Wednesday, March 3, 2010

Hati Yang Mati

Hati yang sudah mati ialah hati tidak berfungsi sebagaimana fitrahnya hati itu dijadikan. Fitrah kejadian hati ialah untuk menerima aqidah dan keimanan kepada Allah s.w.t. Hati yang mati telah ditutup dan dihijab oleh Allah s.w.t daripada menerima iman dan hidayah Allah s.w.t. Hati diselubungi dan dikuasai oleh hawa nafsu syaitaniah yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan dosa, maksiat dan kejahatan.

Apabila hati sudah tidak berfungsi, maka hawa nafsulah yang menerajui kekuasaan hati. Justeru kehidupan mereka bergelomang dengan dosa dan maksiat. Kehidupan mereka penuh dengan kesombongan dan ketakabburan. Kehidupan mereka tiada panduan, apa yang mereka lakukan berdasarkan kepada perasaan. Mereka berada dalam kesesatan dan kedurjanaan sedangkan mereka tidak menyedari kesesatan dan kedurjanaan yang mereka lakukan disebabkan hati mereka sudah mati dan tertutup.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
 " Dan orang-orang yang menyanggah ayat-ayat Allah tanpa mendatangkan bukti, kemurkaan amat  besar disisi Allah swt dan orang-orang yang beriman. Begitulah Alllah menutup hati yang sombong dan takabbur."

Ciri-ciri hati yang mati.
Orang yang hatinya mati ialah orang yang tidak menerima iman dan hidayah Allah s.w.t. Itulah orang-orang kafir dan musyrik yang dimurkai Allah s.w.t. Justeru antara sifat-sifat orang yang hatinya telah mati ialah seperti berikut;

1. Menolak keimanan kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta perkara-perkara yang wajib di imani sebagai orang Islam.

2. Menyekutukan Allah s.w.t .

3. Menolak ajaran Islam dan memilih kekufuran.

4. Tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melakukan dosa dan maksiat.

5. Menjadikan akal dan fikiran dan logik semata-mata dalam membuat penilaian dan keputusan.

6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mereka.

7. Tidak mempercayai dosa dan pahala serta kehidupan alam akhirat.

8. Sentiasa melakukan penindasan dan kezaliman di atas muka bumi.

9. Tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka.

"Ya Allah ya Tuhan kami, lindungilah kami dari hati yang mati, hati yang tidak mengenali-Mu ya Allah, hati yang jauh dari hidayah-Mu ya Allah."

(Sumber dari http://www.usrahrasahati.blogspot.com/)

1 comment:

[['izzat ibrahim]] said...

semoga kita tidak tegolong dalam kalangan hati yg mati.