skip to main |
skip to sidebar
Cara-cara Dan Adab Mandi Wajib Dalam islam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu perkara penting yang perlu difahami oleh setiap muslim adalah mandi wajib setelah mengalami hadas besar. Hukum mandi wajib adalah wajib dan tidak sah solat jika mandi wajib yang dilakukan tidak sempurna.
Huraiannya adalah seperti berikut :
Pertama : Hukum Mandi Wajib .
Mandi wajib ataupun mandi junub adalah wajib ke atas orang muslim untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar.
Perkara-perkara yang membawa kepada mandi wajib adalah berlaku keadaan sepeti berikut :
1. Jimak iaitu melakukan persetubuhan (bertemu dua khitan) apabila zakar dimasukkan ke dalam faraj walaupun tidak keluar air mani.
2. Keluar air mani walaupun zakar tidak dimasukkan ke dalam faraj. Begitu juga keluar air mani kerana bermimpi (wet dream)
3. Keluar darah Haid bagi wanita.
Nabi SAW bersabda maskdunya |: “Jika datang haid, maka tinggalkan solat. Dan jika telah lewat, maka mandi dan Solatlah” (HR. Al Bukhari no. 320, Muslim no. 333, Abu Daud no. 279, At Tirmizi no. 125 dan An Nasa’i I/186)
4. Nifas iaitu darah yang keluar dari faraj wanita ketika melahirkan anak (Wiladah). Wiladah - wanita yang melahirkan anak.
5. Mati.
6. Masuk Islam orang yang sebelumnya kafir.
Dari Qais bin Ashim, ia menceritakan bahawa ketika ia masuk Islam, Nabi SAW menyuruhnya mandi dengan air dan bidara (HR. At Tirmidzi no. 602 dan Abu Dawud no. 351, disahihkan oleh Syeikh Albani dalam Irwaa’ul Ghalil no. 128)
Kedua : Rukun Mandi Wajib.
Rukun mandi ada tiga perkara meliputi :
1. Niat dengan tujuan membezakan ibadat dan adat. Niat ini sekadar dilafazkan di dalam hati dan tidak perlu dilafazkan secara zahir (secara lisan)
2. Menghilangkan kotoran dan najis pada badan.
3. Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk segala lipatan-lipatan badan. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah)
Niat
Niat mandi wajib secara ringkasnya adalah "Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala."Niat itu hendaklah disertakan ketika air sampai ke bahagian anggota badan.
Untuk wanita yang mandi wajib kerana hadas haid, niat mandi wajib adalah "Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala." manakala bagi wanita yang habis nifas, niat mandi wajib ialah "Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala".
Niat mandi wajib hendaklah dilafazkan apabila mula terkena air kepada mana-mana bahagian anggota mandi. Sekiranya niat dilafazkan selepas dia telah membasuh anggota badannya, mandi wajibnya tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya.
Orang yang tidak berniat mandi wajib tidak memenuhi rukun mandi wajib dan dengan itu tidak boleh dikatakan telah mengerjakan mandi wajib. Dia hanya sekadar mengerjakan mandi biasa (mandi adat), dan masih terikat dengan larangan yang dikenakan ke atas orang yang berhadas besar.
Ketiga : Cara Mandi Wajib.
Mandi wajib hendaklah dikerjakan menggunakan menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan, dan tidak sah jika menggunakan air yang bukannya air mutlak.
Cara mandi wajib paling afdal sekiranya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Berdasarkan hadis dari Aisyah ra.,
“Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), baginda membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwuduk sebagaimana berwuduk untuk solat. Lalu baginda mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga baginda menganggap telah cukup, baginda tuangkan ke atas kepalanya sebanyak 3 kali tuangan. Setelah itu baginda guyur seluruh badannya. Kemudian baginda basuh kedua kakinya” (HR. Al Bukhari dan Muslim)
Cara mandi wajib yang paling baik adalah mengikut cara yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi.
1. Membaca bismillah sambil berniat untuk mengangkat hadas besar .
2. Membasuh tangan sebanyak 3 kali.
3. Membasuh alat kelamin dari kotoran dan najis.
4. Mengambil wuduk sebagaimana biasa kecuali kaki. Kaki dibasuh selepas mandi nanti.
5.Membasuh keseluruhan rambut di kepala.
6. Membasuh kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali menimba air.
7. Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.
8. Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.
9. Menggosok bahagian-bahagian yang sulit seperti pusat, ketiak, lutut dan lain-lain supaya terkena air.
10. Membasuh kaki.
Perhatian : Jika dia mandi dengan menggunakan “shower”, tidak perlu tiga kali, memadai telah yakin air telah meratai seluruh badan dari kepala ke hujung jari.
Untuk wanita pula, oleh kerana rambut wanita lebih panjang, maka disunatkan diuraikan rambut. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul hendaklah dibuka untuk membolehkan air sampai.
Seseorang itu elok memakai kain hingga ke lutut ketika mandi seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Najis di badan :
Jika ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dgn mandi wajib iaitu membasuh najis dgn mandi wajib itu boleh disekalikan (Imam Nawawi) untuk memenuhi rukun kedua mandi wajib.
Keperluan mengambil wuduk
Seseorang yang telah mengerjakan mandi wajib tidak perlu mengambil wuduk semula untuk mengerjakan solat dengan syarat dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk selepas dia mengerjakan mandi wajib. Jika terbatal, dia perlu hanya mengambil semula wuduknya sahaja.
Perkara-perkara Sunat
Pada masa mandi kita disunatkan menghadap kiblat, membaca bismillah, membasuh tangan, mengambil wuduk, mengosok-gosok seluruh badan, tertib dan muwalat, iaitu berturut tanpa putus.
Bagi wanita yang mandi disebabkan haid dan nifas, disunatkan menggunakan perfume selepas mandi (afterbath perfume) supaya harum dari bau darahnya.
Melewatkan Mandi Wajib :
Mandi wajib boleh ditunda dari malam sehingga siang. Dengan itu, pasangan yang berjimak boleh melewatkan untuk mandi wajib sehingga pagi dan mengerjakan mandi wajib sejurus sebelum mengerjakan solat subuh, tetapi pasangan itu disunatkan berwuduk sebelum tidur jika ingin melewatkan mandi wajib mereka hingga ke pagi.
Orang yang melewatkan mandi wajibnya juga tidak membatalkan puasa dan boleh terus berpuasa, dan puasanya tetap sah selagi mana dia tidak membatalkan puasanya.
Seseorang itu boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat. Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum boleh menunaikan solat.
Ragu-ragu
Jika seorang yang mengerjakan solat tetapi ragu-ragu sama ada dia sudah mandi wajib atau belum, maka seluruh solat yang telah dikerjakannya (selama itu) adalah tidak sah, dan untuk solat-solat berikutnya, dia harus menunaikan mandi wajib dahulu, barulah solatnya dianggap sah.
Sahabat yang dikasihi,
Perlulah kita buangkan perasaan was-was selepas kita mandi wajib kerana perasaan was-was yang berlaku selepas kita mandi wajib adalah daripada gangguan syaitan. Yakinlah apabila kita telah memenuhi semua rukun mandi wajib dan telah mengikuti cara-cara mandi yang di ajarkan Nabi SAW maka mandi wajib kita adalah sah dan boleh teruskan untuk solat dan amalan yang lain . Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment