Jawapan :
Dari Abu Hurairah r.a : Ada orang bertanya kepada Nabi SAW, ‘Siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaat (pertolongan) tuan (Nabi SAW) di hari kiamat?’
Jawab Nabi SAW, “Saya kira, hai Abu Hurairah, belum ada orang bertanya perkara ini kepadaku sebelum ini. Mungkin barangkali kerana saya lihat engkau sangat rakus (ingin mendapat sesuatu dengan banyak) mendapatkan hadis.
Orang yang paling beruntung mendapat pertolonganku hari kiamat, ialah orang yang mengucapkan ‘Laa ilaaha illallaah’, benar-benar ikhlas dari hati sanubari dan seluruh jiwanya.” [Hadis Sahih Bukhari no. 0075]
Penjelasan Hadis :
Mengucapkan kalimah ‘Laa ilaaha illallaah’ dengan ikhlas akan membuahkan keperibadian yang baik. Dari keperibadian yang baik timbul amal yang baik. Oleh sebab itu mereka akan memperoleh syafaat Nabi SAW di hari kiamat. Ikhlas bererti juga bebas syirik.
Apakah maksud kalimah " Laa ilaaha illallaah"?
Kalimah "Laa ilaaha illallaa" adalah kalimah yang termasuk di dalam Tauhid Uluhiyah. Tauhid al-Uluhiyah adalah bermaksud mentauhidkan Allah SWT dalam peribadatan atau persembahan. Inilah tujuan Allah SWT mengutuskan Rasul iaitu menyeru manusia menerima Tauhid al-Uluhiyah. Tidak ada iIah (tuhan) yang di sembah melainkan Allah SWT . Tidak ada ketaatan dan kepatuhan melainkan ketaatan yang mutlak kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasa-nya tiada iIah (tuhan) melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.”
(Surah Al-Anbiya’ ayat 25)
“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah An-Nahl ayat 36)
“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (Nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah (kerana) sesekali tiada tuhan melainkan Dia.” (Surah Al-Mukminun ayat 23).
Seorang mukmin yang memiliki Tauhid al-Uluhiyah akan menerima undang-undang yang di ciptakan oleh Allah SWT tanpa ragu-ragu dan menolak dalam jiwanya undang-undang ciptaan manusia dan peraturan yang mengikut hawa nafsu.
No comments:
Post a Comment