Tuesday, December 14, 2010

Melampau Dalam Berduka


>>HAYATI PENGAJARAN DLM HADIS<

Hadis :
Dari Abu Musa r.a katanya :”Saya berlepas daripada orang yang Rasulullah berlepas diri daripadanya. Rasulullah s.a.w berlepas diri daripada orang-orang yang berkabung dengan berteriak-teriak, mencukur kepala dan mengoyak-ngoyak baju.” (Hadis Riwayat Bukhari)

HURAIAN

Islam mengharamkan setiap muslim mengikuti tradisi jahiliah yang apabila ditimpa masalah kematian contohnya, mereka meratap, berteriak secara berlebih-lebihan dan melahirkan kedukaan yang melampau-lampau.

Sebaliknya Islam mengajar ummatnya, bahawa kematian itu hanyalah perpisahan sementara, bukan musnah sama sekali kerana manusia bakal dibangkitkan semula di hari akhirat kelak. Sedangkan tangisan itu sama sekali tidak dapat menghidupkan orang yang sudah mati dan tidak juga dapat menolak takdir Allah.

Oleh sebab itu, setiap muslim harus menerima sesuatu kematian itu sebagaimana halnya menerima musibah, iaitu harus banyak bersabar, mengawal perasaan dan memohon keredhaan Allah serta mengambil pengajaran daripadanya di samping mengharapkan pertemuan abadi di akhirat kelak.

Kita juga digalakkan mengulang-ulang menyebut kalimah ‘inna lillah wainna ilaihi raaji'un’ yang bermaksud: “Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali”.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
(Di petik daripada tulisan : Nurul Asyikin)

Hikmah Sedekah Wang Satu Dinar.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada orang yang beriman adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak memberi sedekah jariah dengan hati yang ikhlas. Allah s.w.t. akan memberi ganjaran yang besar kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-hamba-Nya yang banyak memberi sedekah. 

Sedekah yang dihulurkan tidak akan berkurangan walaupun sedikit kerana Allah s.w.t akan memberi rezeki dan dilipatgandakan rezeki tersebut dijalan yang tiada di duga-duga.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita lihat satu kisah berlaku kepada ahli keluarga Rasulullah s.a.w bahawa bagaimana sedekah yang diberi ketika susah untuk membantu saudara Muslim yang lain mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t.di dunia lagi . Di hantar-Nya rezeki dijalan yang tiada disangka-sangka.
Pada satu hari, Sayyidina Ali k.w bertanya kepada istrinya (Saydatina Fatimah) samaada terdapat sesuatu untuk makanan mereka sekeluarga. Fatimah menjawab : "Demi Allah yang telah memuliakan ayahku dengan kenabian, tiada apapun untuk kita makan hari ini. Aku sendiri telah dua hari tidak makan sesuatu pun. Aku benar-benar pilu memikirkan nasib anak-anak kita."

Dengan hati yang sedih Ali berkata : "Mengapa engkau diam sahaja dan tidak mahu memberitahuku supaya aku dapat berusaha mencari rezeki."

"Aku malu kepada Allah..., aku tidak mahu membebani dirimu dengan sesuatu yang tak dapat kau pikul," jawab Fatimah r.h sambil menundukkan kepalanya.

Terlalu sedih Sayyidina Ali mendengan jawapan isteri yang penuh dengan ketakwaan dan kasih sayang. Lantas beliau keluar meninggalkan rumah tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Beliau yakin Allah akan melimpahkan rezeki kepada keluarganya.

Beliau menuju ke rumah seorang sahabat dengan maksud hendak meminjam wang satu dinar. Setelah berhasil mendapat pinjaman, beliau pun segera ke pasar untuk membeli makanan. Tiba-tiba pada saat itu, beliau terpandang seorang sahabatnya sedang  berjalan dengan wajah yang lesu, Sayyidina Ali segera menegur.

"Hai Miqdad, apa yang memaksamu ke pasar di tengahari yang panas terik ini?

"Hai Abul Hassan, tak payah bertanya, biarkan sahajalah aku ini...." jawab Miqdad.

"Sahabatku, tidak sepatutnya anda merahsiakan sesuatu daripadaku" tanya Ali.

"Sebenarnya begini...., aku terpaksa keluar rumak kerana tak tahan melihat keluargaku menangis kelaparan. Aku tak sanggup melihat anak-anakku yang masih kecil menangis meminta makanan. Begitulah jika anda benar-benar ingin tahu."

Sayyidina Ali tunduk menyembunyikan air mata yang berlinang di kelopak matanya. Dengan hati sebak, beliau berkata : "Hai Miqdad, demi Allah yang menguji diriku sama seperti keresahaamu pada hari ini, aku baru saja mendapat pinjaman wang satu dinar. Ambillah...., engkau lebih memerlukan...." pada mulanya Miqdad agak keberatan untuk menerima wang tersebut. Tetapi akhirnya beliau menerimanya juga kerana Sayyidina Ali bersungguh-sungguh memberinya dan beliau yakin akan keikhlasan Ali.

Berbalik kepada Sayyidina Ali yang solah berjemaah di masjid, selepas solah magrib Rasulullah mengajak Ali pulang. Rasulullah bertanya, "Hai Abu Hassan, apakah engkau mempunyai makanan malam ini?"

Sepatah pun Sayyidina Ali tidak menjawab. Beliau hanya menundukkan kepalanya dengan penuh rasa malu. Rasulullah segera berkata, "Katakan sahaja...., kalau tidak aku akan pergi. Tetapi sekiranya memang ada..., aku akan turut makan bersama."

Mertua dan menantu berjalan bersama menuju ke rumah Sayyidina Ali. Fikiran Ali resah kerana mengingatkan tiada sebarang makanan di rumahnya.

Setiba diruamh Sayyidina Ali, Fatimah kelihatan sedang berada di tempat solah. Dibelakangnya terdapat sebuah periuk yang terletak diatas tungku yang menyala dan mengeluarkan asap. Apabila mengetahui ayahnya datang dan suaminya pulang, lantas Fatimah menyambut mereka dengan wajah yang berseri-seri. Fatimah segera menyiapkan hidangan, dan baunya sungguh menyelerakan.... Sayyidina Ali kelihatan bingung dan airmukanya mendadak berubah, dengan pandangan tajam beliau menatap wajah Fatimah. Berbagai persoalan timbul difikirannya....

Fatimah kehairanan, lantas bertanya, "Apa dosa dan kesalahanku hinggakan memandangku begitu rupa?"

"Dosa...? Salah?" sahut Ali, dengan suara terputus-putus menahan marah

"Dosa apa yang lebih besar? Tadi siang katamu sudah dua hari tidak makan, dan tidak ada apa-apa makanan untuk kita makan hari ini.... tetapi sekarang? dan ini...? " tanya Ali sambil menunjuk ke arah periuk yang berkepul-kepul mengeluarkan bau lazat.

Lantas Fatimah berkata dengan perlahan-lahan, "Tuhanku mengetahui segala apa yang ada di langit dan di bumi.... Aku tidak mengatakan sesuatu kepadamu melainkan yang benar." Kelihatan airmata tertahan di kelopak mata Fatimah.

"Kalau begitu, makanan ini dari mana? Belum pernah aku mencium makanan selazat ini." tanya Sayyidina Ali yang masih belum puas hati dengan jawapan Fatimah.

Rasulullah s.a.w yang tadinya sudah sedia tunduk menghadap hidangan tersebut hanya mendiamkan diri. Baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi setelah dilihatnya Fatimah tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan suaminya, baginda cuba meleraikan kekusutan kedua suami isteri tersebut.

Rasulullah memegang bahu Sayyidina Ali dan sambil tersenyum berkata, " Wahai Ali, itulah pahala wang satu dinar yang kau berikan kepada Miqdad. Itulah ganjaran daripada Allah s.w.t. Dia memberi ganjaran kepada sesiapa sahaja menurut kehendak-Nya tanpa hitungan."

Dengan terharu Rasulullah terus berkata, "Segala puji bagi Allah yang tidak akan mengeluarkan kalian dari dunia ini sebelum Dia melimpahkan pahala seperti yang pernah di berikan kepada keluarga Zakaria. Wahai Fatimah, ganjaran pahala yang dilimpahkan Allah kepadamu sama seperti  yang dilimpahkan kepada Maryam yang sentiasa melihat rezeki tersedia di tempat ibadatnya. Dan ketika Zakaria bertanya kepada Maryam, dari mana rezeki itu diperolehi? Maryam menjawab, itulah pemberian Allah, Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa sahaja menurut kehendak-Nya tanpa hitungan."

Sahabat yang dikasihi,
Begitulah secebis kisah daripada rumahtangga Saydatina Fatimah yang sewajarnya kita jadikan contoh dan panduan dalam menghayati tuntutan ukuwah. Melalui kisah di atas dapat kita lihat sesungguhnya perasaan ukuwah yang Allah kurniakan kepada setiap Mukmin itu dapat disuburkan dengan keikhlasan dan ketakwaan yang mendalam. Manakala pengorbanan dan kerelaan mendahulukan kepentingan saudara Muslim pula terbina melalui keyakinan kepada janji-janji Allah.

Hakikat ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah seperti mana yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi, Abu Daud dan Ahmad : "Orang yang merahmati orang lain, akan dirahmati oleh Allah Yang Maha Pengasih. Rahmatilah orang yang di atas bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh sesiapa yang di langit."

Puasa Hari Asyura (10 Muharram)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (Sahih Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "moga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "moga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Moga ada manfaat.

(Di petik daripada tulisan Tazkirah)

Hadis Muthahharah

Dari Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah S.A.W yang mana dia menyatakan tujuannya : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat. Maka baginda S.A.W telah berkata kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang alim

Baginda S.A.W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim

Dia berkata : Aku mau menjadi orang paling kaya

Baginda S.A.W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri engkau maka engkau akan jadi orang paling kaya

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang adil

Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang paling baik

Baginda S.A.W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang istimewa di sisi Allah Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan zikrullah niscaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah

Dia berkata : Aku mau disempurnakan imanku Baginda S.A.W menjawab : Perelokkan akhlakmu niscaya imanmu akan sempurna

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik)

Baginda S.A.W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan mereka yang taat Baginda S.A.W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat

Dia berkata : Aku mau berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa Baginda S.A.W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa niscaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa

Dia berkata : Aku mau dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya Baginda S.A.W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya

Dia berkata : Aku mau dikasihi oleh Allah pada hari qiamat Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain niscaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat

Dia berkata : Aku mau dihapuskan segala dosaku Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan beristighfar niscaya akan dihapuskan( kurangkan ) segala dosamu

Dia berkata : Aku mau menjadi semulia-mulia manusia Baginda S.A.W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain niscaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia

Dia berkata : Aku mau menjadi segagah-gagah manusia Baginda S.A.W menjawab : Sentiasa menyerah diri (tawakkal) kepada Allah niscaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia

Dia berkata : Aku mau dimurahkan rezeki oleh Allah Baginda S.A.W menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) niscaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya Baginda S.A.W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka

Dia berkata : Aku mau diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat Baginda S.A.W menjawab : Jangan marah kepada orang lain niscaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya

Dia berkata : Aku mau diterima segala permohonanku Baginda S.A.W menjawab : Jauhilah makanan haram niscaya segala permohonanmu akan diterimaNya

Dia berkata : Aku mau agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat

Baginda S.A.W menjawab : Tutuplah keburukan orang lain niscaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat

Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa?

Baginda S.A.W menjawab : Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan,mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah? Baginda S.A.W menjawab : Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian ( bala )

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah? Baginda S.A.W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit ketaatan

Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat ? Baginda S.A.W menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang

Dia berkata: Apakah yang akan memadamkan api neraka pada hari qiamat? Baginda S.A.W menjawab : sabar di dunia dengan bala dan musibah

Kata-kata hikmat Al-Ahnaf bin Qais

 
Al-Ahnaf bin Qais berkata : "Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan. Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan. Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan. Tidak ada kebaikan bagi sedekah kecuali niat yang ikhlas. Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesehatan dan keamanan. "

Monday, December 13, 2010

Keajipan Air Mata.

Siapa kata menangis tak ada gunanya? Lama kelamaan menangis memang boleh membuatkan mata merah dan bengkak. Tapi jangan salah anggap kerana menangis dan mengeluarkan air mata ternyata boleh jadi ubat ajaib yang berguna bagi kesihatan tubuh dan fikiran. Apa saja? Terdapat 7 keajaiban yang boleh anda dapatkan setelah menangis dan berair mata.

1. Membantu penglihatan

Air mata ternyata membantu penglihatan seseorang, jadi bukan hanya mata itu sendiri. Cairan yang keluar dari mata dapat mencegah dehidrasi pada membran mata yang boleh membuat penglihatan menjadi kabur.

2. Membunuh bakteria

Tak perlu ubat titis mata, cukup air mata yang berfungsi sebagai antibakteria yang semulajadi. Di dalam air mata terkandung cairan yang disebut dengan lisozom yang dapat membunuh sekitar 90-95 persen bakteria-bakteria yang tertinggal dari keyboard komputer, pegangan tangga, bersin dan tempat-tempat yang mengandung bakteria, hanya dalam 5 minit.

3. Meningkatkan keinginan (mood)

Seseorang yang menangis boleh menurunkan level stress kerana dengan menangis, keinginan seseorang akan terangkat kembali. Air mata yang dihasilkan dari menangis kerana emosi mengandung 24 percent protein albumin yang berguna dalam meregulasi sistem metabolisme tubuh dibanding air mata yang dihasilkan dari iritasi mata.

4. Mengeluarkan racun

Seorang ahli biokimia, William Frey telah melakukan beberapa kajian tentang air mata dan menemukan bahwa air mata yang keluar dari hasil menangis kerana emosional ternyata mengandung racun. Tapi jangan salah, keluarnya air mata yang beracun itu menandakan bahwa ia membawa racun dari dalam tubuh dan mengeluarkannya dari mata.

5. Mengurangi stress

Bagaimana menangis boleh mengurangi stress ? Air mata ternyata juga mengeluarkan hormon stress yang terdapat dalam tubuh yaitu endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin.
Selain menurunkan level stress, air mata juga membantu melawan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh stress seperti tekanan darah tinggi.

6. Membangun komunikasi

Selain baik untuk kesehatan fisik, menangis juga boleh membantu seseorang membangun sebuah komunikasi. Biasanya seseorang menangis setelah menceritakan masalahnya di depan teman-temannya atau seseorang yang boleh memberikan sokongan, dan hal ini boleh meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan juga bersosial.

7. Melegakan perasaan

Semua orang rasanya merasa demikian. Meskipun anda meghadapi berbagai macam masalah dan dugaan, namun setelah menangis biasanya akan muncul perasaan lega. Setelah menangis, sistem limbik, otak dan jantung akan menjadi lancar, dan hal itu membuat seseorang merasa lebih baik dan lega.

"Keluarkanlah masalah di fikiranmu setelah menangis, jangan dipendam kerana anda biasa menangis bersungguh-sungguh bukan semasa kecil?"


(Dipetik daripada tulisan Amal Rahman)

Seorang Mukmin Perlu Memiliki Qudwah Hasanah Seperti Peribadi Rasulullah s.a.w.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".

Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan qudwah hasanah iaitu contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah adalah contoh utama bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik,  bapa yang baik,  suami yang baik,  jiran yang baik, peniaga yang baik,  sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau qudwah hasanah daripada tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah. Ini kerana umat Islam telah pun dibekalkan dengan contoh keperibadian yang terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Sahabat yang dimuliakan,
Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.

Sahabat-sahabat pernah bertanyakan kepada saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah. Dia menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah telah menjadikan al-Qur'an itu sebagai sesuatu yang hidup yang dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Oleh demikian, segala ajaran dan perintah Allah yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui seerah Nabi Muhammad.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah s.a.w. Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah sebagai 'role model' adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

Beberapa pengajaran dan contoh tauladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:

Rumahtangga :Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga.

Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya.

Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu membantu.

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja.

Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

" Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula".

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur.

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

Jiran :Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:

Maksudnya: ' Tidak akan masuk Syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya"

Pemimpin tentera :Rasulullah s.a.w. bermesyuarat bersama-sama sahabat-sahabat untuk membincangkan strategi yang perlu dirancang apabila mengetahui satu pakatan jahat kaum musyrikin Mekah untuk menyerang Muslimin di Madinah. Salman Al-Farisi mencadangkan untuk membina parit. Cadangan Salman ini diterima baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan ini yang dipanggil 'Perang Khandak'

Dari hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Saad berkaata: "Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah".

Baginda "turun padang" dan menunjukkan qudwah hasanah bersama-sama dengan sahabat-sahabat dan kaum Muslimin yang memperjuangkan Islam untuk merasakan kepayahan, kesusahan, kelaparan yang dihadapi. Disamping melaungkan kata-kata semangat untuk menanamkan keyakinan dan semangat yang kukuh, tidak goyah dan gentar. Akhirnya tentera Muslimin berjaya mengalahkan tentera kafir dengan pertolongan Allah s.w.t menghantar angit ribut menerbangkan kemah-kemah pertahanan musuh.

Sahabat yang dikasihi,
Selain daripada qudwah hasanah (contoh yang baik) darisegi peribadi baginda, baginda juga bersifat lemah lembut bila berhadapan dengan kejahilan manusia. Contoh apabila seorang Arab Desa pernah kencing di dalam masjid Nabawi, Sayyidina Umar hendak memukul Badawi tersebut tetapi dihalang oleh Rasulullah s.a.w dengan meminta sebekas air dan menjiruskan air tersebut ditempat terkena air kencing sebagai satu dakwah untuk memujuk Badawi tersebut kepada ajaran Islam.

Satu lagi sifat yang ada pada diri Rasulullah s.a.w adalah sifat ihsan. Rasulullah s.a.w.telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”  

Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan terus dari Allah s.w.t. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Qur'an (khuluqul Qur'an) atau menzahirkan akhlak al Qur'an. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam amalan kehidupannya (sunnah).

Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu merasakan dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan sifat ihsan adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, sebagai seorang Mukmin dan menjadi para dai'e kita mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada masyarakat. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

Marilah kita membawa qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan bersifat ihsan dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Semoga dengan usaha-usaha kita ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan ditempatkan kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kemuliaan di hari akhirat nanti.

Saturday, December 11, 2010

Qudwah Hasanah dan Berlemah Lembut Akhlak Seorang Mukmin

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap harta benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Setiap sesuatu yang hendak dibina mestilah ada asasnya.Maka asas kepada pembentukan adab dan kelakuan seorang Muslim ialah empat buah hadis nabi sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Qairawani, seorang Ulama' besar dalam mazhab Maliki.

1.Dari Abu Hurairah r.a katanya: " Telah bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sebaik-baik Islam seseorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya.”

Asas pertama ialah kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan kita sebagai Muslim. perkara yang tiada kena mengena dengan kita ialah segala perkara yang haram dan makruh di sisi agama.Manakala segala perkara yang berkaitan dengan kita ialah perkara yang menjadi suruhan Allah baik berupa perkara wajib mahupun sunat.

Adapun perkara harus itu hendaklah kita berhati-hati dengannya kerana boleh jadi ia berkaitan dengan kita dan boleh jadi ia tidak berkaitan dengan kita. Umpamanya, hiburan nyanyian itu harus hukumnya di sisi Islam tetapi ia boleh membawa makruh dan haram sekiranya tidak penuhi syarat-syaratnya.Malah, ulama' berpendapat bahawa orang yang sudah terbiasa dengan nyanyian itu tidaklah boleh diterima penyaksiannya di mahkamah syari'ah.

Maka kesimpulannya, Al Qur'an dan As Sunnah lah yang menjadi kayu ukur sama ada sesuatu itu ada kena mengena dengan kita atau tidak.

2.Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a  kepada Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai bagi saudaranya sama seperti ia menyintai bagi dirinya sendiri."

Asas kedua yang hendak dibincangkan ialah berkenaan cara berkasih sayang dan bercinta sesama manusia dalam Islam. Hadis di atas menekankan bahawa tanda kesempurnaan iman seseorang Muslim itu ialah dia menyayangi sesuatu yang ada pada saudaranya sebagaimana ia menyayangi sesuatu yang ada pada dirinya sendiri. Sebagai contohnya, sekiranya kita sayangkan kesihatan diri kita, jaga diri kita supaya sentiasa sihat, maka begitu juga kita hendaklah merasakan bahawa saudara seislam dengan kita pun patut menjaga kesihatan. Begitu juga kalau kita sayang anak kita dan mahu mereka berjaya di dunia dan akhirat, samalah dengan saudara seIslam dengan kita.

Namun begitu, cinta dan sayang kita kepada apa yang ada pada diri kita ataupun yang ada pada saudara kita haruslah tidak melebihi cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya kerana ia boleh membawa murtad sekiranya kita ucap atau iktiqad begitu.

3. Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri... ."

Asas yang ketiga ialah bercakap dengan perkataan yang baik ataupun diam sahaja.
Seorang Muslim sejati hendaklah sentiasa menjaga kata-katanya agar tidak terkeluar daripada batas-batas syari'at. Ini kerana kata-kata yang terkeluar daripada batas syara' boleh menyebabkan seseorang itu mendapat kemurkaan Allah dan lebih teruk lagi, boleh menyebabkan aqidah tergadai!!! Itu yang melibatkan dosa besar, sedangkan dosa kecil yang melibatkan perkataan pun Nabi larang.

4. Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi s.a.w. : "Nasihatilah kepadaku ! " Dijawab oleh Nabi s.a.w : " Jangan marah! " Orang itu berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah s.a.w.mengatakan : " Jangan marah ! "

Asas yang keempat ialah menahan diri daripada perasaan marah. Suka marah adalah salah satu sifat mazmumah(terkeji). Ia merupakan ajaran syaitan kerana marah itu sifatnya panas dan panas itu sifat api. Maka cara untuk memadamkan api ialah dengan air. Apabila seseorang itu terasa ingin marah, maka nabi mengajar kita agar berwudhu' supaya hati yang ingin atau sedang marah disejukkan oleh air wudhu'. Marah tidak mendatangkan manfaat kepada kita bahkan ia membawa kepada permusuhan dan dendam kesumat. Jadi, seorang muslim sejati hendaklah mengawal emosinya agar tidak mudah marah dan menggantikannya dengan sifat sabar, salah satu sifat mahmudah(terpuji).

Adapun marah kerana agama, maka ia adalah dituntut. Contohnya, kita marahkan anak kita kerana tidak menunaikan solat.Maka perbuatan itu adalah bertujuan untuk mendidik. Hendaklah kita membezakan antara marah kerana emosi dengan marah kerana mendidik.

 Firman Allah s.w.t.
وَمِمَّۧ ۱َŰČَقْنَŰ§Ù‡ُمْ يُنْفِقُونَ

Yang bermaksud: "Dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka."
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 3).

Firman Allah s.w.t.
وَمَۧ ŰȘُنْفِقُÙˆŰ§ مِنْ Űźَيْ۱ٍ فَلِŰŁَنْفُŰłِكُمْ وَمَۧ ŰȘُنْفِقُونَ Ű„ِلَّۧ ْۧۚŰȘِŰșَۧۥَ وَŰŹْهِ Ű§Ù„Ù„َّهِ وَمَۧ ŰȘُنْفِقُÙˆŰ§ مِنْ Űźَيْ۱ٍ يُوَفَّ Ű„ِلَيْكُمْ وَŰŁَنْŰȘُمْ لَۧ ŰȘُŰžْلَمُونَ

Yang bermaksud: "Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurang."
(Surah Al-Baqarah ayat  272).

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran dari pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa: "Ya Allah! Berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya". Manakala Malaikat yang kedua pula berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini".

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan kepada kita qudwah hasanah (suri tauladan yang baik) adalah untuk menjadi ikutan kita. Qudwah hasanah adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang Muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu satu tauladan yang baik, bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut, Allah (sebutan) yang banyak.” (Surah al Ahzab ayat 21)

Dalam hadis yang panjang, hadis ke dua dalam matan Al Arbain Imam Nawawi ada membincangkan tentang Ihsan. Rasulullah s.a.w.telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”  

Rasulullah s.a.w.adalah qudwah yang baik bagi manusia. Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan terus dari Allah s.w.t. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Qur'an (khuluqul Qur'an) atau menzahirkan akhlak al Qur'an. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam amalan kehidupannya (sunnah).

Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu merasakan dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah s.w.t.

Sejauhmana sampainya makna Maha Melihat dan Maha Mendengar itu ke dalam diri kita. Kalau sekadar ada pengetahuan dan faham akan konsep ihsan itu ia belum membawa apa-apa makna kepada diri kita. Ia sekadar tibanya maklumat dan pengetahuan kedalam benak otak kita tetapi konsep ihsan itu tidak merubah perangai atau tingkah laku kita. Selagi konsep ihsan itu tidak mampu merubah tingkahlaku zahir kita selagi itu kita belum ada ilmu tentang ihsan. Ilmu ditakrifkan sampainya makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Kalau makna sesuatu sampai ke dalam diri, maka ia akan dizahirkan sebagi perubahan tingkah laku. Oleh itu akhlak adalah bermaksud perlakuan atau perbuatan yang terhasil dari arahan ilmu.

Sebagai contoh mudah, ramai orang tahu bahawa solat itu wajib dilakukan lima kali setiap hari. Terdapat ramai orang yang tahu hal ini tetapi tidak melaksanakan perintah wajib itu. Mereka seperti ini sekadar ada maklumat dan pengetahuan tentang wajibnya solat itu tetapi tak sampai makna wajib solat itu kedalam dirinya. Ertinya orang ini tidak ada ilmu tentang solat. Pengetahuan solat yang dimiliki tidak menggerakkan ia untuk melaksanakan solat lima kali sehari semalam. Akhlaknya dizahirkan sebagai orang yang suka meninggalkan solat. 

Begitu juga ramai orang yang ada maklumat dan pengetahuan tentang puasa, zakat dan lain-lain kewajipan tetapi bila berkemampuan tidak melaksanakan kewajipan itu, ini ertinya tidak sampai makna kedalam dirinya tentang kewajipan itu. Dia tiada ilmu berkaitan dengan hal itu. Maklumat dan pengetahuan tidak merobah tingkah lakunya.

Seterusnya ramai orang tahu rasuah itu haram bagi yang menerima dan memberi tetapi manusia mencari kelemahan undang-undang agar mereka terlepas dari tangkapan maka orang yang seperti ini tidak ada ilmu tentang haramnya rasuah itu.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita memberi perhatian tentang konsep ihsan ini agar kita bukan sekadar ada maklumat, ada pengetahuan tentang sesuatu perkara tetapi juga kita ada ilmu tentang hal itu, kerana ilmulah yang dapat merubah tingkahlaku seseorang bagi membentuk akhlak yang mulia. Ilmu inilah yang mengangkat darjat manusia disisi Allah s.w.t.. Kalau sekadar maklumat dan pengetahuan ia belum boleh mengangkat darjat manusia disisi Allah s.w.t.. Contoh terbaik ialah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Hati Seorang Mukmin

Berkata Wahab bin Munabbih, bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya : 'Sesungguhnya semua petala langit-Ku dan bumi-Ku menjadi sempit untuk merangkul-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalb (hati) hamba-Ku yang Mukmin'.” 
(Hadis Riwayat Ahmad)

Adab Makan dan Minum Mengikut Sunah Nabi SAW.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat (kebaikan) kepada sekalian alam. Nabi s.a.w banyak mengajarkan kita tentang cara hidup seharian yang bersendikan kepada 'aqidah dan ibadah', sejak kita mula bangun pagi, masuk tandas, makan dan minum, memakai pakaian, menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang kerumah, berehat dan tidur.

Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup orang Mukmin adalah berdasarkan sabda Nabi SAW  yang maksudnya : "Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang."

Nabi SAW  tidak makan sebelum baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi SAW  untuk menjadi panduan kita semua untuk mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t  dengan mengikut sunnah baginda.

Pertama : Membasuh tangan sebelum makan.

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Turmudzi).

Dari Sayyidah Aisyah r. 'anha bahawa Rasulullah SAW  apabila berjunub, maka baginda berwudhu' (seperti wudhu') untuk solat dan apabila baginda ingin makan baginda membasuh kedua tangannya (lebih dahulu).

Kedua : Membaca Bismillaah. (Bismillahirahmanirrahim)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"
 (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Membaca doa makan.


 Sabda Nabi SAW, yang maksudnya :
"Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar.
maksudnya : Ya Allah, berkahilah rezeki  yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka." (Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni)

Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu doa yang diajar oleh Nabi SAW. bila hendak makan: 'Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu', 
maksudnya: "Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya."

Keempat : Makan dan minum dengan tangan kanan.
 
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya : "Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."
 (Hadis Riwayat  Muslim).

Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupanya. Termasuk juga apabila kita mengambil lauk pauk di dalam majlis hendaklah menggunakan tangan kanan bukan  tangan kiri kerana adat melayu yang mengambil lauk tangan kiri (takut sudu kotor) adalah tidak ikut sunnah. 

Kelima : Makan makanan yang mengiringi (makanan yang terdekat)


Nabi SAW  bersabda maksudnya : "..dan makanlah (dengan memulakan makan) makanan yang mengiringi engkau."
(Hadis Riwayat Bukhari).


Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu menyebut nama Allah (dikala hendak makan) dan hendaklah setiap orang (mula) makan makanan yang mengiringinya." (Hadis Riwayat Bukhari)


Maksud makanan yang mengiringi adalah makanan yang terdekat kerana menjadi adab Islam mengutamkan makanan yang berdekatan daripada mengambil makanan yang berdekatan dengan rakannya. Selepas itu barulah ia mengambil makanan yang jauh sedikit daripadanya.


Keenam : Mula makan tepian bukan tengah.


Sabda Nabi SAW. maksudnya : "Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pingan (bahagian tengah), akan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada dahagian di sebelah bawahnya (tepi yang berdekatan dengannya) kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (kebawah)" (Hadis Riwayat Abu Daud).


Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya keberkatan itu turun ke bahagian tengah makanan, maka kamu makanlah daripada bahagian yang di tepinya (yang mendekatimu) dan janganlah kamu makan daripada bahagian tengahnya (puncaknya)"


Ketujuh : Duduk semasa makan.


Makan dan minum secara berdiri adalah bukan daripada adab Islam kerana Nabi SAW menunjukkan contoh makan dan minum baginda secara duduk.


Pada satu ketika Nabi SAW  telah dihadiahkan sesekor kambing yang telah dimasak. Maka baginda turun makan secara berlutut. Tiba-tiba bertanya seorang Arab Desa kepada baginda. "Duduk apakah ini?". Maka baginda SAW  menjawab : "Sungguhnya Allah telah menjadikan saya seorang hamba yang pemurah, dan Dia (Allah) tidaklah menjadikan saya seorang yang tidak kenal belas kasihan lagi keras kepala (derhaka)."
(Hadis Riwayat Abu Daud).


Kelapan : Makan dengan tiga putung jari.


Kaab bin Malik memberitakan : "Adalah kebiasaan Rasulullah SAW  menjemput makanan dengan menggunakan tiga putung jari."
(Hadis Riwayat Muslim)


Menjemput makanan dengan kurang daripada tiga jari menunjukkan kesombongan, manakala  menjemput dengan lebih tiga putung jari pula menandakan buruk makan. Kerana bila makan roti, buah tamar atau kuih muih eloklah gunakan tiga putung jari. Tetapi jika makan nasi perlu menggunakan putung lima jari kerana bersesuaian dengan jenis makanan. Begitu juga makan bubur nasi , bubur kacang atau sop perlu menggunakan sudu pula.


Kesembilan : Tidak mencela atau mengaibkan makanan.


Abu Hurairah r.a. pernah memberitakan bahawa : "Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan makanan (yang dihidang), jika baginda berselera baginda memakannya dan jika baginda tidak ingin baginda meninggalkannya."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Perkataan mengaibkan atau merendah-rendahkan makanan itu seperti seseorang sedang makan ia berkata, "Makanan ini tawar ebar, masam rebam, masin perat, pedas gila, mentah dan sebagainya. Terutama ketika berbuka puasa.


Tujuan kata-kata itu bermaksud mencela makanan tersebut termasuk menyindir orang yang memasaknya kurang prihatin tentang rasanya. Jika ingin menegur pun eloklah secara hikmah untuk kebaikan akan datang dan bukan diucapkan semasa menjamu selera kerana boleh menjatuhkan maruah orang lain.


Nabi SAW  pernah dijamu sejenis biawak padang pasir (dhabb), dikala baginda ditanyakan : "Adalkah dia haram?". Baginda menjawab ; "Tidak! Cuma dia tidak (hidup) di bumi kaumku, maka tidaklah seleraku untuk memakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)


Juga sebagaimana terdapat dalam suatu kisah kaum ini (Quraisy) di kala ditanyakan Nabi SAW : "Adakah binatang ini haram?" Maka baginda menjawab : "Tidak! Akan tetapi saya tidak menyukainya disebabkan baunya." (Hadis Riwayat Muslim)


Kesepuluh : Bercakap semasa menjamu selera.

Semasa makan para ulama menggalakkan bercakap mengenai kebaikan makanan, percakapan-percakapan baik dan kisah-kisah orang soleh sekitar makanan dan selainnya.


Semasa makanan berada dimulutnya jangan bercakap kerana perbuatan tersebut adalah buruk bila makan bersama orang lain. Kerana ditakuti makanan terhambur ke muka orang lain. Jika boleh semasa mengunyah hendaklah tidak berbunyi.


Kesebelas : Makan suapan terjatuh.


Jaabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda maksudnya ; "Apabila suapan seseorang kamu terjatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, hendaklah dia membuang kemudharataan padanya dan hendaklah dia memakannya dan janganlah dia meninggalkannya kepada syaitan (secara membazir)"
(Hadis Riwayat Muslim)


Di galakkan memakan suapan (makanan) yang terjatuh, jika boleh dibasuh seberapa boleh dan makan semula. Jika makanan tersebut jatuh dan lantai tersebut agak kotor maka makanan tersebut diambil juga dan diberikan kepada haiwan dan jangan dibuangkan dan ditinggalkan kepada syaitan. Ini menunjukkan Islam cukup menbenci perbuatan menbazir dan tidak menghormati makanan. Nasi-nasi yang terjatuh di meja makan hendaklah dikutib dan dimakan semula kerana kita tidak tahu keberkatan  rezeki ada dibutiran mana nasi yang terjatuh.


Kedua belas : Tidak bernafas dalam bekas minum.


Ibnu Abbas r.a menyatakan bahawa, "Sungguh Nabi SAW  melarang bernafas dalam bekas minum atau menghembuskan kedalannya."
(Hadis Riwayat Turmudzi)


Ketiga belas : Tidak makan banyak.


Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut" (Hadis Riwayat Bukhari)


Hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Tiadalah wadah yang diisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, dimana dia menyangka bahawa dengan beberapa suap makanan, maka punggungnya (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian juga, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan yang sepertiga lagi (kosongkan) untuk pernafasan (bernafas)." (Hadis Riwayat Turmudzi)


Keempat belas : Larangan makan sambil meniarap.


Saalim meriwayatkan daripada sumber bapanya ; "Bahawa Nabi SAW  melarang seorang lelaki makan sedang dia duduk meniarap"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kelima belas : Jangan memerhatikan orang sedang makan.
Seseorang yang sedang makan bila diperhatikan akan menyebabkan tidak selesa.


Keenam belas : Menjempun para tetamu untuk makan : "Sila menjamu selera!" kepada para tetamu.


Rasulullah SAW bersabda : "Yang masih tinggal cuma saya dan engkau."
Abu Hurairah berkata ; " Benar tuan, wahai Rasulullah SAW"
Baginda berkata : "Sila duduk, sila minum!"
Maka saya duduk , lalu saya minum.
Maka baginda berkata lagi : "Minumlah!"
Lantas saya minum.


Ketujuh belasa : Sesudah makan menjilat pingan dan jari.


Sabda Nabi SAW  bermaksud : "Sungguh kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.'
(Hadis Riwayat Muslim)


Malah Rasulullah SAW  menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pingan (untuk dimakan) .


"Perbuatan Nabi SAW  dimana baginda menjilat (dan menghisap) sisi-sisi makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari-jarinya."
(Hadis Riwayat Musliam)

Kelapan belas : Larangan bangun meninggalkan makanan sehingga hidangan di angkat.


Sabda Nabi SAW  bermaksud : "Apabila telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga diangkatkan hidangan, dan janganlah dia menggerakkan tangannya (berhenti makan) sekalipun dia sudah kenyang sehinggalah kumpulan (bersamanya) selesai makan, dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu, kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan merasa malu duduk (lagi), maka dia akan berhenti makan, dan barangkali dia masih perlu untuk makan."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kesembilan belas : Memuji dan menyanjungi Allah.


Bila hidangan diangkatkan Nabi s.a.w memuji Allah SWT dengan doanya : 
"Segala puji bagi Allah, sebagai pujian yang banyak, bagus dan diberkati. Kami tidaklah merasa cukup dengan seorang selain Engkau, kami tidaklah meninggalkan nikmat Engkau, dan kami tidaklah terkaya daripada kurniaan Tuhan kami."


Kedua puluh : Membasuh kedua tangan selepas makan.


Hadis dari sumber Salmaan r.a. telah pun di sebutkan berbunyi : "Keberkatan makanan itu ialah membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan."


Sahabat yang dikasihi.
Marilah sama-sama kita amalkan adab-adab makan dan minum yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk menjadi peduman kita semua untuk mencari keberkatan dan mengikut sunnah baginda.

Friday, December 10, 2010

Kisah Penciptaan Nabi Adam a.s.

Dari Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w.baginda bersabda : “Allah menciptakan Adam, tingginya 60 hasta”. Kemudian Allah berfirman maksudnya : “Pergilah, berilah salam kepada malaikat itu, dan dengarkan penghormatan keturunanmu”.

Adam berkata : “Assalamu’alaikum (Semoga kesejahteraan tetap atasmu)”.

Mereka menjawab : “Assalamu’alaika wa rahmatullah ( Semoga kesejahteraan dan Rahmat Allah atasmu) .

Mereka menambah wa rahmatullah (dan rahmat Allah).

Setiap orang yang masuk Syurga atas bentuk Adam. Penciptaan itu senantiasa berkurang hingga sekarang”.

(Hadis Riwayat Bukhari).


Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : “Ketika Allah menciptakan Adam dan telah meniupkan ruh padanya, Adam bersin, lalu ia mengucapkan : “Alham­dulillah (segala puji bagi Allah)”, ia memuji Allah dengan seizinNya.

Lalu Allah berfirman kepadanya : “Rahimakallah ya Adam (Hai Adam, semoga Allah melimpahkan rahmat kepadamu).

Pergilah kepada para malaikat itu yakni yang duduk-duduk dari mereka, dan ucapkanlah : “Assa­lamu’alaikum (semoga kesejahteraan tetap atasmu)”.

Mereka menjawab : “Wa’alaikas salam wa rahmatullah (semoga kesejateraan dan rahmat Allah atasmu)”.

Kemudian ia kembali kepada Tuhannya. Allah berfirman : “Inilah penghormatanmu dan penghormatan di kalangan anak cucumu”. Lalu Allah berfirman kepadanya dengan tergenggam kedua belah tanganNya: “Pilihlah mana yang kamu sukai ?”.

Adam menjawab saya memilih tangan kanan TuhanKu”. Dua tangan Tuhanku yang kanan adalah penuh berkah, kemudian dibentangkannya, tiba-tiba di sana ada Adam dan keturunannya.

Adam berkata : “Wahai Tuhanku, apakah itu”,

Allah berfirman : “Mereka adalah ketu­runanmu”.

Masing-masing dari mereka telah tercatat umurnya diantara dua matanya.

Tiba-tiba ada seorang laki-­laki yang paling bersinar atau termasuk orang yang bersinar dari mereka.

Adam berkata : “Wahai Tuhanku, siapakah ini?”.

Allah berfirman: “Ini adalah anakmu Dawud, telah Aku catat umurnya 40 tahun”.

Adam berkata : “Wahai Tuhanku, tambahlah umurnya”.

Allah berfirman : “Itulah yang telah Aku catat baginya”.

Adam berkata : “Wahai Tuhanku, aku memberikan 60 tahun dari umurku untuknya”.

Allah berfirman : “Kamu dan itu”. Kemudian Allah menempatkannya di Syurga selama yang dikehendaki Allah, kemudian diturunkan daripadanya dan Adam menghitung (umur) dirinya.

Beliau bersabda : “Malakul maut (malaikat penjabut ruh) datang kepadanya, lalu Adam berkata : “Kamu tergesa-gesa, saya telah dicatat berumur 1000 tahun”.

Malaikat maut menjawab : “Memang, tetapi kamu telah memberikan kepada anakmu Dawud 60 tahun”.

Lalu Adam menentang, maka keturunannyapun menentang. Adam lupa maka keturu­nannya pun lupa. Beliau bersabda : Sejak itu, diperintahkan untuk membuat catatan dan saksi-saksi”.

(Hadis Riwayat Turmudzi).
——————————————————————————–

Memohon Ampun Kepada Allah s.w.t.

Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdo’a dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadits Riwayat Turmudzi).

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya  : “Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman : “Aku menurut dugaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hambaNya dari pada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil. (Hadis Riwayat Muslim).

Melahirkan Peribadi Wanita Muslimah Sebagaimana Yang Dikehendaki Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sangat perlu untuk membahas tajuk ini kerana beberapa alasan. Diantara alasan tersebut adalah apa yang kita saksikan dalam kehidupan sebagian wanita muslimah di zaman ini. Dalam beberapa hal seorang wanita Muslimah begitu serius, tapi dalam hal-hal yang lain sangat kurang dan jauh dari nilai-nilai agama.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai contoh, kita boleh menyaksikan seorang wanita muslimah yang solehah, melaksanakan syiar-syiar Islam. Namun, tidak menghiraukan kesihatan dan kebersihan mulut dan dirinya. Tidak peduli dengan kesihatan dan aroma yang keluar dari mulut atau tubuhnya. Atau sebaliknya, begitu besar perhatiannya terhadap kesihatan dan kebersihan dirinya tapi melalaikan ibadah dan pelaksanaan syiar-syiar Islam.

Contoh lain, kita dapati ada seorang muslimah mencurahkan perhatiannya pada ibadah tapi tidak memiliki pandangan yang benar tentang Islam yang menyeluruh, ‘bagaimana Islam membicarakan tentang alam, kehidupan dan manusia.’

Ada yang suka belajar agama dan menghadiri majlis-majlis ilmu, tapi tidak menjaga lisannya dari ghibah (mengumpat) dan namimah (mengadu domba).

Ada yang hubungan peribadinya dengan Allah s.w.t.  baik, tapi tidak menjaga hubungan baik dengan tetangga dan rakan-rakannya.

Ada yang menjaga hubungannya dengan rakan-rakan dan tetangganya baik tapi tidak melaksanakan dengan baik hak-hak kedua ibu bapanya. Kurang mengambil perhatian dan tidak berbakti dan melaksanakan tanggungjawab kepada mereka. Hak-hak orang tua diabaikan.

Ada yang berbakti kepada kedua orang tuanya baik tetapi tidak memenuhi hak-hak suaminya. Apabila hadir dimajlis-majlis keraian. majlis perkahwinan dan pertemuan sesama para wanita bersek dan berhias diri dengan sempurna tetapi bila berada dirumahnya tidak berhias untuk suami.

Ada yang berbakti kepada suaminya tetapi tidak membantu suaminya untuk berbakti kepada masyarakat dan tidak membantu suaminya untuk berbuat kebajikan, bertaqwa dan beramal soleh.

Ada yang taat dan patuh kepada suaminya tetapi  kurang memperhatikan pembinaan dan pembentukan keperibadian anak-anaknya. Kurang membena perkembangan kejiwaaan dan akal mereka. Kurang memperhatikan suasana sekelilingnya yang akan memberi pengaruh yang besar kepada perkembangan tarbiyyah anak-anaknya.

Ada yang memperhatikan itu semua tetapi  kurang menjalin ikatan silaturahimnya kepada kaum keluarga dan saudara-mara.

Ada yang silaturahim terhadap keluarganya baik, tapi hubungannya dengan lingkungan sekitarnya tidak baik. Sibuk dengan urusan peribadinya. Tidak peduli dengan persoalan kaum muslimin dan muslimat.

Ada yang memperhatikan persoalan peribadi dan umat Islam tetapi kurang memperhatikan pengembangan pengetahuannya. Tidak menambah pengetahuannya dengan belajar dan terus membaca.


Kalau kita merasa heran dari ini semua, keheranan kita akan bertambah ketika kita mengetahui bahawa itu semua muncul dari para wanita Muslimah yang memiliki tingkat kesadaran yang cukup baik terhadap agama ini. Dari para wanita Muslimah yang tumbuh dalam lingkungan Islam dan memiliki bekal pengetahuan agama yang tidak sedikit!

Ini disebabkan tidak prihatin dan tidak memandang Islam dengan pandangan yang jauh dan seimbang seperti yang telah diajarkan oleh Islam. Pandangan yang menyeluruh tentang manusia, kehidupan, dan alam sekelilingnya. Pandangan yang mendorong seseorang untuk melihat segala sesuatu dengan seimbang. Tidak megutamakan satu aspek dengan meninggalkan aspek yang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang yang memperhatikan dengan teliti ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis akan mendapati begitu banyaknya dalil yang menjelaskan perilaku yang seharusnya dimiliki wanita Muslimah dalam hubungannya dengan Tuhannya, pembentukan peribadinya dan hubungannya dengan orang lain. Urusan yang mengatur kehidupan yang mengatur segala sesuatu dari yang besar sampai yang kecil. Semua nash tersebut akan memberikan cara-cara kehidupan yang seimbang. Kehidupan yang menjamin kebahagiaan, kejayaan di dunia dan kehidupan di hari kemudian.

Semua ini yang telah digariskan oleh Islam dalam Al-Qur’an dan sunnah akan mengantarkan seorang wanita Muslimah mendapatkan kepribadiannya yang mulia. Kepribadian yang sejalan dengan fitrahnya. Sehingga melahirkan wanita Muslimah yang unggul, mulia dan istimewa dalam perasaan, pemikiran, perilaku dan hubungannya.

Mencapai tingkat tersebut sangatlah penting bagi kehidupan umat manusia secara umum kerana wanita memiliki pengaruh yang sangat besar bagi kehidupan generasi akan datang, melahirkan para pejuang, menanamkan nilai-nilai, menghiasi kehidupan dengan cinta, kasih sayang dan keindahan serta membangunkan  rumah tangga dengan rasa aman, tenang, tentram dan damai.

Sahabat yang dikasihi,
Wanita Muslimah adalah satu-satunya wanita yang sanggup menerangi dunia wanita yang telah tersesat jauh dengan kehidupan jahiliah dan hanya mengutamakan kecantikan dan kebendaan semata-mata. Wanita Muslimah berkemampuan untuk melahirkan peribadi-peribadi mulia dan meninggalkan kehidupan wanita morden hari ini yang telah menyempang jauh dengan ajaran Islam yang sebenar. Hal itu dengan mengenalkan dirinya, menghadapkan dirinya pada sumber permikiran yang murni untuk kembali kepada kepribadiannya yang mulia yaitu kepribadian yang telah dibentuk oleh Al-Qur’an dan As Sunnah.

Wahai wanita Islam yang sejati!
Apabila piala hatimu telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah mudah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama dilakukan oleh wanita Islam yang sedar ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai seluruh hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga akan digembeling untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.

Oleh itu berhati-hatilah didalam menjalani kehidupan ini, sentiasa berwaspada dan menjaga akhlak dan peribadimu. Jangan kecundang dengan tipu daya dunia dan terpengaruh dengan pujuk rayu anak Adam. Sekiranya kamu kekal dengan status wanita solehah insya Allah pasti kamu akan mendapat kebahagiaan di dunia dan mendapat kemuliaan di hari Akhirat.m
Mudah-mudahan Allah Subhaanahu Wata’aala memberikan taufiq dan hidayahnya padamu untuk istiqamah dalam agama yang telah dibawa Nabi Muhammad s.a.w.