Sunday, July 21, 2013

Soal Jawab Agama Siri 56 (Kebaikan Air Zam-zam, Minyak Zaiton Dan Susu, Keberkatan Bubuh Daging Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 56 adalah menjelaskan persoalan kebaikan air zam-zam, minyak zaiton dan susu, keberkatan bubur daging, tidak boleh mencela makanan, menjilat jari selepas makan, doa sebelum dan selepas makan dan aurat muslimah ketika bersama wanita bukan Islam.

566. Soalan : Boleh kah ustaz huraikan hadis-hadis Nabi SAW mengenai kebaikan air zam-zam, minyak zaiton dan susu?

Jawapan :


Kebaikan Air Zam-zam :
Sesungguhnya sebaik-baik air yang ada di bumi dan yang paling bermanfaat adalah air zam-zam. Di dalamnya terdapat penyembuh dari segala penyakit, pengenyang dari setiap rasa lapar dan penyegar dari rasa haus. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ubadah bin
Shamit r.a bahawa ia berkata: Abu Dzar menuturkan dalam hadis yang panjang, lalu ia menyebutkan pertanyaan Nabi SAW kepadanya, Sejak bila kamu di sini? Aku (Abu Dzar) menjawab, Kami di sini sejak 30 hari, siang dan malam”.

Nabi SAW  bertanya: “Siapa yang memberikan kamu makan?"

Aku menjawab: “Tidak ada makanan padaku kecuali air zam-zam. Aku menjadi gemuk sampai perutku buncit, dan tidak aku dapati rasa lapar dalam perutku."

Lantas baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya itu air yang diberkati, makanan yang mengenyangkan dan penyembuh penyakit”.(Hadis Riwayat Muslin dan At Thayalisi)

“Rasulullah saw juga bersabda: “Sesungguhnya itu air yang diberkati. Ia makanan yang
mengenyangkan dan penyembuh penyakit”.(Hadis Riwayat Abu Daud an At Thayalisi)

Dari Abu Dzarr bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda: “Air zam-zam adalah makanan yang mengenyangkan dan penyembuh penyakit”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Al Bazzar)

Kebaikan Minyak Zaiton.
Cukuplah sebagai dalil untuk kita akan keberkatan pokok zaitun sebagaimana firman Allah SWT maksudnya :  “Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi, Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti satu lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca, (dan) kaca itu seakan-akan bintang (bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pokok zaitun yang tumbuh tidak disebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis)……." (Surah An Nuur ayat 35)

Dari Abi Usaid Al-Anshari bahawa ia berkata: Rasulullah saw bersabda: “Makanlah minyak zaitun! Sesungguhnya ia diberkati. Berlauklah dengannya dan berminyaklah dengannya! Sesungguhnya ia keluar dari pokok yang diberkati” (Hadis Ahmad, Ad Darimi dan Tirmizi)

Hadis di atas juga tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza, iaitu hadis dari Umar, Abu Usaid, Abu Hurairah, Abdullah bin Abbas tentang sabda Nabi SAW maksudnya :
"Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah dengannya! Sesungguhnya ia dari pokok yang diberkati”. (Lihat Silsilah Al Hadis As Sohehah, hadis no 379 )

Kebaikan Susu :

Berkenaan dengan keberkatan susu, ada beberapa hadis yang menyebutkan
keutamaan tersebut. Sebagaimana hadis berikut ini yang diriwayatkan dari Ummu
Salim Ar-Rasin bahawa ia berkata: “Aku mendengar ‘Aisyah r.a mengatakan: “Apabila dihidangkan susu kepada Rasulullah SAW baginda bersabda: “Keberkatan atau dua keberkatan”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dari ‘Aisyah r.a bahawa ia mengatakan: “Apabila Rasulullah SAW diberi susu, baginda
bersabda: “Betapa banyak rumah yang di dalamnya terdapat satu keberkatan atau
dua keberkatan”. (Hadis Riwayat Ahmad )

567. Soalan : Apakah makanan (makanan yang dimasak) yang terdapat keberkatan di dalamnya mengikut sunah Rasulullah SAW?

Jawapan :


Tsarid (bubur daging) memiliki keutamaan dibandingkan makanan yang lain, di antara banyaknya hadis sahih menyebutkan keutamaan tersebut. Sebagamana disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: “Keutamaan ‘Aisyah dibandingkan semua wanita, bagaikan keutamaan tsarid (bubur daging) atas semua makanan”. (Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Salman Al-Farisi secara marfu’ bahawa Nabi SAW bersabda: “Keberkatan itu terdapat di dalam tiga perkara: berjamaah, tsarid (bubur daging) dan makan sahur”.
(Lihat Silsilah Al Hadis As Sohehah, hadis no 1045)

Diriwayatkan dari Asma’ binti Abu Bakar r.a bahawa: Apabila dirinya membuat tsarid (bubur daging), ia menutupinya dengan sesuatu sehingga hilang asapnya. Ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda”: “Sesungguhnya Tsarid (bubur daging) merupakan berkat yang paling besar”. (Ahmad dan Ad Darimi )

Nota : Amalan yang dilakukan oleh umat Islam ketika bulan Ramadan menyediakan bubuh lambuk (tsarid) adalah amalan yang baik kerana terdapat keberkatan dengan menyediakan makanan tersebut.

568. Soalan : Apabila kita tidak suka sesuatu makanan kerana terlebih pedas atau masin adakah boleh kita menyatakan keadaan makanan tersebut? Adakah selepas makan kita menjilat jari kita itu satu sunah Rasulullah SAW?

Jawapan :

Keberkatan jangan Mencela Makanan Dan Sunnahnya
Memuji Makanan.


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah SAW. itu tidak pernah mencela samasekali pada sesuatu makanan. Jikalau baginda SAW ingin pada makanan itu baginda pun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka baginda tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Jabir r.a.: Bahwasanya Nabi SAW meminta lauk pauk kepada keluarganya,
lalu mereka berkata: “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Baginda SAW lalu
memintanya dan mulailah baginda makan serta bersabda: “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik lauk pauk ialah cuka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menjilat Jari Selepas Makan :

Ramai yang meremehkan dan mencerca orang yang menjilat (mengulum) jari tangan selepas makan. Ini adalah sunnah yang besar dari Rasulullah SAW. Ia membuatkan seseorang mendapat berkat dari perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW. di bawah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu selesai makan, hendaklah ia menjilati (mengulum) jari jemarinya! Sesungguhnya seseorang tidak tahu bahagian mana makanan itu mengandungi keberkatan.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Dari Ibnu ‘Abbas bahawa ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah
seorang dari kamu makan, janganlah ia mengusap telapak tangannya dengan sapu
tangan sebelum dirinya atau orang lain menjilati sisa makanan yang melekat”.
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi

Abu Zubair berkata: “Aku mendengar Jabir bin Abdullah mengatakan: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Janganlah seseorang mengangkat pinggannya (sesudah makan), sebelum ia menjilati atau menjlatkan kepada orang lain sisa-sisa yang masih melekat pada
piring tersebut! Sebab, pada akhir makanan itu ada berkatnya”.
(Lihat Silsilah Al-Hadis As Sohehah hadis no 311 )

569. Soalan : Apakah bacaan atau doa yang sunat diucapkan sebelum dan selepas makan makan?

Jawapan :


Kita seharusnya memulai makan makanan dengan menyebut nama Allah (Bismillah).
Diriwayatkan dari Umar bin Abi Salamah r.a bahawa ia berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Sebutlah nama Allah(Bismillah)! Makanlah dengan  tangan kananmu, dan makanlah dari yang dekat denganmu”. (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Apabila seseorang itu terlupa menyebut nama Allah  apabila ingin makan, akan tetapi dia teringat apabila sudah makan, maka disunnahkan menyebut doa di bawah ini berdasarkan sebuah hadis yang berikut ini.

“Rasulullah SAW bersabda:“Siapa sahaja yang lupa menyebut nama Allah Azza Wa Jalla sebelum makan, maka hendaklah ia mengucapkan: “Bismillahi awwalahu wa akhirahu”
(Dengan menyebut nama Allah di awal dan di akhirnya). Kerana sesungguhnya ia seperti orang yang menghadapi makanan baru atau keburukan yang menimpa makanan itu akan tercegah” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Sunni dan Thabrani)

Diriwayatkan dari Anas r.a bahawa ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya Allah bernar-benar redha kepada seorang hamba yang memakan suatu makanan atau meminum suatu minuman, setelah itu memujiNya”. Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Sunni)

Disunnahkan kita menyebut nama Allah (Bismillah) sekiranya kita tidak tahu
sesuatu makanan atau sembelihan yang tidak disebut nama Allah (Bismillah) di
dalamnya. Ini berdasarkan riwayat dari ‘Aisyah yang menyebutkan:
“Suatu  kaum pernah berkata kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, ada suatu kaum
membawakan kepada kami masakan daging. Kami tidak tahu apakah mereka menyebut
nama Allah (Bismillah) atau tidak (ketika menyembelihnya). Rasulullah SAW bersabda: “Sebutlah nama Allah (Bismillah), lalu makanlah”. (Hadis Riwayat Bukhari, Ibnu Majah dan Nasa’i)

Setelah selesai dari makan dan minum, disunnahkan membaca doa yang akan disebutkan pada hadis di bawah.

Diriwayatkan dari Mu’adz bin Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa memakan lalu berdoa :

“Alhamdulillahillazi At ‘amani hazatto ‘ama warazaqanihi min ngaiharihaulim minna wala quwwat”

Maksudnya : (Segala puji bagi Allah yang menganugerahkan kepadaku makanan ini dan telah menjadikan segahagian rezekiku, tanpa daya dan kekuatan dari diriku sendiri)
Niscaya diampuni dosanya yang telah lalu”  (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi)

570. Soalan : Apakah batas aurat wanita muslimah di hadapan wanita bukan muslimah?

Jawapan:


Para ulama berbeza pandangan tentang batas aurat wanita muslimah di hadapan wanita bukan muslimah. Sebab perbezaan pandangan ini kerana berbeza cara faham mereka terhadap ayat dari surah al-Nur ayat 31, Allah SWT berfirman:

ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن …أو نسائهن

Maksudnya: “Dan jangan para wanita itu menampakkan perhiasan (aurat) mereka melainkan kepada suami-suami mereka…atau kepada para wanita mereka.” (Surah al-Nur ayat 31)

Para ulama berbeza pandangan dalam menafsirkan kalimah nisak (wanita) di sini antaranya:

1. Dimaksudkan nisak (wanita) muslimat sahaja.

2. Dimaksudkan kepada semua wanita sama ada muslimat atau bukan.

Pandangan yang lebih benar ialah harus wanita menampakkan auratnya di hadapan wanita bukan Islam melainkan jika dibimbangi berlakunya keburukan yang lain seperti bimbang wanita bukan Islam itu akan menceritakan cirri-ciri tubuh badan wanita muslim kepada lelaki ajnabi, maka pada ketika itu wajib menutup aurat tidak kira di hadapan wanita kafir atau wanita muslimah yang rosak akhlaknya.

Antara bukti yang menunjukkan pandangan yang lebih benar ialah harus wanita muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita bukan islam ialah hadis ‘Aisyah r.ha yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang menyebut seorang wanita Yahudi pernah menemui beliau (‘Aisyah) di dalam rumahnya, dan tidak diriwayatkan beliau menutup aurat pada ketika itu.

Al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz RH menyebut:

لا يجب الاحتجاب عنهن – أي : غير المسلمات – فهنَّ كسائر النساء في أصح قولي العلماء

Maksudnya: “(Wanita muslimah) Tidak wajib berhijab di hadapan wanita bukan Islam, mereka adalah sama seperti wanita lainnya berdasarkan pandangan yang lebih benar dari dua pandangan ulama yang ada.” (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah 2/582)

Oleh yang demikian, aurat seorang wanita muslimah yang dibenarkan untuk diperlihatkan kepada wanita lain ialah aurat yang dibenarkan ketika dia bersama dengan mahramnya .

al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:

لها أن تكشف لمحارمها عن الوجه والرأس والرقبة والكفين والذراعين والقدمين والساقين ، وتستر ما سوى ذلك

Maksudnya: “Bagi seorang wanita muslimah itu dia boleh membuka aurat kepada mahramnya terdiri dari muka, kepala, lutut, dua tapak tangan dan hasta, dua betis dan lengan, manakala dia tutup aurat yang selain dari itu.”(Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah 1/417)

Wallahu a’lam.









No comments: