أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Saidina Ali k.wj pernah berkata, empat ciri-ciri ahli syurga ; merahsiakan musibah , merahsiakan sedekah, mentaati kedua ibu bapa, dan banyakkan membaca : kalimah la ilaha illAllah - لا اله الا الله)
Huraiannya :
Pertama : Merahsiakan musibah.
Apabila kita ditimpa musibah sebaik-baiknya bersabar dan jangan ceritakan kepada orang lain melainkan ada keperluan untuk membantu kita. Kesusahan dan penderitaan kita mengadulah kepada Allah SWT kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dan jadilah hamba Allah SWT yang bersabar dan tidak mengeluh dan banyakkan memuji Allah SWT. kerana jika kita banyak bercerita kesana sini dikhuatiri seolah-olah menyalahkan takdir sedangkan musibah itu adalah pemberian daripada Allah SWT untuk menghapuskan dosa-dosanya dan diganjari pahala yang besar.
Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman: 'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Kedua : Merahsiakan sedekah.
Sedekah boleh diberikan samaada secara terbuka atau secara rahsia. Sebaik-baik sedekah adalah diberikan secara rahsia tanpa diketahui oleh orang lain untuk menjaga keikhlasan hati kepada Allah SWT dan untuk membuangkan perasaan riak dan bangga diri kerana banyaknya sedekah yang telah diberikan. Dalam satu hadis Nabi SAW ada menyatakan seorang yang banyak bersedekah hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya (secara rahsia) adalah salah seorang daripada tujuh golongan yang akan mendapat perindungan Arasy di hari akhirat nanti.
Ada juga hadis Nabi SAW yang menceritakan salah satu golongan yang tidak diterima amalnya di hari akhirat adalah golongan yang bersedekah tetapi dia mengharapkan pujian daripada manusia dan dibuat tidak ikhlas kerana Allah SWT, maka amalannya ditolak.
Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah rahsia memadamkan kemurkaan Tuhan.” (Hadis Riwayat Al-Tabrani).
Sedekah secara rahsia itu lebih diutamakan kerana ia lebih dekat kepada keikhlasan, iaitu merupakan ruh bagi setiap amal, dan kerana ia juga lebih jauh daripada perasaan riak yang merosakkan amal.
Semasa menjadi khalifah Islam Saidina Ali k.wj diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah mereka tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.
Ketiga : Mentaati kedua ibu bapa.
Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, malaikat Jibril a.s telah memohon tiga doa (kebinasaan) dan Rasulullah SAW pun telah mengaminkan ketiga-tiga doa itu. Jibril adalah malaikat yang begitu hampir dengan Allah SWT dan adalah jelas kepada kita bahawa amin dari Nabi SAW menjadikan doa itu bertambah makbul. Salah satu golongan tersebut adalah seseorang yang kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka telah tua tetapi dia tidak berkhidmat kepada mereka .
Satu kisah dizaman Nabi Musa a.s. seorang anak yang soleh menjadi teman Nabi Musa a.s. di syurga kerana baktinya kepada ibunya yang telah tua.
Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya.
Lelaki itu seorang penjual daging dipasar. Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamu lelaki itu beberapa hari. Lelaki itu bersetuju memerimanya.
Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apakah amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di syurga kelak, Nabi Musa a.s. tetap merahsiakan tujuannya.
Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkan diatas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging kemulut wanita tua itu hingga kenyang. Selepas makan, lelaki itu menukar pakaian wanita tua tadi yang kotor terkena sup. Dia membasuh pakaian itu di sebuah telaga berhampitan rumahnya.
Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s. yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya :"Siapakah perempuan tua itu?"
Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sekarang ini sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya, sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi."
Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya syurga di akhirat kelak.'
Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan menerangkan tujuan sebenar baginda ingin menjadi tetamu hari ini, "Saya ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah SWT. menjadikan saudara teman saya di syurga kelak."
Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan terus berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya.
Kenapakah pemuda ini mendapat kemuliaan boleh menjadi teman Nabi Musa a.s di syurga? Ibu pemuda ini sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya menjadikan anaknya yang soleh ini sebagai teman Nabi Musa a.s . di syurga, dan doa ibunya dimakbulkan oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW. pernah mencela bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang telah lanjut usia mereka namun masih tidak mampu untuk memasuki syurga.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Keempat : Banyakkan membaca : kalimah la ilaha illAllah - لا اله الا الله)
Dari Abu Hurairah Radiallahu‘anhu, katanya : Rasulullah bersabda maksudnya : ‘Perbaharuilah iman kalian.’ Mereka bertanya : ‘Wahai Rasulullah, bagaimana cara memperbaharui iman kami?’ Baginda menjawab : ‘Banyakbanyaklah mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah.’ (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabrani dengan sanad hasan)
Dari Ibnu ‘Umar Radiallahu‘anhu, katanya : Rasulullah bersabda : ‘Bukan ahli ‘Laa Ilaaha Illallah’, orang yang kesepian di kuburnya dan pada saat kebangkitannya. Seolah-olah aku melihat ahli ‘Laa Ilaaha Illallah’ sementara mereka mengusap tanah dari rambut-rambut mereka dan berkata : ‘Segala puji bagi Allah Yang telah menghilangkan duka cita dari kami.’
(Faathir: 34)’ (Hadis riwayat Ath-Thabrani dan Al Baihaqi)
Saidina Ali k.wj telah bertanyakan Rasulullah SAW, apakah cara paling mulia, mudah dan cepat dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT?. Nabi SAW menyebut kalimat‘La Ilaha Illallah’ kerana tiang arasy dan segala ciptaan Alllah terdiri atas kalimah ini.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :
مَنْ كَان آخِرَ كَلامِه لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya sahih.)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama beramal dengan empat perkara yang dikatakan oleh Saidina Ali k.wj. untuk mendapat keredaan Allah SWT dan akan memasuki syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Jika kita istiqamah dengan kesabaran, bersedekah, mentaati kedua ibu bapa dan banyakkan berzikir kalimah tayyibah maka hubungan hati kita dengan Allah SWT akan terjalin dan dengan ini kasih sayang dan rahmat-Nya akan diberikan-Nya kepada kita.
No comments:
Post a Comment