Friday, October 14, 2011

Ibadah Korban Fadilat dan Kebaikannya.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah korban yang dilaksanakan ketika Idul Adha dan Hari Tasrik itu adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim a.s.  yang bermimpi diperintah Allah SAW untuk menyembelih puteranya Ismail yang ketika perintah itu akan dlaksanakan, bahkan pisau tajam sudah berada di atas leher Ismail, sembelihan itu gagal dilaksanakan kemudian oleh Allah SWT gantikan dengan kibas.

Firman Allah SWT maksudnya : "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim (yakni sudah dewasa), Ibrahim berkata: “Hai anakku : Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku (disuruh) menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ismail  menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu itu; insya Allah bapak akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (terdengarlah suara panggilan) dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu (sudah melaksanakan perintah) Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (seekor kibas).Kami abadikan (kisah ini) untuk Ibrahim ( pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian , "Selamat sejahtera bagi Ibrahim" (Surah ash-Shaffat ayat 102-109)

Melaksanakan ibadah korban amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar.

Aisyah meriwayatkan, bahwa Nabi SAW bersabda : Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam pada hari nahr yang lebih dicintai Allah, selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan). Dan haiwan yang disembelih itu kelak di hari kiamat akan datang (menemui orang yang korban) lengkap dengan tanduk, kuku dan sepatu kakinya. Dan sesungguhnya darah akan diterima Allah  sebelum darah itu jatuh ke tanah. Kerana itu lakukanlah korban itu dengan seikhlas mungkin. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Dari hadis ini jelaslah bahawa haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan menjadi kendaraan ke syurga. Itulah kebaikan korban di akhirat. Sementara di dunia dapat memberikan dagingnya kepada orang-orang miskin dengan ini akan mendapat pahala sedekah. Kerana sasaran utama daging korban adalah untuk fakir miskin bukannya untuk orang kaya, bahkan yang berkorban pun boleh memakannya.

Sahabat yang dihormati,
Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Namun begitu, ibadah korban adalah wajib ke atas Nabi Muhammad SAW. seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Termizi bermaksud: "Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadah korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu."

Walaupun ibadah korban ini sunat tetapi ianya adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Ibadah korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka yang melakukan korban daripada melakukan dosa

Selain itu, persoalan yang turut mengelirukan ialah sama ada perlu atau tidak orang yang berkorban menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan tersebut. Rasulullah SAW. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud: "Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu."

Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian.

"Dengan kata lain, ibadah korban dan akikah boleh dilaksanakan secara berwakil bagi pihak yang ingin melaksanakan korban dan akikah sekalipun mereka tidak ada bersama-sama ditempat ibadah tersebut dilaksanakan, " jelas al-Hakim.

Terdapat banyak kelebihan dalam mengerjakan ibadah korban seperti mana yang terkandung dalam surah al-Kauthar, ayat 2 yang bermaksud:"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. "

Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." (Surah al-Hajj ayat 36)

Seperti yang diketahui, ibadah korban selain memenuhi tuntutan agama ia juga sebagai pemangkin untuk mengembangkan syiar Islam. Ini termaktub dalam matlamat utama ibadah ini dilakukan iaitu untuk membantu fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di kalangan umat Islam.

Tetapi, apa yang dapat dilihat pada hari ini, di sesetengah tempat, ibadah korban telah bertukar menjadi adat kerana syariatnya tidak dipenuhi. Daging-daging tidak diagihkan dengan betul dan dimasak seolah-olah kenduri biasa.

Sebenarnya, begitu ramai pihak yang ingin melakukan ibadah tersebut semata-mata untuk membantu orang yang kurang berkemampuan. Ini mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui secara khusus tentang kaedah pengagihan yang diamalkan sekarang.

Bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan sistematik khususnya melibatkan pengagihan, sewajarnya ia diberikan kepada penganjur yang boleh mengendalikannya dengan adil dan telus.

Untuk memenuhi keperluan umat Islam diluar negara yang miskin dan tertindas tidaklah menjadi satu kesalahan malahan digalakkan untuk kita melaksanakan ibadah korban di luar daripada negara kita seperti  dengan mengadakan program korban  seperti di Sudan, Laos, Kemboja, Palestin dan Iraq amat bertepatan dengan matlamat ibadah tersebut . Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Kenapakan kita terlalu berat untuk melakukan ibadah korban walaupun kita berkemampuan untuk mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian seekor lembu, atau sesekor kambing? Kenapa kita terlalu berkira-kira untuk menambahkan saham (pahala) kita di hari akhirat sedangkan kita sanggup membeli barang-barang perhiasan atau pun perabut yang mahal semata-mata untuk dipandang cantik bila tetamu datang ke rumah kita? Jika dikira kita hanya perlu menyimpan hanya rm 1 setiap hari untuk mendapatkan satu bahagian daripada seekor lembu iaitu berharga  antara rm 350 - 400. untuk menjalankan ibadah korban.

Seorang mukmin yang berkemapuan tidak akan melepaskan peluang untuk berkorban setiap tahun kerana cukup besar fadilat dan pahalanya di sisi Allah SWT. Oleh itu bersegeralah untuk melakukan korban dengan menghubungi pihak masjid atau surau atau agensi swasta yang menguruskannya korban ke luar negara kerana masa masih ada masa lagi untuk berbuat demikian. Jika kita tangguh-tangguhkan adakah kita pasti tahun hadapan kita berpeluang untuk berkorban? Kerana kita tidak mengetahui bila saat kematian akan menjemput diri kita.

No comments: