Wednesday, June 24, 2009

Takut Kepada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Imam Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin, menukilkan satu kisah teladan antara seorang guru dan beberapa orang muridnya. Di kalangan murid-murid itu ada seorang murid yang lebih di sayangi oleh guru. Sampailah suatu ketika mereka merasa tidak puas hati meluahkan perasaan kepada guru. "Kenapa dia lebih di sayangi daripada kami semua?" Guru tidak banyak menjawab, malah memberi satu tugas kepada semua muridnya termasuk murid yang tersayang.

Kata guru itu, " Ambillah tiap orang dari kamu seekor burung ini dan sembelih burung itu tanpa di lihat oleh sesiapa pun." Setelah melakukan tugas yang di beri oleh guru, kembalilah semua mereka dengan sembelihan masing-masing. Mereka begitu gembira kerana telah berjaya mencapai maksud guru supaya di sembelih burung tanpa di lihat oleh sesiapa pun. Anehnya, murid yang tersayang telah kembali tanpa menyembelih burung itu, Guru bertanya kepadanya di hadapan murid-murid lain, "Kenapa kamu tidak menyembelihnya?" Jawab murid berkenaan, " Puas saya mencari tempat yang tidak boleh di lihat orang. Ke mana jua saya pergi, tidak dapat lari dari di lihat oleh Allah SWT." Mendengar penjelasan murid berkenaan, fahamlah murid-murid yang selainnya kenapa ia di sayangi oleh guru.

Demikianlah akhlak orang yang muraqabah. Perbuatannya luhur, perkataannya benar, fikirannya bersih, hatinya mulia. Tersemat pada dirinya takut sebenarnya pada murka Allah SWT. dan tidak takut selain daripada Allah SWT. Bimbangnya pada nasib akhirat mengatasi bimbangnya akan pengaruh di dunia. Ia tidak banyak berkata-kata kecuali yang mengandungi kebaikan. Ia banyak merenung diri daripada berkata hal orang lain (mengumpat). Ia bimbang menerima amanah kerana takut tidak tertunai, lebih-lebih lagi amanah kepimpinan.

Orang mukmin yang bertakwa kepada Allah, sentiasa menyebukkan diri dengan kerja-kerja kebajikan, membantu anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, berkhidmat pada masyarakat tanpa mengharap ganjaran. Dia bijak membahagikan masanya dengan berkesan, masa untuk dia memperkemaskan dirinya dengan ilmu agama dan kemahiran. Sentiasa meningkatkan ibadah khusus iaitu dengan membaca zikir al- Ma'thurat kubra pagi dan petang, membaca al- Quran, solat duha, solat tahajud dan lain-lain lagi. Untuk ilmu pula memperuntukan masa untuk hadir di majlis-majlis ilmu dan ceramah agama, mengikuti program usrah dan halaqat, program-program dakwah , membaca buku-buku fikrah tulisan ulama yang muktabar dan mengkaji hadis Nabi SAW dan tafsir al-Quran.

Sahabat yang dimuliakan,
Bayangkanlah, sekiranya kalian laksanakan semua perkara berupa tanggung jawab di atas masa yang ada tidak mencukupi berbanding masa yang ada pada kalian! Kalian tidak ada masa untuk hadir program yang melalaikan, menonton konset-konset yang tidak berfaedah atau bersiar-siar tanpa ada tujuan yang jelas. 

Ingatlah! Masa adalah kehidupan, lebih berharga dari emas dan permata, masa tidak boleh di ganti dengan harta di dunia, kalau ia berlalu bermakna habislah sebahagian daripada hidup kita.

Nabi SAW mengajar kita berdoa yang bermaksud " Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan kesusahan, perasaan lemah dan malas, sikap bakhil dan penakut, hutang yang menyibukkan fikiran (dan mengacau hatiku) dan orang yang menindasku."(Hadis Riwayat Bukhari).

No comments: