Monday, July 22, 2013

Soal Jawab Agama Siri 57 (Perselisihan Faham, Fardu Haji, Penceramah Minta Bayaran Tinggi Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 57 adalah menjelaskan persoalan perselisihan faham dikalangan umat Islam, tunaikan fardu haji, penceramah minta bayaran tinggi, wanita melamar lelaki dan sedekah untuk orang miskin.


571. Soalan : Dalam masyarakat kita sentiasa berlaku perselisihan faham dan perbalahan dikalangan umat Islam sehingga meraka saling hina menghina, kutuk mengutuk dan mendedahkan aib sesama mereka. Apakah cara mereka ini jauh menyempang daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW?

Jawapan :

Nabi SAW mengajar umatnya saling menyanyangi antara satu sama lain, dan Nabi SAW menggalakkan umatnya saling bantu membantu antara satu sama lain. Nabi SAW  juga mengajar umatnya mempunyai akhlak mahmudah sepertimana akhlak baginda iaitu akhlak Al-Quran sepertimana yang diriwayatkan oleh Aisyah isteri Nabi. Sebenarnya kutuk mengutuk, hina menghina ini tidak baik dari sisi Islam, kecuali berkata-kata benar dengan bukti yang kukuh. Jika tidak mempunyai bukti yang kukuh, maka di kuatiri kita memfitnah orang lain dan hadis nabi yang bermaksud ,“Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Oleh itu kalian perlulah berhati-hati, jangan mudah percaya dan terpedaya dengan berita fitnah, berita palsu, berita mengaibkan orang lain


 Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya)


Jika hendak membuat teguran jangan gunakan nama yang sebenar itu lebih baik, kerana menjaga keaiban orang lain.


572. Soalan : Saya ingin bertanya sekiranya saya hendak memberi sedekah atau menginfakkan harta dijalan Allah berapa peratus daripada jumlah simpanan yang saya miliki.? Untuk makluman ustaz ibu saya belum lagi mengerjakan fardu haji, adakah sebagai anak lelaki patut saya dahulukan untuk menunaikan haji ibu saya?

Jawapan :

Dalam mengimpakkan sedekah tidak ditetapkan kadarnya, kerana ini adalah amalan sunat dan bukan amalan wajib. Tetapi lebih baik sebelum memberikan sedekah perlulah dikira dahulu hutang saudara jika ada selesaikan dahulu, kemudian keperluan ibu  kerana ini lebih wajib dari bersedekah, jika lebih maka terpulanglah kepada saudara untuk menentukan jumlah sedekahnya. Sebelum itu sebagai nasihat, laksanakan haji dahulu kepada ibu kerana menunaikan haji adalah wajib jika telah ada kemampuan. Semoga dengan niat murni saudara untuk membantu ibu menunaikan haji akan dipermudahkan oleh Allah SWT dan dimurahkan rezeki saudara.

573. Soalan : Apa pandangan ustaz mengenai penceramah agama yang mengenakan bayaran yang tinggi jika kami hendak menjemput beliau untuk menyampaikan ceramah di masjid tempat saya. Pihak AJK Masjid terpaksa menolaknya kerana tidak mampu untuk membayar bayaran yang diminta.

Jawapan :

Sebenarnya ulamak yang jujur susah hendak dicari dan ditentukan, sebab hal ini berkaitan dengan hatinya, hal ini Allah sahaja yang tahu. Kita sebagai manusia menilai selagi mana pesan-pesan ulamak itu betul kita ikut dan wajib kepada semua umat Islam menyampaikan dakwah, tetapi bukan mudah orang hendak ikhlas. Masalah dia ikhlas ataupun tidak, itu dia dengan Allah, kalau dia ikhlas maka dia dapat keuntungan di dunia dan akhirat.

Pandangan saya, selalunya ulama yang tidak ikhlas ini akan menampakkannya kepada keburukan, contoh tempat ceramah yang bayaran sikit akan ditolak olehnya dan tempat ceramah bayaran besar akan di terimanya. Sesiapa sahaja kalau tidak mempunyai kekuatan fizikal dan rohani yang mantap maka akan berlakulah perkara ini, bukan mudah hendak elak perkara ini. Wallahu a'lam.


574. Soalan : Ustaz saya seorang gadis baru tamat belajar di IPTA dan baru mula bertugas di Jabatan Kerajaan. Saya berkenan dengan seorang ustaz di facebook sebagai rakan alam maya. Beliau banyak menulis artikal-artikal dakwah dan tarbiah dan banyak menunjuk ajar ilmu kepada saya. Dalam Islam bolehkah wanita memulakan dulu hasrat hati kepada lelaki yang soleh? Bolehkan saya menghantar surat kepadanya? Dan apakah cara-cara dan adab-adab yang harus dilakukan sebelum mendirikan rumah tangga.? Wasslam.

Jawapan :

Dalam Islam tidak salah jika wanita memulakan dahulu menyatakan hasrat hati kepada lelaki yang baik tetapi perlulah mengikut adab-adab sopan yang telah digariskan oleh agama.

Sebenarnya dalam Islam ada beberapa langkah yang perlu ditempuhi oleh pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

1. Merisik, iaitu keluar melakukan kunjungan kerumah keluarga perempuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim dan bertanya khabar mengenai gadis yang akan di risik. Risik ini adalah bertujuan untuk menjalinkan hubungan kekeluargaan dan bertanya mengenai status gadis tersebut adakah di miliki orang atau masih belum berpunya.

2. Bertunang setelah merisik mendapati gadis tersebut tidak dimiliki dan bersetuju untuk dipinangkan dan keluarga dua belah pihak bersetuju. dan di sini berlaku penetapan jumlah mas kawin dan hantaran belanja.

3. Akad Nikah adalah petanda yang sah bahawa lelaki dan perempuan ini sudah di kahwinkan dan sah sebagai suami isteri. Setelah itu keluarga dua belah pihak mengadakan kenduri sebagai menghebohkan bahawa mereka telah bergelar suami isteri.

Dalam hal saudari, saya rasa lebih elok saudari jangan menghantar surat kepada lelaki tersebut, kerana jika dia benar-benar sukakan saudari, sudah tentu dia akan berusaha untuk meminang saudari atau memberitahu saudari untuk mengambil saudari sebagai isterinya. Kurang manis bagi wanita yang memulakan dahulu, jika saudari suka sekalipun mestilah melalui keluarga saudari dan boleh dalam Islam pihak perempuan meminang lelaki.


Satu cara lagi bolehlah saudari lakukan cuba merisik lelaki tersebut melalui rakan facebook perempuan yang lain (yang boleh dipercayai) jika boleh yang berumur  dan telah berkeluarga tanyakan latarbelakang beliau dan persedian beliau untuk berumah tangga dan adakah beliau bersedia jika ada "orang berminta" kepadanya untuk mendirikan rumah tangga. Cara ini mungkin lebih sopan kerana tidak terus tanya secara langsung kepada lelaki tersebut.

Alasan saya ialah supaya mengelakkan timbulnya fitnah dan maruah saudari sebagai perempuan, kerana perempuan ini mudah di tipu oleh syaitan dan perempuan jika merupakan fitnah dunia. Peliharalah kehormatan saudari sebagai wanita kerana jodoh di tangan Allah. Percayalah bagi wanita yang menjaga kehormatannya, maka Allah akan satukannya dengan lelaki yang baik dan bertanggungjawab dan soleh.

 
575. Soalan : Orang kayu dan berharta boleh sentiasa bersedekah dengan wang ringgit sebagai infak dijalan Allah SWT. Bagaimana pun orang fakir miskin hendak bersedekah kerana mereka sendiri memerlukan wang ringgit untuk menyara kehidupan dirinya dan ahli keluarganya.

Jawapan : 

Sedekah itu adalah satu tuntutan agama yang sunguh besar fadilatnya. Banyak hadis-hadis daripada Nabi SAW yang menyatakan fadilat dan kebaikan bersedekah. Sesiapa yang ikhlas bersedekah akan digandakan oleh Allah SWT sehingga 10 kali ganda dan hingga ke 700 kali ganda atau lebih. Salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Arash adalah seorang yang banyak bersedekah hinggakan tangan kirinya tidak mengetahu apa yang dilakukan oleh tangan kanannya. Jika tidak mempunyai wang yang banyak sedekahlah setakat kemampuan walaupun hanya seringgit atau dua ringgit. Bukan banyak atau sedikit yang akan dinilai tetapi ikhlas dan niat untuk bersedekah itu yang palin'g penting. Yakinlah harta orang yang bersedekah akan ditambah oleh Allah SWT.

Selain daripada sedekah dengan harta, dengan berzikir juga akan mendapat pahala sedekah sebagimana hadis di bawah :

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahih Muslim, daripada Abu Dzar r.a: Beberapa orang daripada sahabat Nabi SAW berkata: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya memperoleh ganjaran. Mereka solat seperti mana kami solat. Mereka berpuasa seperti mana kami berpuasa. Dan mereka juga bersedekah daripada lebihan harta mereka." 
Rasulullah SAW bersabda: "Tidakkah Allah telah memperuntukkan kepada kamu suatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan La ilaha illallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan setiap kali kamu melakukan jimak (dengan isteri kamu) juga adalah sedekah."
Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, adakah jika seseorang daripada kita menunaikan syahwatnya dia mendapat ganjaran (sedekah)?" 
Rasulullah menjawab: "Tidakkah kamu merasakan suatu dosa jika dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang haram?" 
Sahabat menjawab: "Ya." 
Rasulullah menjawab: "Demikian juga apabila dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang halal."

No comments: