Thursday, November 4, 2010

Keutamaan Selawat Kepada Nabi s.a.w

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanda kita kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w adalah kita melaksanakan semua perintah yang diarahkan oleh baginda dan kita menjauhi  semua larangannya. Kerana semua perintah dan larangannya adalah datangnya daripada Allah s.w.t. Selain daripada itu kita hendaklah mengikuti amalan dan sunnah Nabi s.a.w setiap hari yang dilaksanakan baginda dalam kehidupan . 

Jalan untuk melahirkan kecintaan kita kepada Nabi s.a.w. adalah dengan kita banyakkan berselawat. Allah s.w.t berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah al-Ahzab ayat 56)

Berselawat ke atas Rasulullah s.a.w bermakna berdo'a memohon supaya Allah melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : " Siapa berselawat kepada Nabi s.a.w sekali. nescaya dia akan di selawatkan Allah dan para Malaikat-Nya sebanyak 70 kali."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya : " Sesuatu do'a terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdo'a berselawat kepada Nabi s.a.w. "
(Hadis Riwayat At-Tabaraani)

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w adalah kekasih Allah s.w.t. Dia sendiri memerintahkan para hamba-Nya berselawat kepada baginda sebagai tanda melahirkan cinta dan kasih sayang  kepada kekasih-Nya. Di hari akhirat nanti selawat itu menjadi satu kelompok cahaya yang menerangi di Siraat.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : " Selawat kepadaku itu merupakan satu (kelompok) cahaya di hari kiamat yang menjelma di Siraat (Titian al-Mustaqiim)"
(Hadis Riwayat Abu Sa'id)

Terdapat beberapa fadilat dan kebaikan besar yang akan kita perolehi apabila kita sentiasa berselawat kepada Nabi s.a.w. 

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Memperolehi keredhaan Allah s.w.t.

Dari Ali bin Abi Talib k.w memberitakan bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda maksudnya ; "Jibril a.s. pernah berkata : 'Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah Ta'aala telah berfirman :'Sesiapa berselawat keatas tuan 10 kali, pastilah dia memperoleh keamanan daripada kemurkaan-Nya."
(Hadis Riwayat Ibnu Bisykuwaal)

Kedua : Di permudahkan jalan menuju ke Syurga. dan memasuki Syurga.

Abu Hurairah r.a pernah berkata Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Siapa lupa dari berselawat ke atasku, maka dia akan lupa jalan ke Syurga." 
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Berdasarkan hadis ini sesiapa yang lupa atau tidak mahu berselawat maka di hari akhirat nanti dia akan terlupa jalan menuju ke Syurga dan sesiapa yang banyak berselawat dia tak akan lupa dan akan dipermudahkan untuk jalan menuju ke Syurga. dan dapat memasuki Syurga.

Ketiga : Mendapat syafaat dan pembelaan dari Rasulullah s.a.w. di hari akhirat.

Orang-orang Mukmin percaya bahawa di hari akhirat nanti akan berlaku huru hara yang amat dahsyat di mana manusia akan terkena pancaran mata hari yang amat panas yang mendorong mereka mencari syafaat (pertolongan). Orang yang mendapat syafaat akan terhindar dari bahaya ini dan dari bahaya tengelam di dalam banjir peluh manusia. Mereka juga memperolehi segala kemudahan untuk segera memasuki Syurga.
Ketika ini syafaat Nabi s.a.w sangat-sangat diperlukan.  Sesiapa yang banyak berselawat kepada Nabi s.a.w akan mendapat syafaat baginda dan terlepas daripada kegawatan di Padang Mahsyar.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. " (Hadis Riwayat Baihaqi dari Al-Khatib)

Keempat : Memperolehi kedudukan yang dekat dengan Nabi s.a.w. di hari akhirat.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku" (Hadis Riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Kelima : Berfungsi menghapuskan kejahatan (dosa) dan menaikkan darjat di sisi Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : " Dan sesiapa berselawat kepadaku sekali,  nescaya Allah akan selawat ke atasnya 10 selawat, menghapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa) dan mengangkatkannya 10 darjat."
(Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, Nasa'i dan Al-Hakim)

Keenam : Di sampaikan keperluannya (hajat) oleh Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya ; " Siapa berselawat kepadaku 100 kali pada setiap hari, nescaya Allah akan menyampaikan 100 keperluannya : 70 bagi keperluan akhirat dan 30 bagi keperluan dunia."
(Hadis Riwayat Ibnu Mandah)

Sahabat yang dikasihi,
Sayidatina Aisyah r.ha sedang menjahit pada suatu dinihari. Tiba-tiba jarumnya terjatuh ke lantai. Tidak sempat dia hendak mengambil semula jarum itu, api pelita yang sedang menerangi terpadam ditiup angin. Dalam keadaan yang gelap dapatkah Sayidatina Aisyah mengambil jarum yang jatuh?

Dapat iaitu tidak lama kemudian sebaik sahaja Nabi s.a.w melangkah masuk, cahaya dari tubuh Nabi s.a.w menerangi ruang yang gelap itu. Sayidatina Aisyah merasa kagum dengan kebesaran Allah s.w.t. yang memberikan kemuliaan dan kelebihan yang sangat luar biasa kepada baginda.

"Subhanallah! Adakah di kalangan umatmu orang yang tidak dapat melihat cahayamu ini wahai Rasulullah?" tanya Sayidatina Aisyah r.ha.

"Ada" jawab Nabi s.a.w. "Iaitu mereka yang apabila namaku disebut dia tidak mahu berselawat kepadaku."

Sabda Nabi s.a.w. bermaksud : " "Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku. "

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. "

Kata-kata Nabi itu membenarkan apa yang pernah diberitahu oleh Malaikat Jibril a.s. kepada Nabi s.a.w.

Kata Malaikat Jibril, "Celakalah orang yang apabila namamu (Nabi) disebut dia tidak berselawat keatasmu."

Jadi apabila kita mendengar orang menyebut 'Sallallahu 'alaihi wasallam' di hujung sebutan nama Nabi, hendaklah kita menyebut 'Sallallahu 'alaihi wasallam'.

Oleh itu marilah kita banyakkan berselawat kepada Nabi s.a.w  tanda cinta dan kasih kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Sebaik-baik selawat adalah seperti dibawah :
Selawat kepada nabi
Muhammad dan keluarga
ïșï»Ÿï» ï»Źï»ą ïș»ï»ž ﻋﻠﻰ ï»Łïș€ï»€ïșȘ Allahumma salli 'ala Muhammad Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad
ﻭﻋﻠﻰ ïșï» ï»Łïș€ï»€ïșȘ Wa'ala aali Muhammad Dan kepada keluarga Muhammad
ﻛﻀïșŽ ïș»ï» ï»Žïș– ﻋﻠﻰ ïș‡ïș‘ïșźïșï»«ï»Žï»ą Kama solaita 'ala Ibrahim Sebagaimana Engkau memberikan selawat kepada Ibrahim
ﻭﻋﻠﻰ ïșï» ïș‡ïș‘ïșźïșï»«ï»Žï»ą Wa'ala aali Ibrahim Dan kepada keluarga Ibrahim
Keberkatan kepada nabi
Muhammad dan keluarga
ï»­ïș‘ïșŽïș­ï»™ ﻋﻠﻰ ï»Łïș€ï»€ïșȘ Wa baarik 'ala Muhammad Ya Dan Engkau berikanlah keberkatan kepada Muhammad
ﻭﻋﻠﻰ ïșï» ï»Łïș€ï»€ïșȘ Wa'ala aali Muhammad Dan kepada keluarga Muhammad
ﻛﻀïșŽ ïș‘ïșŽïș­ï»›ïș˜ïșŽ ﻋﻠﻰ ïș‡ïș‘ïșźïșï»«ï»Žï»ą Kama barakta 'ala Ibrahim Sebagaimana Engkau memberikan keberkatan kepada Ibrahim
ﻭﻋﻠﻰ ïșï» ïș‡ïș‘ïșźïșï»«ï»Žï»ą ﻓï»Č ïșï»Ÿï»ŒïșŽï»Ÿï»€ï»Žï»Š Wa'ala aali Ibrahim fil 'alamin Dan kepada keluarga Ibrahim dalam dunia ini
Penutup
(Pujian bagi Allah)
ïș‡ï»§ï»š ïșŁï»€ï»ŽïșȘ ï»Łïș ï»ŽïșȘ Innaka hamiidum majiid Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi

No comments: