Monday, January 17, 2011

Jauhi Menjadi Tiga Golongan Yang Tidak di Endahkan Allah S.W.T.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amal soleh dan kebaikan yang dilakukan oleh  seorang muslim di dunia ini  akan diberi ganjaran oleh Allah S.W.T. dan Dia  tidak kurangkan walaupun sedikit amalan tersebut. Begitu juga amal kejahatan, maksiat dan dosa yang dilakukan oleh seseorang ketika di dunia ini akan dihisab dengan seadil-adilnya sehingga dosa sebesar zarah pun akan dibalas oleh Allah S.W.T tanpa terkecuali.

Oleh itu manusia tidak boleh terlepas jika hidup di dunia ini dia melakukan kezaliman kepada manusia yang lain dan melakukan kerosakkan di muka bumi. Allah S.W.T adalah Hakim yang Maha Adil.

Di dalam sebuah hadis Nabi S.A.W, Allah S.W.T tidak akan mengendahkan tiga golongan manusia. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: “Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : "Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa,”- kata Muawiyah, “Juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat seksa yang pedih iaitu:

1. Orang tua penzina.
2. Raja, Pemimpin Kerajaan (penguasa) yang pembohong.
3. Si miskin yang sombong.”
(Hadis Riwayat Muslim)


Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah S.W.T sangat murka kepada tiga golongan manusia iaitu orang tua penzina, pemimpin yang pembohong dan si miskin yang sombong. Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Mereka tidak tahu mensyukuri nikmat pemberian Allah S.W.T. dan ada pula yang tidak sabar dengan ujian yang ditimpakan oleh-Nya.


Tiga golongan tersebut adalah seperti berikut :


Pertama : Orang tua penzina.

Nikmat diberi umur yang panjang oleh Allah S.W.T. kadangkala membuatkan manusia lupa daratan dan hidup bersenang-lenang melakukan berbagai maksiat tanpa berusaha menambahkan amal kebaikan selama tempoh hayatnya yang panjang itu. Bahkan tanpa segan silu masih bergelumang dengan dosa perzinaan.


Sabda Rasulullah S.A.W. kepada Sayyidina Ali r.a yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Sebaik-baik manusia di sisi Allah S.W.T.  adalah yang memberi kemanfaatan bagi manusia. Adapun seburuk-buruknya di sisi Allah adalah orang yang berumur panjang tetapi buruk amal perbuatannya."

Sepatutnya apabila umur telah sampai peringkat usia emas  amalan ibadah dan amal soleh telah menjadi sebati kerana sudah hampir sangat bertemu Allah S.W.T. bukanlah masih sebuk membuat dosa dan melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menjangkau umur 40 tahun tetapi kebaikannya tidak mengatasi kejahatannya, bersiap-siaplah untuk ke Neraka." 
 
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Sehingga apabila dia menjadi dewasa dan cukup umurnya 40 tahun, berkatalah ia: Ya Tuhanku! Berikanlah aku daya untuk mensyukuri kurniaMu yang telah Engkau kurniakannya kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku, dan dorongkanlah aku untuk membuat amalan soleh yang Engkau meredainya”(Surah al-Ahqaf ayat 15)

Ada yg mengatakan, bahwa apabila seseorang itu mencapai umur 40, sedang kebajikannya tiada melebihi kejahatannya, maka syaitan akan menyapu wajahnya seraya berkata: "Demi ayahku, wajah ini tidak akan terlepas dariku. Ada juga yg memberi amaran, bila sudah 40tahun dan kebajikan masih kurang dari kejahatan, maka bersedialah untuk ke neraka" 


Berzina adalah perbuatan buruk yang dikutuk oleh Allah S.W.T. dan termasuk di dalam dosa-dosa besar.


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“ Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al- Israa’ ayat 32”)


Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
“ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.”
(Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)


Kedua : Raja, Pemimpin Kerajaan (penguasa) yang pembohong.


Begitu juga dengan pemimpin yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan, tetapi apabila dia mensia-siakan kepercayaan itu dengan melakukan berbagai penipuan dan pembohongan yang mengecewakan harapan rakyat maka dihari akhirat nanti Allah S.W.T tidak mengendahkan dirinya.

Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W menyatakan bahawa pemimpin yang adil dan melaksanakan peraturan yang diturunkan oleh Allah S.W.T. adalah salah satu daripada tujuh golongan di hari akhirat nanti akan mendapat perlindungan Arasy Allah S.W.T. ketika orang lain sedang menderita kepanasan di Padang Mahsyar. Sebaliknya pemimpin yang zalim dan menipu rakyat tidak mendapat mencium bau syurga. Salah satu bentuk kezaliman adalah menahan rakyat yang tidak berdosa tanpa di beri keadilan untuk membela diri di mahkamah.

Diriwayatkan bahawa salah seorang raja daripada Bani Israil membangunkan satu istana megah yang besar dan sangat indah bentuknya. Tiada sebarang kecacatan pada binaan istana tersebut, kecuali pondok seorang wanita . Oleh yang demikian raja merobohkan pondok wanita tersebut. Saat wanita tersebut melihat rumahnya telah hancur, dirinya bertanya, "Siapakah yang menghancurkan rumahku ini." Lalu ada yang menjawap, "Sang raja." Kemudian wanita ini pergi menemui sang raja dan ingin memintak haknya. Sesampai di istana wanita ini berkata,"Apakah benar engkau yang telah menghancurkan pondokku?" Sang raja berkata, "Ya, benar." Kemudian wanita itu bertanya, "Mana Hakku," sang raja menjawap,"Tidak ada Hak bagi dirimu," Wanita itu kemudian berkata, "Demi Allah S.W.T, aku akan mendoakanmu." Lalu ia pun mendoakan agar sang raja diberikan balasan atas perbuatan kezaliman yang telah dilakukannya.


Pada waktu malam telah tiba dan saat semua mata telah terlelap dibuai tidur mereka, Allah S.W.T. merobohkan istana sang raja. Allah S.W.T. meninggalkan satu potongan ayat yang tertulis pada salah satu dindingnya yang tersisa iaitu,

"Apakah engkau meremehkan DOA ORANG YANG DIZALIMI
Dan engkau tidak mengetahui apa yang dibuat DOA itu
Hukum Allah S.W.T. lah yang engkau lihat ini
Dan tidak ada hukum kalian yang kekal bentuknya."

Ingatlah bahawa pemimpin yang rasuah, menzalimi rakyat, pembohongan kepada rakyat (tidak tunaikan janji-janji yang dibuat) dan tidak mahu mendengar rintihan rayat, doa rakyat yang dizalimi cukup makbul dan dia akan menerima akibat daripada perbuatannya itu. Bukan setakat di dunia akan menerima balasannya tetapi di hari akhirat nanti Allah S.W.T tidak mahu mengendahkannya dan dimasukkan kedalam neraka.

Ketiga : Si miskin yang sombong.


Termasuklah di sini, orang-orang miskin yang sombong yang juga dibenci oleh Allah S.W.T. di mana kemiskinan itu telah membuatkan dia lupa dengan akhirat, lupa dengan Allah, lupa dengan tujuan hidupnya dan lupa untuk beramal dan selalu disibukkan oleh usahanya mencari makan dan minum untuk menyambung hayatnya.

Bahkan kerana miskin juga ada yang berlagak sombong dan menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa mahu bergaul. Kerana kemiskinan juga banyak orang miskin yang terjerumus dalam kekafiran, dan ia rela menjual agamanya kerana tuntutan hidupnya sementara ia dijanjikan hidup yang baik dalam agama lain.

Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."

Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sombong adalah sebuah penyakit yang akan menjadi penghalang bagi pelakunya dari syurga dan keselamatan. Sombong ibarat racun yang berada di dalam hati, jiwa dan perasaan. Di mana racun itu akan menyerap dalam jiwa, harta, kedudukan, kekuatan, kemampuan dan ilmu seseorang. Racun dalam jiwa manusia yang tidak akan boleh lepas dari was-was syaitan dan beranggapan bahawa ia adalah orang yang paling penting atau mempunyai kedudukan tinggi.


Orang yang sombong, mula-mula sombong dengan manusia, lama kelamaan dia akan menjadi sombong dengan Allah S.W.T.

Penyakit sombong ini boleh di ibaratkan seperti setitik noda dalam jiwanya. Jika hati telah ternoda dengan noda-noda kesombongan ini, si pemilik hati seperti itu selamanya akan berada di dalam keracunan, ia tidak akan boleh berlaku adil atau mengikuti kebenaran. Sombong adalah kegelapan. Kegelapan yang menyelimuti bashirah manusia sebelum penyelimuti akal fikirannya. Tatkala kesombongan menyelimuti mata hatinya, saat itu pula kesombongan menyelimuti akal fikirannya.

Jika orang kaya sombong mungkin yang dibanggakan adalah harta bendanya yang banyak, tetapi jika orang miskin sombong ianya adalah berpunca daripada hatinya yang berpenyakit dan tidak reda dengan qadak dan qadar Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhi daripada menjadi salah satu daripada tiga golongan yang dimurkai oleh Allah S.W.T. kerana tiga golongan ini tidak akan dapat memasuki syurga Allah S.W.T seluas langit dan bumi. Ingatlah bahawa hidup kita di dunia ini adalah sementara janganlah di dunia yang sementara ini menyebabkan kita lupa bahawa setiap kita cukup hampir bertemu dengan Allah S.W.T. Tinggalkanlah maksiat dan dosa, menzalimi orang lain dan sifat sombong kerana sifat-sifat ini adalah sifat ahli-ahli neraka.


No comments: