Saturday, July 20, 2013

Soal Jawab Agama Siri 55 (Tauhid ar-Rububiyyah, Tauhid al-Uluhiyyah, Tujuan Manusia di ciptakan, Islam Menjadi Dagang Dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Soal Jawab Agama Siri 55 adalah menjelaskan persoalan Tauhid ar-Rububiyya dan Tauhid al-Uluhiyyah, tujuan manusia diciptakan, Islam menjadi dagang, memberi kefahaman Islam dan ciri-ciri akhlak Islam.

561. Soalan : Apakah yang dimaksudkan percaya kepada Tauhid ar-Rububiyah dan Tauhid al-Uluhiyah?

Jawapan :


Di dalam akidah tauhid seorang muslim itu perlu memahami dua jenis tauhid iaitu

1. Tauhid ar-Rububiyyah

2. Tauhid al-Uluhiyyah.

Huraiannya :

 
1. Tauhid ar-Rububiyyah

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beriktiqad bahawa Allah SWT  bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan bagi sekelian alam .

Antara pengertian kalimah Rabb ialah as-Sayyid (Tuan), al-Malik (Yang Memiliki sesuatu), Pencipta sesuatu, Penguasa terhadap sesuatu, Pendidik serta Pengasuh makhluk-Nya, Penjaga maslahat makhluk-Nya serta Penguatkuasa perintah-Nya terhadap makhluk-Nya.

Oleh itu, Tauhid ar-Rububiyyah ialah iktiqad atau keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai sifat yang sempurna. Segala sesuatu yang ada di alam ini adalah kepunyaan Allah SWT. Dialah Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam). Dialah yang berkuasa, menjadi, menghidup dan mematikan.

Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, maka tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, maka tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya. Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’ (berkuasa) untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-An’am ayat 17)

Dengan itu, semua makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya serta berharap kepada-Nya. Apa yang dimiliki makhluk hanya bersifat sementara dan pinjaman. Oleh itu jika manusia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifat itu hanya sementara kerana segala sesuatu di alam ini adalah kepunyaan Allah.

2. Tauhid al- Uluhiyyah .

Tauhid al-Uluhiyah adalah bermaksud mentauhidkan Allah SWT dalam peribadatan atau persembahan. Inilah tujuan Allah SWT mengutuskan Rasul iaitu menyeru manusia menerima Tauhid al-Uluhiyyah. 


Tauhid al-Uluhiyyah pula bermaksud menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan dan menerima hanya hakimiah(undang-undang) Allah SWT.
Termasuk percaya kepada Tauhid al-Uluhiyyah adalah percaya dan menerima kalimah tauhid ‘La ilaha illallah’ bermaksud tiada tuhan selain Allah. Sungguhpun ringkas, kalimah ini mempunyai pengertian yang luas dan mendalam bagi kehidupan seorang muslim.

Kalimah ini sebenarnya bererti ‘aku mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah SWT sahaja manakala selain daripada-Nya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Aku berikrar dengan hatiku, menyatakan dengan lidahku dan aku membuktikan dengan perbuatanku.’


Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasa-nya tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.”
(Surah Al-Anbiya’ ayat  25)

“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”  (Surah An-Nahl ayat  36)

“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (Nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah (kerana) sesekali tiada tuhan melainkan Dia.”  (Surah Al-Mukminun ayat 23).


Seorang mukmin yang memiliki Tauhid al-Uluhiyah akan menerima undang-undang yang di ciptakan oleh Allah SWT tanpa ragu-ragu dan menolak dalam jiwanya undang-undang ciptaan manusia.

562. Soalan : Apakah sebenarnya tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT. Adakah hidup manusia ini hanya untuk makan, minum, berkahwin dan bersuka ria sahaja di dunia ini?

Jawapan :


Tujuan manusia diciptakan adalah semata-mata untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT. iaitu melaksanakan semua suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.
 

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku .” (Surah Adz-Zariyat (51) ayat 56)

Manusia diciptakan-Nya bukan sekedar untuk hidup kemudian sampai masa  lalu meninggal dunia tetapi hidup manusia lebih daripada itu.

Lebih jauh Allah SWT mengingatkan pula dalam Surat Al-Mukminun (23) ayat 115

“ Afakhasib-tum an-nama kholaq-nakum ‘abatsan wa an-nakum ilaina laa turja’un ?”

“Apakah kamu (manusia) menyangka bahawa Aku ciptakan kamu dengan main-main dan (kamu kira) kamu tidak akan dikembalikan kepada Ku?”

Dari dua ayat di atas, dengan mudah kita boleh mendapat pencerahan bahawa kewujudan kita di dunia adalah untuk melaksanakan ibadah dan menyembah kepada Allah SWT dan tentu saja semua yang berlaku keatas diri kita samaada perkara kecil atau besar mempunyai makna yang besar. dan bernilai di sisi Allah SWT. semuanya akan dihisab oleh Allah SWT.

Kehadiran manusia ke bumi melalui proses kelahiran , sedangkan kematian sebagai pertanda habisnya kesempatan hidup di dunia dan selanjutnya kembali menghadap Allah untuk mempertanggungjawabkan perbuatannya semasa hidup di dunia.

563. Soalan : Saya minta pencerahan dan huraian hadis ini.  Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Bersabda Rasulullah S.A.W maksudnya : "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing".(Hadis Riwayat Muslim)

Jawapan :


Islam mulai tersebar di Mekkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Selepas generasi awal sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. datang pula beberapa generasi, kelemahan di kalangan pemimpin Islam mula berlaku. Sehingga kerajaan Islam gugur satu demi satu dan berakhir dengan kejatuhan Khilafah Islamiyah (Kerajaan Usmaniah ) di Turki. Serentak dengan itu pengaruh sekularisma yang di taja oleh penjajah Kristian telah menjalar keseluruh negara yang di perintah oleh pemimpin Islam, hingga kini tidak ada lagi yang terkecuali akhirnya Islam menjadi dagang.

Hampit 99% negara-negara Islam hari ini , para pemimpinnya yang memiliki kekuasaan telah mengambil undang-undang dan peraturan hidup yang bukan dari ajaran Islam samaada dari segi muamalat, undang-undang jenayah, ekonomi dan pendidikan.Berbagai-bagai fahaman dan idealogi bercampur –aduk dengan Islam dan akhirnya perbuatan makruf di pandang mungkar dan yang mungkar di pandang makruf. Hukum hudud, qisas dan takzir dipandang sepi.

Rata-rata umat Islam menjadi keliru dan tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil.
Berdasarkan hadis di atas sesiapa dikalangan orang mukmin yang mampu menghayati Islam ketika Islam dipandang dagang (asing) maka dia akan mendapat keuntungan di sisi Allah SWT. dan akan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.


564. Soalan : Apakah cara-cara yang baik dan berkesan boleh kita gunakan untuk kembalikan semula kefahaman Islam kepada masyarakat kita supaya mereka faham bahawa Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.?


Jawapan :


Terdapat 3 perkara yang perlu di laksanakan untuk mengatasi Islam yang telah asing :

1.Memberi kesedaran Islam kepada masyarakat, seperti fahaman Islam yang di fahami oleh Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda iaitu Islam sebagai ad-deen merupakan satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu”
(Surah Al- Maa-idah ayat 3)

2. Melalui proses tarbiah yang betul, untuk melahirkan mukmin yang serasi dan komited dengan Islam dan bekerja untuk Islam sepanjang hayat. Memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang berlaku kepada generasi awal yang di proses di madrasah Rasululluh S.A.W. Menjadi pejuang dan pembela yang ikhlas dan melahirkan kasih sayang sesama saudara muslim.

3.Melaksanakan kerja-kerja jihad secara yang berterusan. Jihad adalah satu amalan yang tinggi dan mulia di sisi Allah SWT dan amat di tuntut di dalam Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa di atas kerja-kerja jihad dan pengorbanan para mujahidin inilah yang menyebabkan Islam tersebar di seluruh dunia. Oleh itu roh dan semangat jihad perlu di tanamkan di dalam jiwa umat Islam supaya mereka merasai bahawa jihad adalah salah satu tuntutan agama , kerana gugur syahid di dalam perjuangan Islam mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. di akhirat nanti. Jihad yang sesuai dilaksanakan masa kini adalah menyampaikan mesej Islam kepada orang-orang Islam dan bukan Islam.


565 . Soalan : Apakah ciri-ciri untuk membentuk akhlak seorang mukmin itu hinggakan dirinya menjadikan seorang yang berakhlak Islam?


Jawapan :


Pembentukan akhlak Islam mestilah ditegak diatas empat asas utama, iaitu :


Pertama: Iman.


Kedua : Islam.


Ketiga : Takwa.


Keempat : Ihsan.


Huraiannya :


Pertama : Iman.


Iman tidak ubah seperti acuan atau benih. Bagaimana acuan maka begitulah hasilnya dan bagaimana benih maka begitulah pokoknya. Oleh itu adalah sia-sia sebarang usaha pembentukan akhlak Islam, jika tidak dimulakan dengan menegakkan asas keimanan terlebih dahulu.


Iman yang dikehendaki disini ialah iman yang menjadi asas atau tunjang kehidupan umat Islam dalam semua aspek. Seorang muslim perlulah beriman sepenuhnya kepada prinsip-prinsip keimanan yang enam, iaitu beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, Malaikat-Nya, Hari Akhirat dan beriman kepada Qada dan Qadar. 


Iman ini hendaklah hidup subur dijiwa serta menghasilkan amalan dan usaha yang sesuai dengan kehendak Islam dan diredai Allah SWT. Kuat atau lemah , pasang atau surut iman seseorang akan memberi kesan kepada setiap pekerjaan atau perbuatannya. Jika kuat iman itu maka baiklah perbuatannya. Sebaliknya jika lemah iman itu maka buruklah perbuatannya.


Kedua : Islam.


Asas kedua dalam pembentukan akhlak Islam ialah Islam itu sendiri .Islam bermakna ikutan atau perlaksanaan segala titah perintah Allah SWT. dan patuh kepada-Nya semata-mata. Islam merupakan tatacara hidup yang serba lengkap seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT. dalam firman-Nya yang bermaksud : “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu deenmu, dan telah-Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah redai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah Al-Maidah ayat 3)


Islam sahaja merupakan cara hidup yang Allah redai.


Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Barangsiapa mencari deen selain deen Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripada-Nya, dan dia di akhirat termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran ayat 85)


Ketiga : Takwa.


Seorang muslim dianggap bertakwa apabila hatinya benar-benar takutkan Allah SWT. serta memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Dia juga menyedari bahawa dia akan berhadapan dengan Allah SWT di hari kiamat kelak. Hidup didunia ini dianggapnya sebagai ujian dari Allah SWT. Justeru itu dia perlu sentiasa berhati-hati dan mengawasi dirinya agar tidak terjerumus kedalam perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah SWT. Takwa ini mestilah dibina diatas iman yang sejati.


Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dibuatnya untuk hari esok (Akhirat) , dan bertakwalah, kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr ayat 18)


Keempat : Ihsan. 


Manakala ihsan pula lahir dari hati yang cintakan Allah SWT. Cinta yang mendorong seseorang itu bersungguh-sungguh dan penuh minat melaksanakan ajaran Islam demi mengejar keredaan-Nya. Seorang yang bersifat ihsan akan mengutamakan orang lain daripada dirinya. Sifat ini melambangkan ketinggian akhlak seseorang muslim. Dalam menjelaskan ihsan, Allah SWT berfirman yang bermaksud : "...(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik diwaktu lapang atau sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang mohsin (bersifat ihsan)." (Surah Ali-Imran ayat 134)





No comments: