sunah, bukan pendapat mana-mana pihak. Maka, tiada siapa yang boleh membatalkan keizinan yang tertinggi ini. 

Firman Allah (maksudnya) : “..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah ayat 185).

Ayat ini memberikan keizanan untuk mereka yang bermusafir berbuka puasa. Maka ia merangkumi setiap yang bermusafir, samada dia sering bermusafir, atau jarang bermusafir, tidak menjadi persoalan. Keizinan diberikan kepada sesiapa yang bergelar musafir. Ertinya, apabila dia boleh mengqasarkan solat kerana musafir, dia juga mendapat kelonggaran berbuka puasa pada bulan Ramadan.

2. Samada dia merasa beban dalam musafirnya ataupun tidak, dia tetap mendapat kelonggaran berbuka. Ini kerana ‘illah (paksi) hukum dalam hal ini adalah safar (permusafiran). Sekalipun mungkin di zaman kini bagi yang menaiki kapalterbang mewah tidak merasai apa-apa beban, namun dia tetap dikira sebagai seorang musafir, maka dia mendapat kelonggaran ini. Apa yang penting, dia wajib menggantikannya pada hari-hari lain.

3. Pada asalnya, kelonggaran bererti dia mempunyai pilihan. Jika dia mahu dia boleh mengambil kelonggaran tersebut dan digantikan puasa pada hari yang lain. Jika dia enggan dia boleh terus berpuasa. 

Daripada Anas bin Malik r.a, katanya: “Aku bermusafir bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mempertikaikan yang berbuka, dan yang berbuka pula tidak mempertikaikan yang berpuasa” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, bagi seseorang yang bermusafir semasa Ramadan dia boleh membuat pilihan yang paling baik untuk dirinya. 

Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi SAW “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Hadis Riwayat Muslim)

4. Para ulama berbeza pendapat tentang manakah lebih afdal ketika bermusafir; puasa atau berbuka. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa jika puasa tidak menjadi bebanan, maka berpuasa lebih baik. Ini kerana dalam hadis Jabir r.a:

“Bahawa Rasulullah SAW keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini menunjukkan, jika tidak kerana bebanan ke atas para sahabah, tentu baginda terus berpuasa. Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.

5. Adapun jika puasa menjadi beban sehingga boleh membawa mudarat, maka seseorang wajib membuka puasanya. Nabi SAW melarang para sahabah berpuasa sehingga memudaratkan diri. Ini seperti hadis di atas yang mana Nabi SAW menyatakan bahawa mereka yang enggan berbuka puasa sekalipun telah menjadi bebanan kesusahan kepada diri itu sebagai menderhakai arahan atau teladan baginda SAW. 

Dalam riwayat al-Bukhari: “Rasulullah SAW. dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa?. Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir!”.

Maka hendaklah sesiapa yang merasakan dirinya terbeban sehingga memudaratkan kesihatan atau keadaannya, maka dia wajib membuka puasa.

6. Jika Nabi SAW menyuruh membuka puasa apabila bimbang mudarat atau bebanan yang terlalu berat untuk dirinya secara individu, sudah pasti dia lebih patut membuka puasa jika memudarat pihak-pihak lain. Ini seperti pemandu kenderaan awam yang jika mereka berpuasa boleh menghilangkan tumpuan mereka dalam perjalanan seterusnya boleh mengundang kemalangan, maka mereka hendaklah berbuka puasa. Jika ia tidak mengganggu tugas dan mengancam keselamatan awam, maka mereka tidak diwajibkan berbuka, namun mempunyai pilihan.

7. Dikiaskan dalam hal ini, mereka yang sakit yang mungkin akan menjadi mudarat jika terus berpuasa, maka mereka wajib berbuka. Jangan ada yang membahayakan diri dengan meninggalkan rawatan dan ubat semata-mata kerana ingin berpuasa pada bulan Ramadan. Allah yang mewajibkan puasa Ramadan itu, Allah itu juga telah mewajibkan berbuka bagi hamba-hambaNya yang dalam mudarat. Maka taatilah Allah dalam kedua arahan tersebut. Apa yang penting, wajib menggantinya apabila mampu, atau membayar fidyah bagi yang terus tidak berkemampuan.

8. Para ulama seterusnya berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa. Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan suatu puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian. Kata Abdullah bin Masud r.a: “Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Hadis Riwayat al-Baihaqi).

Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan.

9. Namun, hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah. Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.

10. Maka, seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.

472. Soalan : Saya ada mendengar tazkirah daripada seorang penceramah, beliau mengatakan bahawa terdapat larangan berpuasa  sehari atau dua hari sebelum Ramadan. Minta ustaz huraikan maksud larangan tersebut?

Memang benar terdapat hadis Nabi SAW yang melarang umat Islam berpuasa satu atau dua hari sebelum masuknya bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW : 
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ


Maksudnya : “Janganlah mendahulukan Ramadan dengan sehari atau dua hari berpuasa.” (Hadia Riwayat Muslim no. 1082)
 
Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata, berpuasa di akhir bulan Syaaban ada tiga bentuk:

Pertama : Jika berniat dalam rangka berhati-hati dalam perhitungan puasa Ramadan sehingga dia berpuasa terlebih dahulu, maka seperti ini jelas terlarang.

Kedua : Jika berniat untuk berpuasa nazar atau mengqada' puasa Ramadan yang belum dikerjakan, atau membayar kafarah (tebusan), maka kebanyakan ulama membolehkannya.

Ketiga : Jika berniat berpuasa sunat semata-mata maka ulama yang mengatakan harus ada pemisah antara puasa Syaaban dan Ramadan melarang hal ini walaupun itu sesuai kebiasaan dia berpuasa, di antaranya adalah Imam Hasan al-Basri.

Namun yang lebih jelas dilihat apakah puasa tersebut adalah puasa yang biasa dia lakukan ataukah tidak. Ini berdasarkan maksud hadis di atas.  Jadi jika satu atau dua hari sebelum Ramadan adalah kebiasaan dia berpuasa –seperti puasa Isnin-Khamis, maka itu dibolehkan. Namun jika tidak, itulah yang terlarang. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad dan Al-Auza’i. (Lihat Lathoif Al Ma’arif, 257-258)

Kenapa ada larangan mendahululan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadan?

1.  Jika berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadan adalah dalam rangka hati-hati, maka hal ini terlarang agar tidak menambah hari berpuasa Ramadan.

2. Semoga memisahkan antara puasa wajib dan puasa sunat. Memisahkan antara amalan yang wajib dan sunat adalah sesuatu yang disyariatkan. Sebagaimana Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang menyambungkan solat wajib dengan solat sunat tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu.(Lihat Lathoif Al Ma’arif, 258-259)

473. Soalan :  Apakah cara terbaik untuk saya menghayati bulan Ramadan dan menambah amalan di dalamnya?

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya Al Quran, sebagai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil).”


Sesuai dengan bulan Al-Quran ini, maka penghayatannya melibatkan tiga cara:


1. Berusaha membanyakkan amal baik dengan tujuan mengukuhkan keimanan dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.


2. Mempertingkatkan ilmu, melalui pembacaan dan pengkajian Al-Quran, serta mempelajari sejarah baginda Rasulullah S.A.W.


3. Menghayati nilai murni yang ditunjukkan dalam Al-Quran, terutama dari sudut akhlak. Tingkah laku kita sebagai orang yang beriman harus mencerminkan akhlak mulia yang diajar dalam kitab tersebut.


Penghayatan bulan Ramadan dan Al-Quran tidak terbatas dalam lingkungan solat dan puasa secara ritual sahaja. Malah, lebih dari itu, kita mesti menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan seharian dan melahirkannya dalam tingkah laku, pertuturan dan gerak hati kita.


 474. Soalan : Saya ingin menunaikan solat terawih di bulan Ramadan. Bagaimana caranya?

Solat terawih adalah sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.


Masanya adalah setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Namun, boleh dikerjakan bersendirian juga.


Solat terawih boleh dilaksanakan sebanyak 8 rakaar, 20 rakaat atau 36 rakaat, setiap 2 rakaat dengan satu salam. 


Cara menunaikannya adalah sama seperti solat sunat biasa (seperti sunat qabliyah (sebelum) atau ba’diyah (selepas) bagi solat fardu lima waktu).

Menurut hadis Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a. maksudnya: “Adalah Rasulullah S.A.W sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal dimalam-malam bulan Ramadan, hanya baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda S.A.W bersabda: “Sesiapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah S.W.T, nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu.” 


475. Soalan : Menurut Imam al-Ghazali terdapat tiga darjat puasa yang dilakukan oleh umat Islam iaitu Puasa Umum, Puasa Khusus dan Puasa Khususul Khusus. Saya minta dihuraikan maksud ketiga-tiga darjat puasa tersebut?


Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa Umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa Khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa Khususul Khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.

No comments: