Tuesday, October 11, 2011

Orang Beriman dan Bertakwa Yakin Sepenuhnya dan Tidak Ragu-ragu Hukum Jenayah Islam


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang yang beriman dan bertakwa kita wajib menyakini bahawa undang-undang atau hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah SWT adalah sesuai sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat. Kepercayaan dan keyakinan kita ini adalah akidah dan iman kita kepada Allah SWT, Rasulullah  SAW ,Kitab suci al-Quran nul karim dan rukun Iman yang lain.

Perlu diyakini bahawa peranan undang-undang jenayah Islam adalah untuk mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Terdapat 4 sebab kenapa undang-undang jenayah Islam ini perlu dilaksanakan.

1. Untuk mematuhi segala perintah Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran nul karim dan mematuhi sunnah dan hadis Nabi SAW dalam bab hukum jenayah.

2. Undang-undang jenayah Islam menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama. Misalnya orang yang membunuh dihukum bunuh balas. Ini menyebabkan warisnya berpuas hati dan hilang perasaan dendam. 

3. Hukuman jenayah Islam yang kemas dan tegas menyebabkan penjenayah dan orang ramai takut dan gerun untuk mengulangi jenayah. Akhirnya kehidupan masyarakat aman dan sejahtera. 

4. Hukuman jenayah Islam men­gandungi unsur-unsur pendidikan kepada penjenayah dan orang ramai. Hukuman yang dikenakan mendorong seseorang penjenayah bertaubat dan menyesali kesalahan yang dilakukannya. Dengan ini jenayah akan berkurangan dalam masyarakat.

Apakah matlamat dan kebaikan hukum jenayah Islam terdiri daripada hukum hudud, qisas dan ta'zir ?

Terdapat 3 kebaikan hukuman tersebut :
1. Untuk melindung masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum ia berlaku. 

2. Untuk memperbaiki penjenayah dan membetulkan penyelewengan. Ini dapat dilihat daripada kesan yang ditinggalkan oleh hukuman ke atas penjenayah yang memberi pengajaran, memperbaiki dan menghalang seseorang daripada melakukan jenayah. 

3. Untuk membersih dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk memahami lebih terperinci hukum-hukum jenayah Islam, dijelaskan secara ringkas dibawah ini :

Hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga :

Pertama :  HukumHudud

Kedua :  Hukum Qisas

Ketiga : Hukum Ta’zir


Pertama Hukum Hudud :

A. Pengertian Hudud :

Dari segi bahasa hudud bererti menahan atau mencegàh.

Dari segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan As Sunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah SWT kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh itu janganlah kamu mencabulnya, dan sesiapa yang mencabuli hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”(Surah al-Baqarah ayat 229)

B. Jenis-jenis jenayah hudud dan hukumannya :

1. Zina iaitu persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan. 

Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati. 

2. Qazaf (menuduh zina)  iaitu melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik dan tidak membawa 4 orang saksi yang adil. 

Hukuman : sebat 80 kali 

3. Minum arak iaitu meminum minuman yang memabukkan boleh menghilangkan kewarasan akal. 

Hukuman : sebat 40 kali 

4. Mencuri iaitu mengambil harta orang lain secara senyap atau sembunyi. 

Hukuman : potong tangan 

5. Merompak iaitu mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman. 

Hukuman : Sekiranya membunuh hendaklah dibunuh sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong  tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara 

6. Riddah (murtad) iaitu keluar seseorang Islam itu dan agama Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan. 

Hukuman : Bunuh ( setelah diberi tempoh bertaubat selama 3 hari @ 3kali) Semua jenayah hudud yang telah sabit kesalahannya wajib dikenakan hukuman hudud tanpa sebarang pengurangan @ pindahan kepada hukuman yang lain spt penjara @  wang. 

7. Pemberontakan.

Kedua Hukum Qisas.
Pengertian qisas;

Dari segi bahasa qisas bermaksud memotong.

Dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas A1-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW. kerana kesalahan­-kesalahan yang melibatkan hak individu.

Jenis jenayah qisas iaitu kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga. 

Hukuman terhadap kesalahan qisas;

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya” (Surah al-Maidah ayat 45)

Diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas.

Kadar diat adalah dikira mengikut bilangan  unta iaitu harta yang paling bernilai ketika itu. Kadar penuh diat ialah 100 ekor unta.
Diat adalah denda untuk jenayah membunuh.(jumlah diat boleh dinilai dengan harga unta masa kini)

Pembunuhan sengaja -  100 ekor unta secara terus (tanpa tangguh) yang terdiri daripada ;     

1. 30  ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)

2. 30 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)

3. 40 ekor Hulqah .

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qishas @ diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. 

Pembunuhan separuh sengaja - 100 ekor unta seperti di atas tetapi bayaran boleh ditangguhkan sehingga 3 tahun.

Pembunuhan tidak sengaja - 100 ekor unta dan ditangguhkan sehingga 3 tahun yang terdiri daripada :

1.  20 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)

2. 20 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)

3. 20 ekor Bintu Labun (unta betina berumur 3 tahun)

4. 20 ekor Ibnu Labun (unta berumur 3 tahun)

5. 20 ekor BintuMukhad(unta betina berumur 2 tahun)
Hukuman bagi jenayah Pembunuhan separuh sengaja dan Pembunuhan Tidak Sengaja adalah Diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.
1. Diat perempuan 1/2 drp diat lelaki

2. Diat hamba 1/2 drp diat merdeka
Pembunuhan Sengaja ialah membunuh dengan niat.

Pembunuhan Separuh Sengaja ialah seperti  seorang memukul orang dengan tongkat @ melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang tersebut. (tanpa niat membunuhnya).

Pembunuhan Tidak Sengaja ialah seperti seorang yang tertembak rakannya yang disangkanya binatang buruan.

Bagi jenayah membunuh, pembunuh hanya boleh diampunkan oleh warisnya sahaja. Pemerintah dan hakim tidak ada kuasa dalam pengampunan.
Diat jenayah mencederakan anggota :

1. 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.

2. 50 ekor unta untuk anggota yang berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu drp kaki atau tangan, mata dan  telinga.

3. 33 ekor unta untuk luka al-Ja'ifah (luka hingga ke dlm bhg otak)

4. 33 ekor unta untuk luka Al-Ma'muumah ( luka yang sampai ke selaput kepala)

5. 25 ekor unta untuk anggota yang 4  bahagian (pasang) spt kelopak mata. Setiap satu kelopak mewakili 25 unta.

6. 10 ekor unta untuk luka Al-Hasyimah (luka yang memecah @ mematahkan tulang)

7. 15 ekor unta untuk luka Al-Munqilah (luka yang sampai ke tulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya).

8. 10 ekor unta untuk anggota yang ada 10 bahagian seperti jari tangan dan jari kiri. Setiap satu jari jika patah mewakili 10 ekor unta.

9. 5 ekor unta untuk luka Mudhihah @ Muwadhdhohah (luka yang menampakkan tulang)

Hukum Ta'zir.
Pengertian ta’zir.

Dari segi bahasa ta’zir bererti menolak atau menghalang. 

Dan segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam Al-Quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya, tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu. 

Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori ta’zir;

1. Kesalahan-kesalahan hudud atau qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas.

2. Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab dan sebagainya.

3. Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.
Hukuman bagi kesalahan ta’zir.
 1. Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.

2. Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

3. Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.

4. Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersempit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat. 

5. Membuat pengisytiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah. Dengannya penjenayah berasa tertekan dan malu yang amat sangat.

6. Hukuman ta ‘zir dengan denda berbentuk kewangan dan merampas harta yang dimiliki oieh penjenayah. 

7. Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut pertimbangan realiti semasa. 

8. Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu mengikut reaiiti .       

Hukuman ini dikenakan supaya penjenayah berasa tertekan, mengalami kesusahan dan tersisih akibat   dipisahkan dari kaum keluarga dan sahabat handai.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabh diri kita bahawa terlalu banyak dosa dan kesalahan yang kita lakukan kepada Allah SWT. dan perlulah kita banyak beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Salah satu dosa besar yang kita lakukan tanpa kita sedari kita terpengaruh dengan pendapat sebahagian daripada umat Islam yang mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT dan tidak yakin terhadap hukum hudud dan qisas yang ditanzilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran nul karim. Jika kita terlanjur penyokong pendapat mereka yang menolak dan mengatakan hukum hudud tidak sesuai maka kembalilah bertaubat kepada Allah SWT dan jangan ditangguh-tangguhkan lagi kerana kematian itu akan datang bila-bila masa dan kita khuatir jika kita menafikan hukum-hukum Allah SWT boleh jatuh kepada syirik yang mana dosa syirik tidak akan diampunkan oleh Allah SWT.

Tujuan nota ini ditulis adalah bertujuan memberi sedikit ilmu yang bermanfaat kepada kalian semua supaya kalian tahu serba sedikit apa yang dimaksudkan hudud, qisas, diat dan ta'zir. Semoga Allah SWT meletakkan diri kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

No comments: