Friday, September 2, 2011

Ibadah Puasa Ramadan Melahirkan Takwa Kepada Allah SWT.

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadan al-Mubarak telah kita tinggalkan, dan sekarang ini saat kita sedang merayakan hari Lebaran iaitu Hari Raya Aidilfitri. Kunjung mengunjungi antara sanak saudara, sahabat- handai, teman- taulan dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain semoga terjalin ikatan ukhwah dan silaturahim sesama saudara seagama.


Perlu kita ingin bahawa ibadah puasa yang kita kerjakan selama sebulan dibulan Ramadan akan membuahkan hasilnya iaitu TAKWA jika ibadah puasa tersebut dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Jika  ada kesan TAKWA pada diri kita, iaitu hati dan jiwa kita semakin hampir dengan Allah SWT, perbuatan, percakapan dan akhlak kita bertambah baik daripada sebelumnya, maka diyakini bahawa puasa kita telah diterima oleh Allah SWT.


Puasa yang diterima oleh Allah SWT adalah puasa yang melahirkan insan soleh dan solehah, yang taat dan patuh kepada Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jika dahulu dia tidak menutup aurat maka dia telah berubah menutup auratnya, jika dahulu dia selalu melambat-lambatkan solat tetapi sekarang dia solat pada awal waktunya dan berjemaah dimasjid dan jika dahulu akhlaknya tidak menceriminkan akhlak seorang muslim tetapi sekarang akhlaknya melambangkan dia seorang mukmin sejati!


Sahabat yang dimuliakan,
Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a., daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda yang bermaksud : "Bertakwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik."(Hadis Riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan).


Berdasarkan hadis di atas Nabi SAW. mengingatkan umatnya bahawa hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Takwa di sini bermaksud melaksanakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.


Sebenarnya untuk mencapai takwa yang hakiki, bukan sekadar menghendaki kita melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Takwa memerlukan kita melakukan lebih daripada itu kerana ia membabitkan amalan roh dan jiwa.


Takwa membawa maksud berwaspada, berjaga-jaga dan takut kepada-Nya dengan menjauhi segala larangan-Nya. Asal dari perkataan 'ittaqa' itu juga membawa maksud menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara.


Jelas takwa bukan sahaja membawa maksud takut kepada Allah malah sebagai pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang rugi di akhirat nanti.


Ketinggian tahap takwa apabila ia dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba Allah yang dipandang mulia di sisi-Nya. Semakin tinggi takwa seseorang maka semakin mulia ia di sisi Allah.


Firman Allah SWT. yang bermaksud ; "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan eadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 13)


Sahabat yang dikasihi,
Sebagai pelengkap ibadah puasa fardu yang kita kerjakan iringilah dengan puasa enam hari dibulan Syawal.


Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” –( Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.)




Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita sentiasa diberi kemampuan oleh Allah SWT untuk istiqamah di atas jalan Allah SWT dan menjadikan pakaian takwa sentiasa menghiasi diri kita di mana sahaja kita berada. Teruskan beramal sebagaimana kita kerjakan semasa dibulan Ramadan iaitu dengan amal-amal ibadah , qiyamulalil, bacaan al-Quran, berzikir dan beristighfar dan bersedekah.  Semoga Dia menerima semua amalan kita , mengampunkan dosa-dosa kita dan membebaskan diri kita daripada seksaan api neraka.

No comments: