Friday, December 4, 2009

Untuk Sahabatku Hafiz Ng!

Salam Ukuwah!
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita tidak pernah bertemu wajah, tetapi takdir Allah menemukan kita dialam siber ini! Sebenarnya pertemuan ini telah di atur oleh yang Maha Esa sejak azali lagi. Di alam arwah dahulu rohmu, rohku dan roh semua manusia telah berikrar dihadapan Rabbul Jalil , firman Allah s.w.t. dalam Surah al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'."


Sahabat yang dimuliakan,
Bersyukurlah kepada-Nya dengan syukur yang sebenar-benarnya kerana kau dipilih menjadi hamba-Nya yang beriman, dikurniakan taufik dan hidayah-Nya dan menjadi umat Nabi s.a.w. Kau telah dipilih menjadi Muslim dikalangan beribu-ribu mereka yang bukan Islam, yang sedang sesat diatas dunia yang fana ini.

Ingatlah sahabatku! Bahawa sesungguhnya hidayah dari Allah ini lebih berharga dari dunia serta isi-isinya.Sekiranya diberi pilihan untuk menukarkan seluruh nikmat dan harta dunia ini dengan nikmat iman yang kau miliki sekarang ini, adakah kau sanggup menukarkannya?. Jawapannya pasti kau tidak mahu kerana harta di dunia ini hanyalah fartamogana dan umpama bangkai yang tidak bernilai. Mereka-mereka yang mengejar dunia sebenarnya mereka mengejar bayang-bayang yang lemah dan akan hilang apabila cahaya mentari sudah tidak ada lagi .Di dunia umpama tempat bermain-main bukanlah hakikat kehidupan sebenarnya, di akhiratlah tempat hidup yang sebenarnya yang kekal abadi.

Al-Imam Hasan al-Banna ada berkata, " Orang yang bijak adalah orang yang sanggup bersusah payah sedikit di dunia ini untuk mendapat kebahagiaan di hari Akhirat"

Sahabatku,
Sesungguhnya hidayah untuk beriman kepada Allah s.w.t adalah urusan dan pilihan-Nya sendiri. Para Nabi dan Rasul tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang mereka kasihi. Contoh di dalam al-Qur'an ada menceritakan bagaimana Nabi Nuh a.s. tidak mampu untuk mengajak isteri dan anak lelakinya untuk beriman kepada Allah s.w.t. Do'a baginda ditolak oleh Allah s.w.t. kerana urusan hidayah adalah urusan Allah s.w.t. Keadaan yang sama berlaku juga kepada Nabi Luth a.s. apabila isteri baginda enggan mengikuti suaminya yang telah dipilih oleh Allah s.w.t. menjadi Rasul sebaliknya bersekongkol dengan golongan homoseksual yang kafir kepada Allah s.w.t. sehingga Allah s.w.t. menurunkan bala yang amat dahsyat keatas mereka.

Peristwa hidayah berlaku juga pada Nabi Muhammad s.a.w apabila bapa saudara baginda Abu Talib di saat kematiannya masih enggan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dihadapan Nabi s.a.w. , baginda merasa amat sedih kerana orang yang paling banyak berjasa kepada kehidupan dan perjuangan baginda tidak mahu mengikrarkan Kalimah Syahadah.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Apakah tanda syukur kita kepada Allah s.w.t hanya cukup sekadar kita ucapkan 'alhamdulillah' sahaja? Sebenarnya hanya ucapan tersebut tidak memadai kerana apabila kita mengucapkan kalimah  'Laa ila ha illallah. Muhammadur Rasulullah' ini bermakna kita berikrar dengan lisan, yakin dengan hati dan melaksanakannya dengan perbuatan. Seluruh hidup kita di serahkan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. untuk taat dan patuh kepada segala perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya dan beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mengikuti semua Sunnahnya.

Sahabat,
Tugas kepada Allah s.w.t. bukan setakat kita melaksanakan amal soleh untuk diri kita sahaja tetapi kita perlu berdakwah kepada orang lain. Tugas kita ada dua iaitu pertama, kita mengajak saudara-saudara Islam kita yang meninggalkan ajaran Islam untuk kembali kepada Islam dan kedua kita berdakwah kepada orang-orang bukan Islam yang ada kecenderungan untuk menerima Islam.

Mungkin sahabat Hafiz ada ramai saudara mara dan kenalan dikalangan masyarakat Tionghua yang bukan Islam, maka inilah masanya sahabat gunakan peluang dan masa yang Allah kurniakan untuk  berdakwah kepada mereka.Menjaga hubungan kekeluargaan dan kenalan dengan menunjukkan akhlak yang baik dan peribadi yang mulia adalah asas penting untuk kita berdakwah, ingatlah tugas kita adalah menyampaikan 'message' Islam dan hidayah itu urusan Allah.

Sekiranya dengan izin Allah di atas usaha kita seorang bukan Islam beriman kepada Allah dan memeluk agama Islam maka pahalanya lebih baik dari dunia dan isi-isinya. Kita akan mendapat saham di atas segala amalan soleh yang ia kerjakan insya Allah.

2 comments:

Unknown said...

Terima Kasih diatas nasihat tuan. Isi kandungan blog ini banyak menyentuh perasaan hati saya. Insyallah saya akan meneruskan perjuangan saya dalam menegakkan Agama Islam selagi saya masih boleh bernafas di muka bumi Allah. Sekali lagi...terima kasih banyak2....dari Cina Mualaf(Hafiz Ng).

abubasyer said...

Alhamdulillah,kita sama-sama dapat berhubung dan saling nasihat menasihati. Saya rasa terpanggil untuk menyatakan keseronokan kerana tuan telah pun menjalankan tugas dakwah kepada saudara baru dan juga memerangkap 'haruan memakan anaknya'. Teruskan tugas tuan yang mulia ini, insya Allah akan diberkati Allah s.w.t.