Tuesday, July 23, 2013

Soal Jawab Agama Siri 58 (Rahmat Allah, Sedekah, Bercerai Dan Berdoa)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 58 adalah menjelaskan persoalan rahmat Allah SWT, sedekah untuk orang miskin, masuk syurga dengan rahmat Allah, bersedekah, bercerai,

576. Soalan : Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah S.W.T. menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "

Bolehkah ustaz huraikan apakah yang dimaksudkan rahmat-Ku mengalahkan kemurkaan-Ku.?

Jawapan :


Sesungguhnya sifat Allah yang pertama disebut di dalam al-Quran ialah “ar-Rahman, ar-Rahim”. Justeru, Allah Ta’ala melayani makhluk-Nya dengan lembut, penuh rahmah sebelum dihukum dan diseksa, sehinggakan kepada para penderhaka sekalipun. Sifat Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang dan Dia sentiasa menerima taubat hamba-hamba-Nya yang berdosa.

Firman Allah SWT maksudnya:  “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, ialah azab yang tidak terperi sakitnya (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).”  (Surah Al-Hijr ayat 49-50)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta-merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hamba-Nya.” (Surah Fatir ayat 45)

Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya : "Allah S.W.T. memiliki 100 rahmat. Dari Rahmat-rahmat itu dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin ,manusia , haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang ,berlemah lembut , dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah S.W.T.  mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti."(Hadis Muttafaqun 'alaih , Bukhari dan Muslim )

577. Soalan : Adakah seseorang yang layak memasuki syurga Allah SWT  kerana amal-amal soleh yang mereka kerjakan atau kerana rahmat Allah ?

Jawapan :


Sesiapa sahaja yang diizinkan oleh Allah SWT dapat memasuki syurga-Nya adalah kerana rahmat-Nya bukan kerana amal soleh mereka semata-mata.

Dalilnya adalah hadis dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam syurga Allah S.W.T.  adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun untuk mendapatkan rahmat Allah perlu kepada 5 syarat yang terdapat dalam nota ini iaitu :

Pertama : Tidak melakukan syirik kepada AllahS.W.T.
 

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh". (Surah An-Nisaa' ayat 116.)

Kedua : Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah S.W.T.

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah Al Insan, Ayat 25- 26)

Ketiga : Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."

(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Keempat : Sentiasa mengikhlaskan beribadah kepada-Nya.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kelima : Melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.  dan mengerjakan amal soleh.

Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah An-Nahl ayat 32)



578. Soalan : Adakah boleh kita menangguh-nanguhkan amal soleh yang hendak kita lakukan. Contoh apabila kita hendak bersedekah tunggu bila jadi kaya baru hendak bersedekah,  apabila hendak ke masjid tunggu bila pencin atau apabila kita hendak bertaubat tunggu bila umur sudah menjangkau tua?


Jawapan :


Nabi SAW melarang kita menagguh-nangguhkan amalan soleh kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan sampai dan berbagai kejadian buruk boleh berlaku jika kita tidak melakukan amal soleh ketika di dunia ini.


Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."(Hadis Riwayat Muslim)
Syaitan akan cuba membisikkan ditelinga orang mukmin supaya menangguh-nangguhkan sedekah hingga dia terlupa untuk memberikan sedekah yang sudah dirancang. Begitu juga kita tak boleh tangguhkan bertaubat kerana takut tidak sempat bertaubat ajal datang dengan tiba-tiba.

579. Soalan : Kawan saya baru di ceraikan oleh suaminya kerana mengikut arahan ibunya kerena beliau tidak suka kepada kawan saya sebagai menantu. Ibunya suka mencampuri urusan rumah tangga anaknya dan sentiasa tidak puasa hati apa sahaja yang dilakukannya. Kawan saya merasa kecewa dan sedih kepada bekas ibu mertuanya yang suka membuat fitnah . Apakah cara yang patut saya lakukan untuk membantu kawan saya yang rasa sungguh kecewa dan hilang semangat pada dirinya. Dia rasa cukup troma kejadian yang berlaku keatas dirinya.

Jawapan :

Saudari kenalah menasihati kawan saudari supaya bersabar dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah kerana hanya orang-orang kafir sahaja yang akan berputus asa. Tenang hadapi dugaan hidup dan bersabar kerana di atas kesabaran itu mengandungi pahala yang besar.

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."   (Surah Az-Zumar ayat 53)

Setiap manusia yang hidup di dunia ini akan sentiasa di uji oleh Allah SWT.. Ujian Allah SWT datang berbagai bentuk. Ada ujian berupa bala dan musibah, penyakit, kemalangan, gagal dalam pepereksaan dan  kegagalan dalam membina keluarga bahagia . Ujian juga datang dalam bentuk perselisihan di dalam keluarga atau mendapat gangguan sihir dan di fitnah .


Manusia sering merasa  putus asa dan kecewa kerana gagal mengemudi diri dalam kehidupan, kecewa kerana gagal di ceraikan suami tanpa alasan yang munasabah.
Di dalam ayat di atas Allah SWT menyeru kepada hamba-hamba-Nya supaya jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Susah dan gagal macamana sekali pun kita dilarang untuk berputus asa dan merasa kecewa.


Putus asa dan kecewa datang dari hati iaitu segumpal daging yang ada di dalam diri kita. ianya berbentuk satu rasa yang mempunyai perkaitan dengan mental, emosional, spiritual dan fizikal. Apabila seseorang itu putus asa dan kecewa; maka beliau tidak dapat berfikir secara waras (mental), emosi mengalami tekanan yang sukar dikawal (emosi), semangat menjadi pudar malah berada pada tahap paling rendah dan kesihatan badan juga akan terganggu. 


Ingatlah bahawa pertemuan jodoh di dunia dan bertemu pula di syurga adalah kerana rahmat Allah SWT. Yakinkan pada kawan saudari bahawa hakikat sebenarnya bekas suaminya itu bukanlah jodohnya yang sebenar , mungkin ada hikmah bahawa dia akan dipertemukan dengan lelaki yang lebih soleh dan dapat membimbingnya kejalan yang benar.

580. Soalan : Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT. tetapi Dia belum menunaikan hajat saya. Adakah terdapat kebaikan di sisi Allah SWT doa-doa saya yang belum dimakbulkan-Nya.?

Jawapan : 

Dalam hadis Rasutullah SAW. bersabda: “Tak seorang pun pendoa, melainkan ia berada di antara salah satu dari tiga kelompok ini: Kadang ia dipercepat sesuai dengan permintaannya, atau ditunda  demi pahalanya, atau ia dihindarkan dari keburukan yang menimpanya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan AI-Hakim).


Dalam hadis lain disebutkan, “Doa di antara kalian bakal di kabulkan, sepanjang kalian tidak tergesa-gesa, (sampai akhirnya) seseorang mengatakan, “Aku telah berdoa, tapi tidak di kabulkan untukku. “ (Hadis Riwayat Bukhari adn Muslim)


Allah SWT melarang kita berputus asa dan kecewa, kerana sesuatu yang berlaku keatas diri kita kerana Allah  akan mengkabulkan doa dan permintaan kita.


Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman, "Wahai anak Adam, Aku telah ciptakan kamu, maka kamu jangan bermain-main, dan Aku jamin rezekimu, maka kamu jangan merasa capai. Wahai anak Adam, carilah Aku, maka engkau akan menemui-Ku. Dan jika engkau menemukan Aku, engkau akan dapat sesuatu sedang Aku mencintaimu, lebih dari segalanya."

2 comments:

Unknown said...

akum sy ingin bertanya bagaimana nak mewujudkan keihlasa di hati apabila melakukan amal ibadat dan bagaimana cara nak mengekalkan hidayah allah...tq

Anonymous said...

Ingat mati