Thursday, February 19, 2015

Majis Fatwa Negeri Selangor. : Kesesatan Ajaran Syiah.

Fatwa Sighah Berkaitan Ajaran Syiah Di Negeri Selangor

Akidah.

Tarikh Keputusan:  7 Oct, 2013

Keputusan: 

A. Bahawa fahaman dan ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pandangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah kerana mengandungi elemen-elemen antaranya seperti berikut:

1. Mempercayai bahawa Imam adalah Maksum (معصوم).

2. Mempercayai kemunculan Muhammad bin Hassan Al-Askari sebagai Imam 

3. Mahdi bersama kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan  (الرجعة).

4. Mempercayai hanya Sayyidina Ali sahaja yang menghimpun al- Qur`an dengan sempurna dan menolak al-Qur`an yang disusun oleh para sahabat Nabi serta mempercayai bahawa al-Qur`an yang sebenar mengandungi tujuh belas ribu ayat kerana berlakunya penyelewengan (تحريف) melalui pengurangan atau penambahan ayat-ayat al-Qur`an.

5. Mengamalkan prinsip al-Taqiyyah (التقية) iaitu menyembunyikan hakikat aqidah, kepercayaan dan amalan yang menjadi pegangan serta perbuatan yang ingin dilakukan.

6. Sayyidina Ali disamatarafkan dengan Allah S.W.T.

7. Menghalalkan atau mengamalkan Nikah Mut‘ah (نكاح متعة).

8. Mempercayai Khalifah dan Imamah adalah  sebahagian dari Rukun Islam dan diwasiatkan secara nas (نص ).

9. Mempercayai Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang  berlaku kepada manusia (البداء).

10. Mengkafirkan para sahabat Rasulullah S.A.W.

11. Menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Mu’awiyah sebagai empat berhala Quraisy serta pengikut-pengikutnya adalah musuh Allah.

12. Menambah Syahadah seperti berikut:

أشهد أن لا إله إلا الله
أشهد أن محمدا رسول الله
أشهد أن عليا أمير الموءمنين حقا

13. Menolak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w sekalipun hadith mutawatir dan hanya menerima hadith- hadith yang diriwayatkan oleh Imam-Imam Syiah.

14. Menolak Ijma’ Ulama’.

15. Menolak Qiyas.

16. Menolak ‘Aul (عول) dan  mendahulukan  Qurabah (قرابة) dari ‘Asobah (عصبة) dalam pembahagian harta pusaka.

17. Mempercayai bahawa menziarahi kubur Sayyidina Husain akan mendapat ganjaran syurga.

18. Menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram.

19. Mengharuskan solat jama’ (صلاة جمع) dalam semua keadaan.

20. Mengharamkan solat Dhuha (صلاة ضىح).

21. Menetapkan prinsip Khumus (خمس) sebagai kadar zakat.

22. Menetapkan Islam bukan syarat wajib haji.

23. Mewajibkan membasuh dan menyapu kedua-dua kaki ketika berwuduk.

B. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan bahawa-

1. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang atau menjadi pengikut ajaran Syiah dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang berada di dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman Syiah dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

3. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengisytiharkan diri sebagai orang yang bermazhab Syiah melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan  fahaman  yang  bercanggah  dengan  ajaran  Islam yang sebenar.
mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi ahli atau pengikut Syiah dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

4. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba  menghidupkan  kembali  ajaran  dan  fahaman  Syiah  sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa  perayaan,  sambutan  keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman Syiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

5. Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

6. Apa-apa  jua  bahan  publisiti  dan  sebaran  yang  menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman Syiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.

7. Mana-mana  orang  Islam  adalah  juga  dilarang  memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen; menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah. Dan semua pihak adalah dilarang dan ditegah daripada memberi apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada golongan syiah ini daripada mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran syiah di negeri Selangor.

8. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor.

C. Pembatalan.

Fatwa tentang Fahaman Syiah [Sel. P.U.   15/1998] yang disiarkan pada 24 September 1998 dibatalkan.
Status Penwartaan:  Diwartakan
Tarikh Diwartakan:  17 Oct, 2013
Nombor Rujukan:  [MAIS/SU/BUU/01-2-002-2013-4(3)]

No comments: