Saturday, June 27, 2009

Nasihat Khalifah Umar dan Ulama Muktabar


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ulama yang muktabar sering memberikan kata-kata nasihat yang berguna untuk menjadi panduan dan pedoman hidup kita. Nasihat-nasihat tersebut adalah seperti berikut : 

Pertama : Khalifah Umar al-Khattab berpesan kepada Saad bin Abi Waqas dan bala tentera Islam ketika menghadapi empayar Parsi yang besar dan kuat, katanya :

"Aku menyuruh kamu dan bala tentera bersamamu supaya bertakwa kepada Allah dalam semua keadaan, sesungguhnya bertakwa kepada Allah itu adalah persediaan yang paling baik untuk menghadapi musuh dan tindakan yang paling kuat di medan perang, aku perintahkan kepadamu dan sesiapa sahaja bersamamu supaya lebih berhati-hati kepada diri sendiri daripada memberi perhatian kepada musuh. Kerana dosa yang di lakukan oleh tenteramu lebih di takuti daripada musuh kamu. Kerana sesungguhnya di beri pertolongan kepada orang-orang muslimin itu dengan sebab maksiat musuh terhadap Allah. Kalau tidak kerana itu kita tiada kekuatan untuk menghadapi mereka. Kerana bilangan kita tidak sama dengan bilangan mereka, dan persediaan kita tidak sama dengan persediaan mereka. Kalau kita sama-sama melakukan maksiat seperti mereka, maka mereka lebih daripada kita dari segi kekuatan (dari segi bilangan tentera, kecangihan dan persediaan zahir- penulis).Dan jika kita di beri pertolongan dengan kelebihan yang ada pada kita, maka kita tidak boleh mengalahkan mereka, dengan kekuatan kita.

Ketahuilah kita bahawa bersama kamu dalam perjalanan kamu itu, para malaikat hafazhah (yang di tugaskan berkenaan suratan amal) dengan perentah Allah, maka ketahui apa yang kamu kerjakan, maka rasa malulah kepada mereka jangan kamu mengerjakan maksiat terhadap Allah sedang kamu berada di jalan Allah. Jangan kamu katakan musuh kita lebih jahat daripada kita, sebagaimana berlaku pada Bani Israel, apabila mereka melakukan maksiat, lalu mereka di kalahkan oleh kafir majusi lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung dan itulah ketetapan yang terlaksana. Mintalah pertolongan Allah untuk menghadapi diri kamu sebagaimana musuh-musuh kamu dan aku meminta itu kepada Allah untuk aku dan untuk kamu."

Kedua : Khalifah Umar bin Abd Aziz  :

"Wahai sekelian manusia ! Janganlah kalian menganggap kecil dosa-dosa itu. Selidiki dan ushakanlah untuk mengkikis habis apa-apa dosa yang telah di lakukan, dengan jalan melakukan taubat. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu akan menghilangkan segala perbuatan-perbuatan jahat. Itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat. "

Telah sia-sia dan merugi orang-orang yang keluar dari rahmat Allah SWT  yang meliputi segala sesuatu dan dia telah di haramkan untuk masuk ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.

Ketahuilah bahawa perasaan aman pada hari esok (akhirat) tersedia bagi orang yang takut akan Allah, iaitu orang-orang yang suka menjual barang yang sedikit untuk di tukarkannya dengan yang banyak, orang yang suka tukar yang fanak dengan yang kekal abadi. "

Ketiga : As Sydul Jalil Abu Muhammad Sahal At-Tastari berkata :

"Telah di teliti oleh alim ulama akan pengertian IKHLAS, maka mereka tidak dapati selain yang di sebut ini, iaitu gerak seseorang dan diamnya dalam sulitnya dan terangnya semuanya kerana Allah SWT  semata-mata, tidak di campuri oleh hawa nafsu."

Keempat : Al-Imam As Syahid Hassan Al-Banna berpesan katanya :

"Wahai saudara ! Berimanlah kamu kepada Allah, perkukuhkanlah mengenal dan bergantung kepadaNya, janganlah kamu gerun selain Allah, tunaikanlah segala kewajipanNya dan jauhilah laranganNya.

Berakhlaklah kamu dengan akhlak yang mulia dan sempurna. Jadilah kamu orang-orang yang kuat dengan akhlak yang mulia dengan apa yang di kurniakan oleh Allah kepada kamu iaitu kemuliaan orang mukmin dan orang-orang yang bertakwa lagi solehin.

Hadapilah Al-Quran untuk mengkajinya dan terhadap sirah Nabawiah kamu bermuzakarah. Kamu hendaklah menjadi orang yang praktikal bukan orang yang berhujah saja. Apabila Allah memberikan kepada sesuatu kaum itu hidayah maka di berinya ilham untuk beramal. Sesuatu kaum itu tidak sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali otang-orang yang suka berhujah.

Kasih mengasihilah di antara kamu dan jagalah serapi-rapinya ikatan kamu sebab ianya merupakan rahsia kekuatan kamu dan tunjang kejayaan kamu dan tetapkanlah diri kamu sehingga Allah membuka di antara kamu kaum kebenaran. Dialah sebaik-baik pembuka."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati kata-kata nasihat yang tersebut diatas, amat berguna untuk kita hayati dalam kehidupan kita semata-mata mencari keredaan Allah SWT.



No comments: