Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya dunia ini ibarat lautan yang luas dan dalam. Telah ramai insan yang tewas, karam dan tenggelam dipukul gelombang. Oleh itu, layarilah bahtera kehidupan ini berasaskan takwa. Muatannya iman yang teguh di dada dan layarnya tawakkal kepada Yang Maha Esa. Semuga kalian selamat menuju ke pulau tujuan. Berjaya mendaki gunung harapan dan selamat mencapai kemenangan.
Perkara yang paling penting dan utama dalam menyusun kehidupan adalah meluruskan hati kita terlebih dahulu,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)Bila hati tenang seseorang akan dapat menghadapi apa jua keadaan dengan baik. Dalam keadaan susah, hati boleh bersabar. Dalam keadaan senang hati boleh bersyukur.
Usah terlalu ghairah memburu keseronokan. Keseronokan bukan kebahagiaan. Tetapi dalam kebahagiaan ada keseronokan. Kebahagiaan ada di hati dan hanya akan tercapai apabila fitrah hati dipenuhi. Hati perlukan ketenangan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang." (Surah ar-Ra'd ayat 28)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya hati yang terbaik ialah hati yang sentiasa mengingati Allah." (Hadis Riwayat Abu Saad al-Qudri)
Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu perlulah sentiasa memberi perhatian kepada kesejahteraan hati kita. Dalam menjalani kehidupan yang mencabar ini, kita perlu menjaga akhlak sebaik mungkin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia adalah dia yang membawa kebaikan kepada orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari)
Perlu di ingat bahawa kita akan dipertanggung jawabkan dihadapan Allah SWT di hari akhirat nanti tentang apa yang kita telah lakukan didunia ini. Jika kebaikan dan mendatangkan menfaat hingga di ikuti oleh orang lain maka saham kebaikannya akan kita terima berupa pahala,iaitu pahala dari perbuatan kita sendiri disamping pahala dari orang lain.Oleh itu, sentiasalah berusaha untuk menjadi contoh yang baik.
Awasilah terhadap pengaruh persekitaran, rakan-rakan yang boleh memesongkan keimanan, gunakanlah masa terluang yang ada untuk mengisi dengan majlis-majlis ilmu yang akan menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku."
(Surah az-Zariyat ayat 56)
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu pastikan setiap aktiviti hidup kita dalam rangka memperhambakan diri kepada AllahSWT. Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya sewaktu memberi nasihat : "Hai anakku !
1. Janganlah engkau menyekutukan Allah SWT kerana sesungguhnya syirik itu suatu penganiayaan yang besar.
2. Allah SWT mewajibkan manusia taat kepada ibu-bapa. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita lemah dan bertambah lemah serta menyusuinya selama dua tahun. Oleh itu, hendaklah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kedua ibu-bapa. Kepada Allah SWT tempat kembali. Sekiranya kedua ibu-bapamu memaksa engkau menyekutukan Allah SWT maka janganlah engkau taat. Tetapi layanilah mereka dengan sebaiknya dalam urusan dunia.
3. Hai anakku ! Sesungguhnya jika ada kebaikan walau sebesar biji sawi, biarpun didalam batu atau dilangit maupun dibumi nescaya akan diperlihatkan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui.
4. Hai anakku ! Dirikanlah solat dan suruhlah manusia membuat kebajikan. Laranglah perbuatan mungkar serta bersabarlah diatas suatu musibah yang menimpamu. Sesungguhnya berlaku sesuatu itu adalah dalam urusan AllahSWT .
5. Janganlah engkau memalingkan pipimu daripada manusia kerana sombong dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.
6. Berlaku sederhanalah dalam berjalan dan rendahkanlah suaramu dalam berbicara. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
Halim al-Assam berkata :
"Aku lihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahat. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya. Lalu aku berfikir. 'Sebaik-baik sahabat yang akan menemaniku sehingga ke dalam kubur sekalipun'. Aku tidak mememui sahabat sebagini melainkan amal solehku. Lalu aku pun menjadikannya sebagai kekasihku. Agar kekasihku ini akan menjadi pelita menerangi kegelapan kuburku nanti, menghiburkanku dan tidak meninggalkanku keseorangan."
No comments:
Post a Comment