Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab!
Kenapa manusia tidak takut laknat dan kemurkaan Allah?
Kenapa manusia tidal takut azab dan neraka Allah?
Kenapa manusia suka buat fitnah dan aibkan orang lain?
Kenapa manusia suka buat dosa -dosa besar dan merasa bangga pula?
Kenapa manusia suka muat-turunkan gambar lucah dan menyebarkannya?
Adakah manusia yakin dia boleh terselamat dari azab kubur dan seksa api neraka?
Manusia tanpa iman manusia yang suka buat fitnah dan aibkan orang lain.
Manusia tanpa iman suka melakukan dosa-dosa besar.
Manusia tanpa iman suka buat zalim dan sebarkan perkara mungkar.
Manusia tanpa iman suka menentang hukum-hukum Allah dan
suka menghina ulama dan orang-orang mukmin.
Ingatlah bahawa setiap dosa dan kemungkaran yang dibuat oleh manusia di dunia ini akan mendapat balasannya daripada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya .Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya." (Surah az-Zalzalah ayat 7-8)
Manusia yang suka dedahkan aib orang mukmin ketika di dunia, aibnya akan didedahkan oleh Allah S.W.T. di hari akhirat. Ketika itu orang-orang mukmin akan mentertawakan golongan tersebut yang gembira dan mentertawakan orang mukmin ketika di dunia.
Allah S.W.T berfirman maksudnya : “Barang siapa yang menghendaki kehidupan sekarang (dunia), maka Kami segerakan baginya didunia itu apa yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya Neraka Jahannam, ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir" (Surah al-Isra’ ayat 18).
Sahabat yang dimulikan.
Penyebaran fitnah sangat mudah berleluasa di zaman ini dengan adanya kemudahan telekomunikasi seperti, televisyen, telefon bimbit, komputer berinternet, dll. Fitnah boleh menyebabkan perpecahan di dalam sesuatu masyarakat dan boleh menjurumuskan individu yang mulia ke lembah penghinaan dan begitulah sebaliknya cuba menaikkan taraf orang yang jahil.
Islam mempunyai kaedah yang sangat ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak mempunyai unsur fitnah. Wajib bagi muslim yang beriman menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah kontroversi berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penerima amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan penyebar berita berunsur fitnah.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan terutamanya orang yang dihormati masyarakat. Pada masa sama, perbuatan itu bertujuan untuk menonjolkan diri penyebar fitnah seolah-olah penyebar fitnah itu sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang difitnah itu.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. Maka sia-sialah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikannya seperti solat, puasa. zakat, haji dan sedekahnya dan lain-lain lagi.
Rasulullah bersabda lanjut maksudnya : “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah S.W.T.seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Justeru, setiap muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Pengajaran: Fikir-fikirlah biarpun beribu kali sebelum membuat fitnah. Sememangnya terdapat syaitan di kalangan jin, dan syaitan di kalangan manusia yang suka membuat fitnah dan menjatuhkan orang lain.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada golongan fasiq dan zalim yang suka membuat fitnah supaya kita tidak mendapat sahamnya dan jadikanlah diri kita menjadi manusia yang di cintai oleh Allah S.W.T.
Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T. telah berfirman maksudnya :
"Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia yang lainnya: :
Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi kepada orang miskin yang pemurah.
Aku cintakan orang yang rendah hati /diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati/diri.
Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat."
Huraian ringkas:
Orang miskin tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersedekah. Tetapi di dalam keadaan ia kekurangan ia masih mampu mengambil sebahagian daripada keperluannya untuk menghulurkan bantuan dan bersedekah, maka dengan perbuatan ini Allah S.W.T. lebih mencintainya daripada orang kaya yang bersifat pemurah.
Orang kaya biasanya bersikap sombong dan bermegah dengan kekayaannya. Tetapi apabila orang kaya sanggup merendahkan hati dan dirinya terutama kepada orang miskin maka Allah S.W.T. lebih mencintainya berbanding orang miskin yang merendahkan hati dan dirinya.
Orang muda mudah terdorong untuk mengikuti hawa nafsu, jika dilihat sekarang ini jarang dilihat orang-orang muda memiliki ketekunan beribadah dan beramal soleh. Inilah sebabnya Allah menyintai orang muda yang bertaubat kerana jikalau orang tua yang bertaubat, memang sepatunya dia berbuat demikian kerana sudah dekat dengan kematian.
Janganlah kita menjadi hamba-hamba yang sombong, bongkak dan ego kerana kita hanyalah makhluk yang dijadikan oleh Allah agar beribadat kepada-Nya yang mana akhirnya kepadaNya jualah kita akan kembali dan akan diperhitungkan nasib dan amalan kita.
No comments:
Post a Comment