Saturday, May 9, 2015

Pertunangan Dalam Islam

Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan,putuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok utama.

Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri bila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya rumahtangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumahtangga.

Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumahtangga menurut hukum Islam.

Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah.Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Dalam satu riwayat menjelaskan bahawa: “Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Hadis daripada Abi Hatim Al Muzani katanya ; Telah bersabda Rasulullah SAW : "Apabila datang akan seorang daripada sekalian kamu oleh orang yang meminang kerana seorang yang kamu sukakan ia berkahwin dengan anak perempuan kamu, sukamu itu akan agamanya dan perangainya, maka nikahkanlah olehmu sekalian akan orang yang kamu perkenan agamanya dan perangainya itu dengan anak perempuan bagimu itu ."

Dalam hadis yang lain, Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud : "Apabila datang seorang lelaki yang elok agama dan akhlaknya melamar anakmu maka hendaklah kamu kahwini anak perempuan mu dengan dia. Jika kamu tidak kahwininya maka akan menyebabkan kerosakan dan fitnah yang besar akan berlaku."(Hadis Riwayat Tirmidzi-hasan sahih)

Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan samada mahu menerimanya atau tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.

Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan. Sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Tetapi di zaman serba cangih teknologi internet dan hand phone pintar lelaki dan perempuan mudah mencari pasangan dan pilihan hati. Walaubagimana pun perlu berhati-hati supaya tidak tertipu dengan penyamaran dan penipuan gambar dan maklumat.

Akan tetapi kalau si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya dari pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah SWT, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti jaga iaitu tidak berlakunya percampuran di antara lelaki perempuan. Keberkatan AllahSWT ini tidak dapat hendak kita gambarkan sebab hati yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua tetapi sampai ke hari tua.

Perlu di jelaskan di sini bahawa pendapat yang mengatakan persetujuan pihak lelaki dan perempuan bahawa mereka bersetuju untuk berkahwin sudah di kira sudah bertunang adalah pendapat yang dhaif tidak berdasarkan nas yang sahih kerana persetujuan wali atau mahram perempuan adalah menentukan mereka sah bertunang dan inilah pendapat yang kuat dan menghampiri kebenaran. Tidak sah pertunangan tanpa persetujuan wali perempuan.

*PERTUNANGAN DI SISI SYARAK*

Terbahagi kepada lima cara:

1. Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang perempuan secara langsung.

2. Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.

3. Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.

4. Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.

5. Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.

Sekiranya kedua-dua pihak telah bersetuju dan menerima (menggunakan salah satu cara di atas) maka ini adalah sudah dikira bertunang di sisi syarak. Bukan persetujuan lelaki dan perempuan sahaja tanpa melibatkan walinya.

*PERTUNANGAN DI SISI ADAT*
Kebiasaannya pihak lelaki akan memberikan barang-barang hantaran ke rumah pihak perempuan pada majlis pertunangan yang telah ditetapkan. 

Kemudian perempuan akan disarungkan cincin di jari manisnya sebagai tanda sudah bertunang oleh ibu/saudara pihak lelaki . Maka pihak perempuan akan menetapkan dan membincangkan hantaran untuk perkahwinan berdasarkan status seseorang perempuan itu. Dan diakhiri dengan bacaan doa dan sedikit jamuan ringan. Majlis pertunangan ini diadakan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang selepas adat merisik.

Pemberian cincin semasa pertunangan adalah suatu adat yang diamalkan di Malaysia (mungkin diambil dari warisan orang bukan Islam) dan ia bukanlah satu syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Namun ia tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya pemberian cincin itu diberikan sekadar tanda pertunangan selagimana tidak menyalahi syariat. Perlu diketahui bahawa menganggap perbuatan menanggalkan cincin sebagai tanda pertunangan diputuskan maka ia adalah bercanggah dengan Islam.

HEBAHAN PERTUNANGAN

Tidaklah digalakkan menghebahkan pertunangan sepertimana perkahwinan. Pada pendapat saya bahawa hebahan pertunangan sekadar perlu adalah terletak di atas budi bicara keluarga masing-masing. Adapun hebahan tentang perkahwinan adalah digalakkan (sunat) oleh Islam dan menghadirinya adalah wajib.

WAKTU PERTUNANGAN

Berkaitan dengan pertunangan yang lama - terletak di atas diri kedua-dua pihak yang bertunang untuk menentukannya. Sekiranya kedua-dua (peminang lelaki dan perempuan) mampu melaluinya dan bersedia dalam tempoh masa pertunangan yang panjang maka tidaklah mengapa. Namun pertunangan yang panjang mungkin membawa sedikit masalah.

Hakikatnya, pertunangan dalam Islam membawa seribu satu hikmah. Selain dapat mengenali pasangan dengan lebih dekat, hubungan keluarga 2 hala dapat dibina ketika ini. Kebolehterimaan, tolak-ansur dan saling memahami adalah kunci kepada kukuhnya ikatan yang terpatri. 

Kekuatan iman juga sering teruji ketika di alam pertunangan..Justeru, alam pertunangan juga boleh dijadikan kayu ukur terhadap rumahtangga yang bakal dibina..Sebaik-baik masa pertunangan adalah tidak terlalu lama supaya kedua pasangan ini dapat di segerakan majlis ijab dan qabul. Moga Allah sentiasa memberi hidayah dan membimbing hamba-Nya ke jalan yang benar..

No comments: