Monday, February 7, 2011

Mohon Perlindungan Allah S.W.T. Daripada Seksaan Api Neraka.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari kita berdoa kepada Allah S.W.T. semoga kita dan ahli keluarga kita supaya dijauhkan daripada seksaan api neraka, kerana tidak ada seburuk-buruk tempat kembali melainkan di masukkan ke dalam api Neraka Jahanam, na'uzubillahiminzalik.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
(Surah at-Tahrim ayat 6)

Berdasarkan ayat di atas Allah S.W.T. menyeru kepada orang-orang beriman supaya mendidik dan mentarbiah isteri dan anak-anaknya supaya sentiasa taat dan patuh kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya semoga dengan ini akan dapat menyelamatkan mereka semua daripada terjerumus ke dalam api neraka.

Rumah tangga adalah salah satu dari medan dakwah. Mendidik keluarga untuk mentaati Allah S.W.T. dan ubudiah kepada-Nya adalah tugas asasi bagi mereka yang telah berkeluarga . Suami dan isteri, atau ibu dan bapa seharusnya memastikan anak-anak mereka mendapat tarbiah Islamiah yang sempurna, merangkumi semua aspek, akidah, akhlak, kejiwaan, rohani dan jasmani seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Kesemua tugas tersebut mesti dilakukan dengan baik, bukan tanpa perancangan. Kerana rumah tangga yang lintang pukang , anak-anak yang tidak terurus akan menjadi fitnah kepada dakwah itu sendiri sekali gus memberi imej negatif kepada sesiapa sahaja yang memerhatikannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah S.A.W. sentiasa berdoa selepas membaca tahyat akhir : "YA Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahanam, daripada azab kubur, daripada ujian kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan ujian al-masih Dajjal."
(Hadis Riwayat Muslim)

Pertama sekali dalam doa Nabi S.A.W. adalah meminta perlindungan Allah S.W.T. daripada azab Neraka Jahanam kerana Neraka Jahanam adalah tempat balasan dan penyeksaan orang-orang kafir dan orang-orang derhaka kepada Allah S.W.T.

Abu Hurairah meriwayatkan: "Ketika Rasulullah berkata : 'Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka;' lalu seseorang bertanya; 'Ya Rasulullah, adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir?' Maka Rasulullah menjawab, 'Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia, dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).
(Hadis Riwayat Bukhari)

Kesan-kesan kehebatan neraka dapat dirasai di dunia ini lagi berdasarkan hadis Rasulullah. Diriwayat oleh Abu Hurairah: Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Api neraka mengadu kepada Allah dengan berkata;"Hai Tuhanku, bahagian-bahagian padaku memakan di antara satu sama lain."Lalu Allah membenarkannya mengambil dua pernafasan iaitu pada musim sejuk dan pada musim panas. Inilah sebabnya mengapa kamu terasa terlalu panas dan terlalu sejuk," (Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Wahai Ali ! Ketika Allah mencipta syurga, maka syurga bertanya kepada Allah :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'
'Untuk setiap orang yang bermurah hati dan orang-orang yang bertakwa,' jawab Allah S.W.T.
'Kalau begitu saya senang sekali.' ucap Syurga.

Kemudian neraka pun bertanya kepada Allah ketika ia diciptakan :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'
'Untuk setiap orang yang bakhil (kedekut) dan sombong.'
'Ooh.....,baiklah saya untuk mereka,' ucap neraka.
Wahai Ali ! Barangsiapa menentang hawa nafsunya, syurgalah tempat ia kembali. Dan barangsiapa yang menuruti hawa nafsunya, Neraka Jahannamlah tempatnya.

Cuba kita semua bayangkan betapa dahsyatnya seksaan yang paling ringan di neraka dengan bahang bara api diletakkan dibawah tapak kaki pun sudah boleh mendidihkan otak yang ada di atas kepala, apatah lagi kalau seksaan yang lebih berat. Rasanya tidak ada seorang pun yang mampu berdiri di atas bara api yang panas sehingga boleh menggelegakkan otak yang ada di kepala. Kalau kita tersentuh sedikit sahaja api di dunia ini pun kita sudah menjerit kepanasan dan kita tidak mampu menahannya walaupun masa seminit, cuba bayangkan betapa pedihnya seksaan api neraka yang berterusan tanpa henti-henti.

Penduduk neraka tetap diberi makanan walaupun makanan ini tidak menyuburkan badan mereka. Firman Allah S.W.T. maksudnya :  "Mereka tidak memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar." (Surah Al Ghasiyah ayat 6-7)
Minuman ahli neraka :

1. Hamim (air yang mendidih)

Firman Allah s.w.t maksudnya : " Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minum dengan air yang mendidih, sehingga ususnya terpotong-potong?"
(Surah Muhammad ayat 15)

2. Ghassaq (nanah dan darah)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini. Dan tiada makanan sedikit pun kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa." (Surah Al Haqqah ayat 35-37)

3. Sadid (air danur- nanah , yang keluar dari tubuh ahli neraka)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dihadapan mereka ada Neraka Jahanam, dan ia diberi minum dari air danur (nanah yang keluar dari tubuh ahli neraka."(Surah Ibrahim ayat 16)

4. Air seperti Tembaga cair.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan jika mereka meminta minum,nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti tembaga yang mendidih yang menghanguskan muka mereka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat rehat yang paling hina."
(Surah Al Kahfi ayat 29)

Pakaian ahli neraka :
1. Pakaian dari api.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Inilah dua golongan(mukmin dan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai tuhan mereka. Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian dari api neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka." (Surah Al Hajj ayat 19)

2. Pakaian dari minyak tar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Pakaian mereka adalah dari minyak tar dan muka mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim ayat 50).


Sahabat yang dikasihi,
Imran bin Husin meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Aku melihat ke dalam syurga dan mendapati majoriti penduduknya adalah orang miskin, dan aku melihat ke dalam neraka, aku mendapati majoriti penduduknya adalah wanita,"
(Hadis Riwayat Bukhari).

Di dalam kisah gerhana matahari yang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dan para shahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam melihat syurga dan neraka.

Ketika baginda melihat neraka maka baginda bersabda kepada para sahabatnya radliyallahu 'anhum : “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita".

Sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam?”

Baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam menjawab : “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanyai lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?”

Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ”

(Hadis Bukhari dari Ibnu Abbas radliyallahu 'anhuma)

Apabila membicarakan tentang berapakah dalamnya jurang api neraka? Rasanya tidak mampu kita menghitung berapakah dalamnya jurang api neraka yang di tempuh oleh perjalanan kepantasan batu besar yang jatuh dalam masa 70 tahun lamanya. Apa yang lebih mengerikan lagi ialah apabila jurang yang teramat dalam ini dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk seksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu neraka itu akan di tutup serapat-rapatnya. Maka pada ketika itu, tidak ada seorang pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Seksaan demi seksaan, habis satu jenis seksaan masuk pula pada jenis seksaan yang lain dan begitulah seterusnya. Alangkah malangnya bagi mereka yang mendapat seksaan tersebut. 

Salah satu cara untuk kita terselamat daripada seksaan api neraka adalah banyakkan sedekah. Sesiapa yang bersedekah ini, Allah S.W.T. janjikan kepadanya syurga dan merupakan pendinding daripada api neraka, dan amalan ini juga dapat menjinakkan hati kita sekali gus membuang sifat kesombongan yang wujud di dalam diri. Ia sebagaimana sabda Nabi S.A.W.  bermaksud: "Sesiapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma, maka hendaklah dia lakukan. 
(Hadis Riwayat Muslim) 

Dalam sebuah hadis yang lain daripada Anas, baginda bersabda bermaksud: "Bersedekahlah kamu, sesungguhnya bersedekah itu melepaskan kamu daripada Jahanam."

Rasulullah S.A.W. menjelaskan bahawa 4 ciri-ciri penghuni neraka ialah :
1. Muka yang muram.
2. Tutur kata yang keji.
3. Hati keras yang engkar.
4. Tangan yang kedekut (bakhil).
 Sahabat yang dikasihi,

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon Syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari neraka sebanyak tiga kali, maka neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Nabi S.A.W. sentiasa berdoa  : "Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
Maksudnya : Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka"
(Hadis Riwayat Bukhari.)

Oleh itu setiap kali selepas solat fardu atau solat sunat, berdoalah kepada Allah S.W.T. tiga kali "Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar" semoga kita dapat di bebaskan oleh Allah S.W.T daripada seksaan api neraka.

No comments: