Friday, October 7, 2011

Jauhi Perbuatan Dosa Yang Menyebabkan Kemurkaan Allah SWT.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Perbuatan dosa mengakibatkan celaka terhadap orang yang bukan pelakunya. Kalau dia mencelanya maka boleh terkena ujian (cubaan). Kalau mengumpatnya dia berdosa dan kalau dia menyetujuinya maka seolah-olah dia ikut melakukannya." (Hadis Riwayat Ad-Dailami)


Berdasarkan hadis diatas jelaslah bahawa apabila seseorang itu melakukan perbuatan dosa maka kesannya akan terkena juga orang yang tidak melakukannya  dalam tiga keadaan iaitu :
 
1. Bila mencela perbuatan dosa tersebut akan terkena ujiannya.

2. Kalau mengumpatnya boleh mendatangkan  dosa.

3. Kalau bersetuju  akan mendapat dosa yang sama seperti pelakunya.
 
Betapa buruknya akibat perbuatan dosa, maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang hingga mengakibatkan orang lain yang tidak berdosa mendapat saham dosa yang sama seperti perbuatannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Antara sifat semulajadi manusia adalah mudah leka, terpedaya dan tunduk kepada keinginan hawa nafsu hingga menyebabkan mudah terjebak melakukan perkara yang melanggar hukum Allah SWT. Sebagai umat Islam kita dididik supaya sentiasa memelihara diri agar tetap menjadi orang yang beriman dengan mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Oleh itu kita hendaklah menanamkan dalam diri sifat sentiasa takut untuk berbuat dosa kerana akibat dari melanggar perintah Allah SWT seperti mempertikaikan hukum hudud, tidak bersolat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi, berzina, melakukan rasuah, penipuan dan sebagainya. Kita bukan sahaja mendapat dosa bahkan dibenci oleh Allah SWT.

Akibat daripada perbuatan berkenaan hati menjadi gelap, ditutup pintu rezeki, doa tidak dimakbulkan dan lebih buruk lagi mendapat azab seksa di akhirat.

Sesungguhnya azab dan kemurkaan Allah terhadap orang yang melakukan dosa banyak diceritakan dalam al-Quran dan hadis. Akan tetapi masih ada juga di antara kita yang melakukan perbuatan mungkar dan maksiat dengan sengaja. Bahkan lebih buruk lagi melakukannya secara terang-terangan. Dan langsung tidak ada perasaan takut dengan hukuman dan seksaan Allah SWT di hari akhirat nanti.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa meninggalkan maksiat terhadap Allah karena takut kepada Allah maka ia akan memperoleh keredaan Allah". (Hadis Riwayat Abu Ya’la)

Persoalannya, apakah yang menyebabkan sebilangan orang masih berani terus melakukan dosa sedangkan mereka tahu bahawa setiap perbuatan dosa pasti ada balasannya?.

Ini mungkin kerana mereka belum menerima balasan akibat dari perbuatan dosa yang dilakukan. Maka mereka terus lalai dan tidak takut untuk terus berbuat perbuatan yang berdosa.

Jika kita membaca kisah-kisah dalam al-Quran bagaimana Allah SWT membinasakan setiap umat yang ingkar akan dakwah yang disampaikan oleh para rasul dengan hukuman tunai selepas sahaja mereka mencabar kekuasaan Allah SWT untuk mendatangkan bala keatas mereka.

Ingatlah jika seseorang itu telah berbuat dosa dan tidak menerima balasannya di dunia ini, jangan fikir dia akan terlepas daripada menerima hukuman Allah SWT.

Firmah Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah wahai Muhammad, sesiapa yang berada di dalam kesesatan biarlah Allah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.
(Surah Maryam ayat 75)

Kita ambil contoh orang yang rasuah, makan riba ataupun penipuan dalam berniaga, walaupun mereka mendapat keuntungan wang ringgit, hartanya bertambah, hidup mewah, perbuatannya tidak diketahui dan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa dan sebagainya, namun balasan akibat perbuatan dosanya tetap ada.

Mungkin dia selamat di dunia tetapi dia tidak akan terlepas dari menerima pembalasan azab seksa neraka di akhirat kelak. Kita juga jangan lupa bahawa hasil pendapatan daripada sumber yang haram juga boleh mengakibatkan dirinya, anak, isteri dan ahli keluarganya menderita kerana setiap suap dari sumber yang haram, maka api nerakalah balasannya.

Agama Islam adalah agama persaudaraan yang menyuruh kita saling bantu-membantu dan saling menasihati ke arah kebaikan supaya kita dapat menjalinkan kehidupan di dunia ini dengan aman, bahagia dan bersatu-padu.

Islam juga mengajar kita menegakkan amar makruf nahi mungkar iaitu menyuruh ke arah berbuat kebaikan dan mencegah mungkar.

Maka ke arah memelihara diri dari terus melakukan dosa, kita juga dituntut untuk memelihara keluarga, jiran, rakan dan masyarakat amnya dari melakukan sebarang perbuatan yang berdosa sama ada dengan memberi nasihat, teguran dan sebagainya.

Ketahuilah jika perbuatan mungkar dan maksiat berleluasa di sebuah tempat, tidak mustahil Allah SWT akan menurunkan bala dan azab kepada mereka. Kita ambillah iktibar daripada peristiwa yang berlaku kepada umat terdahulu yang hancur akibat perbuatan dosa dan maksiat.

Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang telah mendustakan kerasulan Nabi Lut a.s dan mengamalkan perbuatan terkutuk dengan mengadakan hubungan sejenis sesama lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita meninggalkan segala perbuatan maksiat dan kemugkaran yang boleh mendatangkan dosa kepada Allah SWT. Semoga kita terhindar daripada seksaan Allah SWT di Alam Barzakh, Padang Mahsyar, Mizan dan Siratul Mustakim dan neraka Jahanam. Kerana setiap persinggahan mempunyai bentuk penyeksaan yang berbeza kepada pelaku-pelaku maksiat yang mati tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Perhatikanlah maksud hadis di bawah :
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Janganlah memandang kecil kesalahan (dosa) tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu derhaka". (Hadis Riwayat Aththusi)

No comments: