Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Musuh utama manusia yang tidak kelihatan adalah Iblis dan syaitan laknatullah. Iblis telah berjanji dihadapan Allah s.w.t. dia akan menggoda Anak Adam dan menyesatkan mereka hingga keakhir hayat. Allah s.w.t benarkan permintaan Iblis tetapi Allah s.w.t menjelaskan dia akan gagal menggoda dan menghasut anak Adam yang ikhlas semata-mata kepada Allah s.w.t.
Sahabat yang dikasihi Allah,
Terdapat lima amalan yang menjadi senjata untuk menghancurkan Iblis laknatullah dan amalan ini adalah amalan orang-orang Mukmin, yang telah sebati dalam hati dan jiwanya
Pertama : Lidahnya sentiasa basah berzikir kepada Allah s.w.t. samaada ketika berseorangan , bersama keluarga atau dengan orang lain.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, " Sebaik-baik zikir ialah Laa Ilaaha Illallah."
Baginda bersabda yang bermaksud : "Selalulah kamu mengucapkan : Laa Illaaha Illallah dan beristighfar kepada Allah dan banyakkanlah kamu menyebut keduanya itu, kerana Iblis berkata : Aku binasakan manusia dengan noda dan dosa dan aku pula dibinasakan oleh manusia dengan Laa Ilaaha Illallah dan istighfar." (Hadis Riwayat Abu Ya'laa r.a)
Disebut dalam sebuah hadis yang lain Nabi s.a.w. berkata yang bermaksud : "Barangsiapa yang dapat akhir kalam ketika hendak matinya menyebut kalimah Laa Ilaaha Illallah nescaya dia akan dimasukkan kedalam Syurga".
Dari Abu Darda RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :"SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, LAILAHAILLALLAH,ALLAHU AKBAR,WALAHAULAWALA KUWATAILLA BILLAH sesungguhnya ia adalah BAQIYAYATUSSALIHAT,kalimat ini menghapus dosa-dosa sebagaimana daun-daun akan berguguran daripada pohonnya di musim dingin dan kalimat ini juga sebagai khazanah di dalam syurga."(Hadis riwayat Tabrani)"
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud.."barangsiapa yang membaca Laa ilahaillahu" maka ia akan dapat menolak bala sebanyak 99 bala dan dapat menghilangkan segala kegundahan dan kesedihan yang dialaminya.."
Kedua : Tangannya ringan menghulur sedekah dan derma tanpa diketahui oleh sesiapa, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya. Untuk bersedekah ia merasakan tidak perlu untuk menjadi kaya dahulu baru hendak menghulurkan bantuan, tetapi memadailah menghulurkan apa sahaja yang termampu, dengan hati yang ikhlas.
Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah s.a.w : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya? Nabi menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w., hadis mutafaqun'alaih, shahih Bukhari Muslim: Dari Nabi s.a.w., beliau bersabda maksudnya : "Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, yaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan shalat berjamaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seseorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: "Aku takut kepada Allah", seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahasiakannya sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang berdzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu meneteskan air mata dari kedua matanya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Ketiga : Hatinya sentiasa beristighfar sebanyak-banyaknya, memohon keampunan kehadrat Allah Azzawajalla kerana ia merasakan dosa-dosanya banyak yang telah dilakukannya.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)“
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.
(Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)
Keempat : Jiwanya merasa gelisah sekiranya sehari ia tidak dapat menatap lambaran kitab suci al- Qur'an kerana didalamnya mengandungi seribu hikmah dan pengajaran untuk menjadi peduman hidup didunia ini.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur’an maka dia akan mendapat satu kebajikan, dan satu kebajikan itu nilainya 10 kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Tirmizi)
Daripada Anas bin Malik r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumahtangga kamu dengan solat dan dengan membaca al-Qur'an"(Hadis Riwayat al-Baihaqi).
Kelima : Dimalam hari pula ketika ramai manusia sedang lena dibawa mimpi-mimpi yang indah ia bangun ditengah malam untuk qiyamulail dan bertahajud, bermunajat dan berdo'a kepada Allah s.w.t. hingga menitiskan air mata penyesalan.
Firman Allah s.w.t maksudnya :“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu jadikanlah lima amalan tersebut sebagai malakah (kebiasaan) dan terus istiqamah sebagai amal soleh yang dilaksanakan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sesungguhnya amalan-amalan tersebut adalah amalan orang-orang soleh yang sentiasa yang sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment