Monday, July 13, 2009

Perbaikilah Akhlak Kamu Untuk Mencari keredhan Allah

Allah s.w.t. menciptakan manusia berpasang-pasangan lelaki dan perempuan, supaya mereka dapat berkenal-kenalan dan mencari pasangan yang sesuai untuk membina ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak. Islam menggalakkan umatnya berkahwin supaya melahirkan zuriat keturunan umat Islam yang ramai, dari sinilah terbinanya keluarga-keluarga masyarakat Islam dan seterusnya kearah pembinaan Daulah Islamiyyah.


Walaubagaimanapun, sebelum ikatan perkahwinan berlaku, Islam memandang serius pergaulan bebas lelaki perempuan tanpa batas ketika menjalani hubungan sosial atau mencari pasangan untuk teman hidup. Perbuatan ini di larang keras kerana ianya boleh membawa kepada perbuatan zina, sedangkan zina adalah perbuatan yang sangat di kutuk oleh Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat"
(Surah Al-Israak ayat 32)


Allah s.w.t. melarang menghampiri perbuatan zina adalah bermaksud sebarang bentuk unsur-unsur maksiat seperti menonton wayang, menari dan menyanyi, bersiar-siar berdua-duaan dan berpimpinan tangan atau perbuatan-perbuatan yang seumpamanya. Perhubungan melalui mms, sms, e-mail atau telefon sekiranya berlebih-lebihan dan boleh menimbulkan fitnah atau menimbulkan rasa berahi atau syahwat juga di larang.


Menutut kaedah usul fikh "matlamat tidak boleh membersihkan jalan" walaupun mungkin matlamatnya murni untuk taaruf dan mengenali hati budi masing-masing sebelum berumah tangga, tetapi apabila caranya tidak syarak maka ianya tidak di benarkan.


Mengikut hukum Islam, berpandangan muka antara lelaki dan perempuan bukan muhrim atau suami isteri adalah haram. Kalau terpandang seimbas lalu sahaja tidak mengapa tetapi apabila di ulang lalu berpandangan maka ianya di larang.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Katakan (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan."
(Surah An-Nur ayat 30)


Ahli-ahli tafsir menerangkan bahawa di antara memandang yang haram bagi lelaki itu termasuk memandang perempuan yang bukan muhrim dan bukan isterinya. Memelihara kehormatan diri ialah mengawal diri dari melakukan zina. Ayat tersebut juga memberi kefahaman bahawa perbuatan zina berpunca daripada memandang wanita yang bukan muhrim dan bukan isteri.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.."
(Surah An-Nur ayat 31)


Pada ayat ini pula di tujukan kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka juga menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram (termasuk memandang lelaki yamg bukan muhrim atau bukan suaminya), bahkan juga menjaga kehormatan mereka daripada melakukan zina dan seumpamanya.


Perempuan juga di wajibkan menutup seluruh tubuhnya (menutup aurat) kecuali muka dan dua tapak tangan terutama bila berpergian keluar rumah.


Terdapat suatu kisah iblis bertemu dengan Nabi Musa :
" Suatu hari iblis datang bertemu Nabi Musa dengan memakai kopiah yang bersambung dengan baju sekali serta warna-warni. Apabila telah dekat dengan Nabi Musa, iblispun membuka kopiah itu. Kemudian ia mendekati Nabi Musa dan memberi salam,
"Assalamualaikum ya Musa!"


Nabi Musa a.s. menyahut : "Siapa engkau?"


Iblis menjawab : "Aku iblis"


Nabi Musa lalu berkata : "Engkau tidak di beri penghormatan oleh Allah. Mengapa engkau datang ke mari?"


Iblis menjawab : "Aku datang untuk mengucapkan selamat kepada engkau, kerana kedudukan engkau dan tempat engkau di sisi Allah."


Nabi Musa selanjutnya bertanya : "Apakah yang aku lihat di kepala engkau itu?"


"Ini kopiah, untuk aku gunakan bagi menarik hati anak Adam," jawab iblis.


Nabi Musa a.s. selanjutnya bertanya : "Bagaimanakah engkau selalu berjaya mempengaruhi manusia?"


Iblis menjawab ; "Aku berjaya kerana manusia itu menghairani dirinya (ujub), merasa banyak amalnya dan lupa akan dosanya."


Iblis selanjutnya mengingatkan Nabi Musa a.s. tiga perkara :


Pertama : Engkau jangan berada di tempat sepi (berdua-duaan) dengan wanita yang tidak halal bagi engkau.
"Apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, maka akulah temannya. Aku akan goda lelaki itu dengan wanita tersebut dan goda wanita itu dengan lelaki tersebut," kata iblis.


Kedua : Engkau jangan berjanji dengan nama Allah sesuatu perjanjian kecuali engkau tepati janji itu.


Ketiga : Engkau tidak akan jadi mengeluarkan sedekah, kecuali engkau laksanakan terus.
"Sesungguhnya seseorang yang berniat hendak mengeluarkan sedekah, tidak jadi hendak melaksanakannya kerana aku menjadi temannya. Aku halangi dari menepati janji sedekahnya itu,"terang iblis.


Selepas itu iblis pun meninggalkan tempat tersebut dengan rasa kesal kerana perkara-perkara yang menakutkan anak Adam itu telah di ketahui oleh Nabi Musa a.s.


Dari Abu Hurairah katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tiap-tiap anak Adam (manusia) itu mempunyai bahagian dari zina. Dua matanya berzina iaitu dengan memandang (yang di haramkan). Dua tangannya berzina iaitu dengan memegang. Dua kakinya berzina iaitu dengan berjalan. Mulutnya berzina iaitu dengan mencium. Dan hatinya bercita-cita atau berangan-angan, dan ia dibenarkan oleh kemaluannya atau didustakannya."
(Hadis Riwayat Muslim)


Pengajaran yang boleh kita ambil iktibar berdasarkan ayat-ayat Allah s.w.t, hadis Nabi s.a.w dan kisah pertemuan Nabi Musa dengan iblis, kita hendaklah berhati-hati di dalam setiap amalan, tindakan , pergaulan dan perhubungan di antara lelaki dan perempuan.Islam meletakkan peraturan yang cukup jelas didalam bab munakahat (cara-cara pemilihan jodoh,perhubungan sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, perhubungan suami isteri, urusan anak-anak dan lain-lain lagi) ,muamalat, ekonomi dan dalam bidang-bidang yang lain.


Letakkanlah Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w di hadapan kita, tanda kita beriman kepada Allah sw.t dan rukun-rukun iman yang lain dan gunakanlah sepenuhnya panduan ini yang akan membawa kita kejalan yang lurus dan di redhai Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.

No comments: