Saturday, September 14, 2013

Tafsir Surah Al-Ahqaf Ayat 29-32

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,


Firman Allah SWT :

وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ (29)
 

Maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata: `Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)`. Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan". 
(Surah Al-Ahqaf (46) ayat 29)
 
قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنْزِلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ (30


Maksudnya : "Mereka berkata: `Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (al-Quran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus.
(Surah Al-Ahqaf (46) ayat 30)

يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (31)

Maksudnya : "Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih.(Surah Al-Ahqaf (46) ayat 31)
 
وَمَنْ لَا يُجِبْ دَاعِيَ اللَّهِ فَلَيْسَ بِمُعْجِزٍ فِي الْأَرْضِ وَلَيْسَ لَهُ مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءُ أُولَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (32


Maksudnya : "Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata`.
(Surah Al-Ahqaf (46) ayat 32)

Asbabun Nuzul Surah Al-Ahqaf Ayat 29-32.

Ibnu Mas'ud memaparkan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan sembilan jin , yang diantara mereka bernama Zuba'ah, yang datang ketika Rasulullah SAW , membaca al-Quran di sebuah kebun kurma. Zuba'ah mendengarkan Rasul SAW dengan saksama dan menyuruh semua temannya agar mereka memerhatikan bacaan Rasul SAW." (Hadis Mursal Riwayat Hakim dan Baihaqi)

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT. memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar menyampaikan kepada orang-orang musyrik Mekah peristiwa tentang pertemuannya dengan sekelompok jin yang telah datang kepadanya untuk mendengarkan pembacaan ayat-ayat al-Quran. Di waktu mereka mendengarkan pembacaannya, sebagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, "Dengarlah baik-baik pembacaan al-Quran ini agar dengan demikian kita dapat memusatkan perhatian kepada bacaan yang belum pernah kita dengar selama ini dan untuk menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik pada waktu mendengarkan pembacaan ayat al-Quran yang mulia ini". 

Setelah mereka selesai mendengarkan pembacaan al-Quran itu, mereka kembali kepada kaumnya untuk menyampaikan apa yang telah mereka dengar itu.

Dalam ayat ini diterangkan bahwa jin telah mendengarkan pembacaan ayat-ayat al-Quran dari Nabi SAW. Bagaimana cara jin mendengarkan pembacaan itu dan bagaimana Nabi SAW memperdengarkannya tidak ada keterangan yang menerangkannya dengan jelas. 


Di dalam ayat ini telah jelas kepada kita bahawa jin juga telah menerima dakwah Rasulullah SAW dan sebagai umat Islam wajib kita mempercayai adanya jin itu, sebagaimana kita wajib mempercayai adanya malaikat kerana kepercayaan kepada adanya jin dan malaikat itu termasuk dalam mempercayai seluruh isi al-Quran yang merupakan sumber pokok agama Islam.

Malaikat dan jin termasuk alam gaib, kerana itu hanya Allah sajalah yang mengetahui dengan pasti tentang hakikat dan kejadiannya. seorang muslim wajib percaya bahwa Nabi Muhammad saw. pernah berhubungan dengan malaikat, seperti waktu menerima wahyu dan sebagainya. Demikian pula seorang muslim wajib percaya pula bahwa pada suatu waktu, di masa Rasulullah saw. masih hidup, beliau pernah berhubungan dengan jin, yaitu di waktu memperdengarkan bacaan al-Quran kepada mereka dan waktu mereka kepada kaumnya.


Pada hadis yang lain disebutkan sebagai berikut:

عن علقمة قال : قلت لابن مسعود :هل صحب رسول الله صلى الله عليه وسلم منكم أحد ليلة الجن؟ قال : ما صحبه منا أحد

Alqamah berkata, "Aku bertanya kepada Ibnu Mas'ud, adakah salah seorang di antara kamu yang menyertai Rasulullah SAW. pada malam pertemuannya dengan jin?" Ibnu Mas'ud menjawab, "Tidak seorang pun di antara kami yang menyertainya". (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Tirmizi dari Alqamah)


Ayat ini diturunkan pada saat-saat Rasulullah SAW dan para sahabat sedang menghadapi tantangan yang sangat berat dari kaum musyrik Mekah. Setelah isteri baginda yang baginda cintai, Siti Khadijah telah meninggal dunia, kemudian disusul dengan kematian bapa saudara baginda iaitu Abu Talib, baginda merasa kehilangan orang-orang yang selama ini melindungi dan menolong baginda dari gangguan orang-orang Quraisy. Dalam pada itu, ancaman dan gangguan orang Quraisy semakin bertambah. Berhadapan dengan keadaan seperti  ini baginda pergi ke negeri Taif dengan harapan akan mendapat perlindungan dan pertolongan dari Bani Saqif. Tetapi baginda tidak memperoleh apa yang diharapkannya itu, bahkan Bani Saqif sendiri bertindak kasar dengan menyuruh budak-budak mereka mengusir dan melempari Rasulullah dengan batu-batu sehingga kaki baginda luka dan berdarah. 


Mereka memaksa Rasulullah SAW keluar dari Thaif sehinggalah baginda sampai ke kebun `Utbah dan Syaibah, di situlah baginda berlindung dari teriknya matahari dan setelah berdoa meminta pertolongan dari Tuhan, barulah budak-budak itu pergi. 

Kemudian Rasulullah SAW kembali ke Mekah. Dalam perjalanan kembali itu, baginda singgah di Nakhlah, suatu tempat termasuk kota Mekah. Baginda bermalam di sana. Maka pada malam itu waktu baginda sedang solat dan membaca al-Quran dalam solat itu, Allah SWT. mengerahkan tujuh orang pemuka jin untuk mendengarkan bacaan Nabi SAW. membaca Alquran itu. Baginda tidak mengetahui akan kedatangan jin itu dan baginda juga tidak mengetahui ketika jin itu kembali ke tempatnya. Dengan turunnya ayat ini barulah Rasulullah SAW mengetahui kedatangan jin itu.

Ayat ini diturunkan untuk menenteramkan hati Nabi SAW dan para sahabatnya. Tidak lama setelah itu, terjadilah peristiwa `Israk dan Mikraj. Kedua peristiwa itu menambah kuat hati Nabi SAW dan keyakinan baginda akan berhasilnya baginda dalam menyampaikan risalah yang ditugaskan Allah SAW kepadanya.


Ayat ini menerangkan bahawa jin memperlihatkan ayat-ayat al-Quran yang dibaca Rasulullah SAW, kemudian menyampaikan isi al-Quran itu kepada kaumnya. Dari peristiwa ini, dapat diambil kesimpulan bahwa seruan Rasulullah SAW itu tidak saja tertuju kepada seluruh manusia, tetapi juga ditujukan kepada jin, makhluk gaib yang tidak dapat diketahui hakikat dan keadaannya oleh manusia. Hanya saja kita manusia tidak mengetahui bila waktunya dan bagaimana cara-caranya jin itu melaksanakan perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah SWT.


Dalam ayat 30 dan 31 selanjutnya jin-jin itu menyeru kaumnya, 

"Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (al-Quran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih."
 
Ayat ini memberi pengertian bahawa:

1. Jin-jin itu ada yang mukmin dan ada pula yang kafir. Dalam ayat ini, mereka diseru agar beriman kepada Allah SWT.


2. Jin berkewajiban beribadah kepada Allah SWT. Oleh kerana itu jin menerima syariat sebagaimana syariat yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul kepada manusia.


3. Jin yang beriman akan diampunkan dosa-dosa mereka dan akan 


diselamatkan dari api neraka sedangkan jin yang kafir tidak akan terlepas daripada azab Allah SWT yang pedih (neraka)
Dalam ayat 32    Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata`.


Kemudian diterangkan, "Barang siapa di antara jin yang tidak menerima seruan Muhammad SAW. sebagai Rasulullah iaitu tidak melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhkan diri dari larangan-larangan-Nya yang tersebut dalam al-Quran dan hadis, maka ia tidak dapat menghindari diri dari azab-Nya apabila Dia berkehendak mengazabnya. Dan ia tidak mendapat seorang penolong pun untuk melepaskan dirinya dari azab Allah, kecuali jika Allah sendiri menghendakinya.


Dari ayat ini difahamkan pula bahawa seluruh ibadat-ibadat yang diwajibkan kepada kaum muslimin mengerjakannya, maka wajib pula seluruh jin mengerjakannya, seperti solat, puasa, zakat, haji dan bertolong-tolongan untuk kebaikan dan sebagainya. Diterangkan bahawa jin-jin yang tidak mengikuti seruan Muhammad SAW berada dalam kesesatan dan menyimpang dari jalan yang benar akan menerima azab di hari akhirat.
 

No comments: