Sunday, January 11, 2015

Kemuskilan Agama : Hukum Mempercayai Petua Orang Tua-tua.

Soalan Kedua :

Di sini saya ingin bertanyakan satu soalan berkaitan dengan hukum mempercayai petua orang tua-tua. Mengikut petua orang tua-tua, membunuh binatang yang berdarah adalah tidak dibolehkan semasa isteri sedang mengandung ... takut terkenan katanya. Bagaimana pula jika suami tersebut membunuh cicak yang terlalu banyak di rumah dan bagaimana pula jika beliau membunuh serangga perosak seperti semut, lalat, nyamuk dan lain-lain? ....

Jawapan :

Tidak ada apa yang sisebutkan sebagai kenan. Kepercayaan ini adalah khurafat dan bercanggah dengan ayat-ayat alQur'an, antaranya:

1. Firman Allah SWT maksudnya,"(Apakah mereka akan mengikut juga akan petua-petua nenek moyang mereka), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 170)

2. Firman Allah SWT maksudnya, "Dan pada sisi Allah jualah, anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja." (Surah al-An'am ayat 59)

3. Firman Allah SWT maksudnya, "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya." (Surah al-Jinn ayat 26-27)

4. Firman Allah SWT maksudnya, "Katakanlah:'Tidak akan menimpa kami selain apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami..." (Surah al-Taubah ayat 51)

Perkara-perkara tersebut kurafat perlu di jauhi dan tak boleh di percayai, perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mempercayai bulan safar membawa sial dan bala bencana.

2. Mempercayai burung hantu berbunyi diwaktu malam akan ada orang nak mati atau ada bala bencana.

3. Percaya bahawa apabila hujan panas ada orang nak mati.

4. Percaya kalaulah cicik berbunyi maknanya betullah cakap kita.

5. Biawak lintas jalan ada petanda urusan hari itu gagal tak boleh diteruskan. Jika diteruskan akan gagal.

6. Bila ada kupu-kupu masuk rumah akan ada tetamu nak datang ke rumah.

7. Bila tangan kanan bergerak-gerak akan ada rezeki, begitu juga bila tangan kiri bergerak akan habiskan rezeki yang ada.

8. Telik tapak tangan dan mempercayai urat-urat tertentu boleh membawa tuah atau sebaliknya.

9. Apabila ada pingan pecah maka akan ada bala nak datang atau ada sesuatu kemalangan akan berlaku.

10. Bila makan tersedak ada orang sebut nama kita atau ada orang sedang mengingati kita.

Tidak ada larangan menyembelih binatang, membunuh binatang yang memudharatan manusia atau membunuh binatang dan makhluk yang merbahaya walaupun isteri sedang mengandung.
Kenan itu adalah kepercayaan orang purbakala dan animisma yang tidak didatangkan petunjuk ke atas mereka. Islam datang dan telah membersihkan kepercayaan khurafat tersebut. Bunuhlah lalat, nyamuk, lipas dan cicak seperti biasa.

Rasulullah S.A.W. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sabda Nabi S.A.W. bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Tambahan daripada itu, Rasulullah S.A.W. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".(Hadis Riwayat Ibnu Majah). Wallahu a'lam

Rujukan:

1. Prof (alMarhum) Mutawalli Sya'arawi: asSihr wal hasadu, Akhbarul Yaum, Cairo
2. Syaikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul hayah, Kuwait
3. Ustaz Ismail Awang, Adat Orang-Orang Melayu yang bertentangan dengan Aqidah Islam, Pustaka Aman Press Kelantan, 1996.

No comments: