Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah s.w.t menyedikan tempat kembali yang amat dahsyat sekali di hari akhirat iaitu dengan siksaan api Neraka. Orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar dan berat timbangan dosa-dosanya, tetapi masih ada iman dalam hatinya tetap akan dimasukkan kedalam Neraka. Setelah dibakar beberapa lama dan di siksa kerana perbuatan dan amalannya di dunia akhirnya dia akan dimasukkan kedalam Syurga. Di Neraka adalah tempat membakar dosa-dosanya dan balasan Allah kepada hamba-hamba-Nya semasa di dunia dahulu tidak mahu melaksanakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. dan menganggap ringan sahaja dosa-dosa itu walaupun sentiasa di beri peringatan.
Berapa lama terpaksa tinggal di Neraka yang dahsyat itu? Mungkin ribuan tahun atau jutaan tahun sedangkan sehari di akhirat sama dengan 1000 tahun di dunia.
Abu Hurairah meriwayatkan:
"Ketika Rasulullah berkata:Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api Neraka;" lalu seseorang bertanya; "Ya Rasulullah,adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir? Maka Rasulullah menjawab, "Api Neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia, dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia). (Hadis Riwayat Bukhari)
KESAN NERAKA PADA DUNIA KINI
Kesan-kesan kehebatan neraka dapat dirasai di dunia ini lagi berdasarkan hadis Rasulullah. Diriwayat oleh Abu Hurairah: Rasulullah bersabda: "Api neraka mengadu kepada Allah dengan berkata;"Hai Tuhanku, bahagian-bahagian padaku memakan di antara satu sama lain."Lalu Allah membenarkannya mengambil dua pernafasan iaitu pada musim sejuk dan pada musim panas. Inilah sebabnya mengapa kamu terasa terlalu panas dan terlalu sejuk," (Hadis Riwayat Bukhari)
MAKANAN PENDUDUK NERAKA
Penduduk neraka tetap diberi makanan walaupun makanan ini tidak menyuburkan badan mereka. Firman Allah:
"Mereka tidak memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar." (Surah Al Ghasiyah ayat 6-7)
MINUMAN AHLI NERAKA
1. Hamim(air yang mendidih)
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Inilah Neraka Jahannam yang didustakan oleh orang-orang yang berdosa.Mereka berkeliling di antaranya dan di antara air yang mendidih yang memuncak panasnya."
2. Ghassaq(nanah dan darah)
Firman Allah MAKSUDNYA : "Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini. Dan tiada makanan sedikit pun kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa." (Surah Al Haqqah ayat 35-37)
3. Sadid (air danur- nanah , yang keluar dari tubuh ahli Neraka)
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dihadapan mereka ada Neraka Jahannam, dan ia diberi minum dari air danur (nanah yang keluar dari tubuh ahli neraka."(Surah Ibrahim ayat 16)
4. Air seperti Tembaga cair
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan jika mereka meminta minum,nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti tembaga yang mendidih yang menghanguskan muka mereka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat rehat yang paling hina."
(Surah Al Kahfi ayat 29).
PAKAIAN AHLI NERAKA
1. Pakaian dari api
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Inilah dua golongan(Mukmin dan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai tuhan mereka. Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian dari api Neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka." (Surah Al Hajj ayat 19)
2. Pakaian dari minyak tar
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Pakaian mereka adalah dari minyak tar dan muka mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim ayat 50).
BAHAN BAKAR API NERAKA
Bahan bakar Neraka adalah terdiri dari manusia dan jin yang kafir dan engkar kepada Allah, batu-batu termasuk patung berhala.Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Hai orang yang beriman. Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, yang keras yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya dan mengerjakan apa yang diperintahkanNya." (Surah At Tahrim ayat 6).
PENDUDUK NERAKA
Imran bin Husin meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Aku melihat ke dalam Syurga dan mendapati majoriti penduduknya adalah orang miskin, dan aku melihat ke dalam Neraka, aku mendapati majoriti penduduknya adalah wanita," (Hadis Riwayat Bukhari).
Di dalam kisah gerhana matahari yang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dan para shahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam melihat Syurga dan Neraka. Ketika baginda melihat Neraka maka baginda bersabda kepada para sahabatnya radliyallahu 'anhum : “ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita". Sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam?” Baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanyai lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Bukhari dari Ibnu Abbas radliyallahu 'anhuma)
NAMA-NAMA NERAKA
Neraka mempunyai beberapa nama sebagaimana telah disebutkan di dalam Al Quran, iaitu:
1. Jahannam -
Firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Neraka Jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai."(Surah An- Naba' ayat 21)
2. Latho
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Sekali-kali tidak dapat sesungguhnya Neraka (Latho) itu adalah api yang berganjak, yang mengelupaskan kulit kepala" (Surah Al- Ma arij ayat 15-16.)
3. Al-Hutamah
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Hutamah. Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? Iaitu api yang disediakan Allah yang dinyalakan, yang naik sampai ke hati." (Surah Al Humazah ayat 4-7)
4. Sa ir
Yang disebutkan dalam surah Asy-Syura ayat 7 bermaksud : "Sesungguhnya masuk ke Syurga dan segolongan masuk ke Neraka sa ir."
5. Saqar
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Aku akan memasukkannya ke dalam Neraka Saqar.
Tahukah kamu apakah Neraka Saqar itu? Saqar itu tidak meninggalkan dan tidak membiarkan (Neraka Saqar) adalah pembakar kulit manusia."
6. Al- Jahim
Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan diperlihatkan dengan jelas Neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat."(Surah Asy-Syura ayat 91)
7. Al- Hawiyah
Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya, maka tempat kembalinya adalah Neraka Hawiyah... iaitu api yang sangat panas. (Surah Al- Qari' ah ayat 8-11).
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan ayat-ayat al-Qur'an di atas jelaslah kepada kita bahawa betapa berat dan hebatnya siksaan yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada orang-orang kafir dan orang-orang fasik ( orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar) dengan balasan di Neraka. Semoga kita semua mendapat rahmat Allah dan keampunan disisi-nya kerana dosa-dosa kita dan dijauhkan-Nya daripada memasukinya.
Jalan kebaikan dan amal soleh terbentang luas dihadapan kita, maka teruskanlah beramal soleh dan laksanakanlah amalan yg mendekatkan diri kita dengan Syurga Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment