Monday, March 24, 2014

Hidup Di Dunia Hanyalah Sementara Akhiratlah Tempat Yang Kekal Abadi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Hidup di dunia ini adalah sementara waktu sahaja dan hidup di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Nabi SAW menganggap bahawa jarak dunia ini dengan hari akhirat adalah seperti memejamkan mata.

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah SAW. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah SAW. pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW.?"

Berkata Rasulullah SAW. : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Orang itu bertanya lagi : "Apakah Syurga itu?"

Berkata Rasulullah SAW. : "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini"

Bertanya orang itu lagi ; "Apakah Jahannam itu?"

Maka berkata Rasulullah SAW : "Jahannam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka-mereka yang mencarinya."

Bertanya orang itu lagi : "Siapakah sebaik-baik umat ini?"

Berkata Rasulullah SAW : "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah SWT".

Orang itu bertanya lagi : "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"

Berkata Rasulullah SAW : "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."

Orang itu bertanya lagi : "Seberapakah ketentuan taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w.: "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah"

Bertanya orang itu lagi : "Berapa jarak jauhnya Dunia dengan akhirat itu?"

Berkata Rasulullah SAW : "Hanya sekadar memejamkan mata saja."

Jabir melanjutkan cerita : "Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu seperti itu."

Rasulullah SAW bersabda maksudnya ; "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s., dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."

Berkata Rasulullah SAW lagi : "Sesungguhnya Allah SWT. tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya".

Dunia ini adalah alam khayalan yang mana satu masa nanti ianya akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu bahawa akhirat sahaja yang kekal. Orang yang mengejar dunia iaitu mencari harta dunia dan mencari pangkat dan kedudukan sekiranya ia melupakan akhirat semasa ia mencarinya dan tidak peduli halal atau haram atau merampas hak orang lain sebenarnya ia sedang di kuasai oleh dunia dan akan hanyut dibawa arus kebinasaan. Tetapi sekiranya seseorang mencari harta di dunia ini dengan mengikut peraturan Allah SWT , tidak melupakan kewajipan terhadap-Nya, tidak menipu, menindas, mengambil rasuah dan tidak mengambil hak orang lain maka harta itu akan membawa keberkatan dan disalurkan pula harta itu untuk membayar zakat, memberi sedekah jariah, infak di jalan Allah dan membantu fakir miskin maka harta itu sebagai alat yang akan membantunya mendapat keredhaan Allah dan akan menjadi saham akhirat.

No comments: