Thursday, March 5, 2015

Kemuskilan Agama : Sedekah Dengan Hati (Niat), Lisan dan Perbuatan.

Soalan Ke Enam Puluh Sembilan  : Biasanya orang bersedekah dengan wang ringgit atau harta. Bolehkan ustaz jelaskan apakah jenis-jenis sedekah yang boleh di lakukan oleh seseorang selain daripada memberikan wang ringgit kerana orang miskin yang tak ada harta boleh juga mendapat pahala sedekah.?

Jawapan : 

Kita digalakkan memberi sedekah dengan harta atau wang ringgit untuk membantu fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal yang dhaif, golongan oku, pembinaan masjid atau surau, bantuan pelajaran untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, pembinaan sekolah-sekolah agama, tahfiz dan madrasah dan untuk pembiayaan majlis-majlis ilmu dan pengajian al-Qur'an.

Walau bagaimana pun bagi golongan yang tidak berkemampuan dan tidak berharta, mereka masih boleh bersedekah melalui hati (niat), lisan dan perbuatan.

Rasulullah SAW. ada menyatakan dalam hadis-hadisnya bahawa sedekah itu boleh di bahagikan kepada tiga jenis iaitu sedekah dengan hati, lisan dan perbuatan.

Pertama sedekah dengan hati :

Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.maka pahalanya adalah sama walau pun dia tak mampu lagi melaksanakan niat-niatnya yang baik itu. 

Kedua sedekah dengan lisan :

Berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah..."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud, "Perkataan yang baik adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Antara ucapan yang baik yang dianggap sebagai sedekah adalah memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak menguris hati orang lain.

Ketiga sedekah dengan perbuatan :

1. Senyuman, adalah sedekah.

(تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ صَدَقَةٌ (رواه الترمذى

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Senyum manismu dihadapan saudaramu adalah shadaqah” (HR. Tirmidzi)

2. Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”   (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

3. Membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalangi jalan.Rasulullah SAW bersabda “Seseorang lelaki menemui ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak mengganggu orang-orang muslim”, kerana itu dia dimasukkan ke syurga.(Hadis Riwayat Muslim)

Membuang duri atau benda yang menyakitkan (seperti kaca, paku) dijalanan adalah satu sedekah.

Daripada Ibnu Abbas, Nabi bersabda “…..dan membuang bahaya di atas jalan adalah sedekah“

4. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu,ia mengatakan, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, ”Setiap persendian manusia ada sedekahnya setiap hari di mana matahari terbit di dalamnya, kamu mendamaikan di antara dua orang adalah sedekah,kamu membantu seseorang untuk menaikkannya di atas kendaraannya atau mengangkatkan barangnya di atasnya adalah sedekah, kalimat yang baik adalah sedekah, pada tiap-tiap langkah yang kamu tempuh menuju solat adalah sedekah, dan kamu membuang gangguan dari jalan adalah sedekah.”(HR.al-Bukhari ,no.2989 dan Muslim, no 1009)

5. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat serta membantu orang buta.

6. Memberi minum kepada sesama makhluk tidak kira samaada manusia atau binatang.

7. Memberi pinjaman wang atau menangguhkan bayaran balik pinjaman sekiranya orang yang meminjam tidak mampu  membayar dalam tempoh yang sepatutnya dilangsaikan hutang tersebut.

8. Mengajarkan ilmu.

9. Menanam apa jua pokok atau tanaman, kemudian dimakan oleh makhluk Allah..

Oleh itu janganlah bertangguh-tangguh untuk bersedekah, walau pun dengan sumbangan seringgit, dengan niat yang baik,  dengan kata-kata yang baik dan senyuman kerana sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam dari melaksanakan amalan sedekah ini.

No comments: